
Baru-baru ini, penyanyi dan komposer yang popular dengan lagu Tamil Zubir Khan telah menarik perhatian peminat apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Perpaduan di Majlis Apresiasi Harmoni Kementerian Perpaduan Negara yang berlangsung pada beberapa hari lalu.
Menerusi perkongsiannya di media sosial, Zubir atau nama penuhnya Muhammad Zubir Mohamad Ali (25) berkata, beliau bersyukur atas penghormatan tersebut dan tidak pernah menyangka bahawa bakal menerima pengiktirafan tersebut.
“Terima kasih kepada Kementerian Perpaduan Negara dan semua yang menyokong saya dari dulu sampai sekarang,” tulisnya.
Dalam pada itu, memetik laporan Sinar Plus, pelantun lagu ‘Yennode Macha’ itu turut mengakui beliau terkejut dan tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk menerima anugerah berkenaan.
Walau bagaimanapun, bagi Zubir ini bukan satu tanggungjawab yang mudah membawa gelaran tersebut namun bersedia untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang.
“Saya seorang budak Melayu yang fasih berbahasa Tamil dan biasa bergaul dengan pelbagai kaum. Mungkin sebab itu mereka rasa saya layak menerima Anugerah Ikon Perpaduan”
“Bukan senang sebenarnya, sebab menerima anugerah ini bukanlah seperti mendapatkan sijil selepas tamat belajar, tetapi ia satu pengiktirafan yang dipilih”
“Jadi, apabila menerimanya, saya sedar ada tanggungjawab besar yang perlu digalas. Saya fikir selepas ini, saya harus lebih mendekati masyarakat pelbagai kaum. Namun, bagi saya, itu bukan satu masalah,” ujar Zubir.
Sekadar info, Zubir bukan sekadar penyanyi berbakat, tetapi juga seorang anak Melayu yang fasih berbahasa Tamil dan pernah menghasilkan tujuh lagu ciptaan dan lirik ditulisnya sendiri sejak 2019.
Antara lagu Zubir Khan yang popular di YouTube adalah seperti Thevadhai, Nenji Yenghutu, Marainthe Uyire, Soga Kathai, Per Yenne Solle, Yennode Macha, OMK (Oh My Khadhale) dan yang terbaru dilancarkan tahun ini berjudul ‘Psycho’.
Sumber: Sinarplus
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.