
Angka 14 dilihat bakal menjadi simbol penting dalam perancangan bintang K-Pop sensasi, BTS bagi tahun 2026 apabila kumpulan global itu mengesahkan bakal mengumumkan jadual jelajah dunia terbaru mereka pada 14 Januari ini. Pengumuman tersebut turut disertakan dengan berita pelancaran album baharu yang mengandungi 14 buah lagu.
Menurut agensi pengurusan BTS, BigHit Music dalam sebuah kenyataan di Weverse, album studio penuh kelima ini akan menjadi karya terbaru pertama mereka dalam tempoh tiga tahun sembilan bulan sejak pelancaran album Proof pada tahun 2022. Ia juga merupakan album penuh pertama selepas enam tahun satu bulan sejak Map of the Soul: 7 yang diterbitkan pada 2020.
Pada masa yang sama, BigHit Music memaklumkan bahawa album kali ini menampilkan 14 lagu yang mencerminkan identiti BTS pada saat ini dan kesemua ahli kumpulan yang dianggotai oleh RM, Jin, SUGA, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook terlibat secara aktif dalam proses kreatif dengan berkongsi idea serta pemikiran peribadi mereka bagi menghasilkan muzik yang lebih autentik.
“Album ini menzahirkan BTS dalam fasa semasa mereka, dengan setiap lagu membawa kisah dan emosi yang jujur,” tulis kenyataan rasmi agensi tersebut.
“Lagu-lagu ini turut merakamkan rasa terima kasih BTS kepada ARMY yang telah lama menantikan kemunculan semula mereka. Kisah di sebalik setiap lagu berpaksikan mesej BTS kepada para peminat yang setia bersama mereka sepanjang bertahun-tahun ini,” jelas BigHit Music lagi.
Dalam pada itu, pendekatan kolaboratif ini dikatakan memberi ruang kepada setiap ahli untuk menyampaikan perspektif masing-masing melalui muzik dan untuk pengetahuan ARMY merupakan nama rasmi kelab peminat BTS di seluruh dunia.
Selain pengumuman album, BTS juga akan mendedahkan butiran penuh jelajah dunia terbaru mereka pada tarikh yang sama, iaitu 14 Januari dan jelajah ini menandakan kemunculan semula BTS di pentas konsert antarabangsa selepas empat tahun sejak jelajah BTS Permission to Dance on Stage.
Sementara itu, segala maklumat berkaitan album dan jelajah dunia tersebut akan dimuat naik ke sebuah laman web baharu yang dibangunkan khas bagi memudahkan peminat mendapatkan informasi terkini berkaitan perancangan BTS.
Pengumuman yang sekian lama dinantikan ini dibuat pada Hari Tahun Baru, sekaligus mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat. Terdahulu, BTS menghentikan aktiviti berkumpulan susulan ahli tertua mereka, Jin, memulakan khidmat ketenteraan pada 13 Disember 2022, seterusnya kesemua tujuh ahli menamatkan khidmat ketenteraan wajib masing-masing menjelang Jun 2025.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.