Berita

SPM Di Johor Kini Guna ‘Scanner’ Macam Airport, Pastikan Kelancaran & Integriti Peperiksaan

Share

Guna alat pengesan logam pastikan kelancaran proses peperiksaan SPM, itulah langkah baharu yang dilaksanakan di semua pusat peperiksaan SPM di Johor tahun ini. Mulai hari ini, calon SPM di Johor akan melalui imbasan alat pengesan logam sebelum masuk ke dewan peperiksaan.

Langkah ini bukan untuk menakutkan pelajar, tapi untuk memastikan peperiksaan berjalan dengan adil, selamat dan bebas daripada sebarang cubaan menipu. Dengan teknologi yang semakin berkembang, langkah ini menjadi keperluan bagi memastikan integriti peperiksaan terus terpelihara.

372 Pusat Peperiksaan Dilengkapi Alat Pengesan Logam

Lapor Harian Metro semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin menjelaskan, penggunaan alat pengesan logam ini melibatkan 372 pusat peperiksaan SPM di seluruh negeri, merangkumi sekolah kerajaan, swasta, MRSM dan calon persendirian. Setiap pusat peperiksaan dibekalkan satu unit alat pengesan logam oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor.

Aznan ditemui pemberita ketika tinjauan sempena hari pertama peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025 peringkat negeri Johor di SMK Sultan Ismail. FOTO NAJMI NOR’AZAM

Guru akan menggunakan alat ini untuk membuat imbasan awal ke atas calon sebelum mereka masuk ke dewan peperiksaan. Tujuannya jelas:

  • Mengelakkan calon membawa telefon bimbit, smartwatch, earphone, atau apa-apa peranti elektronik yang boleh digunakan untuk merakam atau berkomunikasi secara tersembunyi.
  • Meminimumkan risiko pelanggaran peraturan peperiksaan dan menjaga integriti keputusan SPM.

Dalam dunia sekarang yang penuh dengan teknologi, cubaan menipu peperiksaan bukan lagi setakat membawa nota kecil, tetapi boleh berlaku melalui gajet canggih. Sebab itu langkah pencegahan juga perlu seiring dengan perkembangan teknologi semasa agar ruang ketirisan dapat ditutup seawal mungkin.

Bukan Untuk Menyusahkan, Tapi Melindungi Semua Calon

Menurut Aznan, langkah ini sebenarnya melindungi calon yang jujur. Bila semua pelajar diperiksa dengan cara sama, tiada siapa yang boleh ambil jalan pintas. Keputusan SPM korang nanti lebih bersih, lebih dipercayai dan lebih membanggakan. Ia juga membantu guru bertugas memastikan peraturan peperiksaan dipatuhi tanpa perlu bergantung semata-mata pada pemerhatian manual.

Malah, penggunaan alat ini juga berpotensi diperluas ke peringkat harian di sekolah pada masa akan datang, bergantung kepada perbincangan dan keperluan yang akan diteliti tahun depan. Jika penggunaan harian dilaksanakan, ia boleh menjadi satu garis pencegahan kekal bagi memastikan pelajar tidak membawa peranti tidak dibenarkan ke kawasan sekolah.

Johor Bersedia Hadapi Banjir Ketika Peperiksaan

Selain isu ketirisan peperiksaan, kerajaan negeri dan JPN Johor turut memberi perhatian kepada faktor cuaca. Dengan 49,654 calon SPM di seluruh Johor, pelan kesiapsiagaan penuh telah disusun jika berlaku banjir atau cuaca tidak menentu, terutama di daerah berisiko seperti Segamat dan beberapa kawasan ‘hotspot’.

Sekolah tertentu juga sudah dikenal pasti sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya keadaan memerlukan. Setakat ini, semua 372 pusat peperiksaan dilaporkan beroperasi seperti biasa tanpa gangguan banjir. Kesediaan ini penting agar proses imbasan alat pengesan logam dan perjalanan peperiksaan terus berjalan tanpa henti.

Apa Yang Calon SPM Perlu Buat?

Untuk korang yang menduduki SPM di Johor (atau di negeri lain sekali pun), ini beberapa perkara penting:

  • Datang awal supaya proses imbasan tak buat korang panik.
  • Jangan bawa langsung telefon, earphone, smartwatch atau apa-apa peranti elektronik ke dewan.
  • Kalau terpaksa bawa telefon, pastikan ia disimpan di tempat yang dibenarkan, bukan dalam poket atau beg yang dibawa masuk.
  • Anggap langkah ini macam prosedur keselamatan di airport – normal dan untuk kebaikan semua.

SPM bukan sekadar peperiksaan, tapi salah satu titik penting dalam hidup remaja. Bila integriti peperiksaan dijaga, kejayaan yang korang dapat nanti akan terasa lebih manis dan bermakna. Penggunaan alat pengesan logam ini hanyalah satu daripada usaha untuk memastikan semua calon berada di landasan yang sama dan keputusan SPM terus dihormati sebagai penanda aras akademik negara.

BACA LAGI : Peperiksaan SPM 2025: Musim Tengkujuh Tak Halang Semangat Pelajar Seluruh Negara

Published by
Nana