
Aktivis iklim dunia dari Sweden, Greta Thurnberg yang mengikuti misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bekalan bantuan ke Gaza disahkan turut ditahan oleh tentera Israel.
Greta, 22 yang dilihat berada di atas dek Kapal Alma dalam satu visual yang tular di media sosial dan dikelilingi tentera Israel sebelum diiringi keluar daripada kawasan kapal.
Rakaman tersebut menjadi saksi kepada tindakan keras yang dihadapi oleh peserta misi kali ini ketika mereka berusaha untuk membawa bantuan kemanusiaan berupa makanan serta ubat-ubatan ke Gaza.
Menerusi rakaman ini juga, jelas Thurnberg dan aktivis lain dari pelbagai negara terperangkap dalam situasi antara misi kemanusiaan dan tekanan politik.
Penganjur misi memaklumkan kira-kira 20 buah kapal Israel telah dikesan menghampiri armada bantuan berkenaan sebelum pasukan keselamatan Israel menaiki bot dan menahan peserta.
Penumpang dan kru bersiap sedia mengenakan jaket keselamatan serta bersedia menghadapi serbuan di saat-saat terakhir.
Dalam pada itu, penahanan ini disahkan oleh Kementerian Luar Israel yang memaklumkan kapal Flotilla Sumud berjaya dihentikan dengan selamat.
Semua penumpangnya dibawa ke sebuah pelabuhan di Israel dan kementerian mengesahkan Thurnberg berada dalam keadaan selamat dan sihat. Israel bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang bukti kukuh yang menyokong kononnya flotilla tersebut mempunyai kaitan dengan Hamas.
Para aktivis dunia menyifatkan pemintasan tersebut sebagai tidak sah dan merupakan satu bentuk lanun maritim.
Manakala, Tentera Laut Israel pula memberi amaran flotila misi ini sedang menghampiri zon perang aktif, meminta mereka menukar haluan dan menawarkan untuk menghantar semua bantuan secara aman melalui saluran selamat ke Gaza.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.