Bukan calang-calang pelajar mampu menerima pingat Anugerah Pelajaran Diraja, hanya mereka yang benar-benar layak akan dipilih untuk menjadi penerima kepada anugerah yang penuh prestij itu.
Terbaharu, Kaavilash Nair yang merupakan Graduan Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) ketika Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke-36.
Jejaka berusia 24 tahun yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini menerima anugerah tersebut daripada Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang juga merupakan Tuanku Canselor UUM.
Dalam temu bual bersama media, Kaavilash berkongsi yang segala kejayaan dicapainya merupakan satu momen untuk membalas jasa kedua orang tua yang tidak henti-henti memberi sokongan.
“Saya tidak cemerlang dalam keputusan SPM dan sedih kerana mengecewakan ibu bapa ketika itu. Mujur saya diberi peluang melanjutkan pengajian ke UUM, apabila dapat peluang kedua ini, saya tanamkan dalam diri untuk mencapai kejayaan,” ujarnya.
Ads
Berjaya mengekalkan keputusan Anugerah Dekan untuk setiap semester sepanjang pembelajarannya di UUM, Kaavilash yang juga merupakan penerima biasiswa tajaan Program Ijazah Dalam Negara oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia memperoleh purata nilai gred kumulatif 3.86.
Ads
Selain cemerlang dalam pelajaran, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Metohodist (ACS) ini sangat aktif dalam bidang kokurikulum. Dia merupakan Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UUM bagi sesi 2021/2022 dan turut memegang jawatan sebagai Presiden Presiden Persatuan Komunikasi bagai sesi 2020/2021.
Bukan sekadar dalam negara, Kaavilash turut mewakili Malaysia di Discovery Camp di Kanada pada 2022 dan mengambil bahagian dalam Great World Icon: ASEAN Round Table Discussion di Thailand pada tahun yang sama.
Ads
Tahun ini dia menjadi pelajar mobiliti dan pembentang di Perbincangan Jadual Ruble Generasi Tekno-Sosial, serta Program Kepimpinan ASEAN bertempat di Indonesia. Sekadar menyebut beberapa pencapaiannya, atas dasar kecemerlangan yang ditempa maka tepatlah pemilihan jejaka ini sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja.
Tahniah REMAJA ucapkan!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bersempena hari kemerdekaan pada 31 Ogos 2022 semalam, seramai 459 orang yang terdiri daripada siswa jurusan pendidikan, pelajar sekolah dan guru telahpun memilih untuk memanfaatkan hari cuti dengan menawan 11 puncak gunung dan bukit secara serentak pada hari yang sama.
Aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada Misi Pendakian Merdeka i-Guru 2022 yang dianjurkan oleh persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru).
Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, pendakian serentak itu membabitkan lokasi seperti Bukit Suling di Pulau Pinang, Bukit Semanggol di Perak, Shah Alam Backyard Trail di Selangor, Bukit Kiara di Kuala Lumpur, Gunung Datuk di Melaka dan Bukit Batu Putih di Negeri Sembilan.
Sementara itu, dua lagi bukit berasingan telahpun didaki pada hari Sabtu dan Ahad lalu; iaitu Bukit Kechubung di Kedah dan Bukit Tunggal di Perak.
Foto : Ihsan Mohd Azizee HasanFoto : Ihsan Mohd Azizee Hasan
Di samping memperolehi kepuasan apabila berjaya menawan puncak-puncak tersebut, peserta juga menyemarakkan rasa patriotik dalam diri dan kumpulan masing-masing dengan melaungkan kemerdekaan serta mengibar Jalur Gemilang.
Ia secara tidak langsung menanam makna kemerdekaan yang lebih mendalam pada diri peserta dan memastikan generasi muda terus meluangkan masa terluang dengan menjaga kecergasan fizikal.
Foto : Ihsan Mohd Azizee Hasan
Tambah Mohd Azizee lagi, besar kemungkinan program Misi Pendakian Merdeka i-Guru ini bakal dijadikan acara tahunan setiap kali tibanya sambutan Hari Kebangsaan dan berharap agar lebih ramai peserta yang dapat menceburinya pada edisi akan datang.
Menarik kan! Haa, siapa kata kita hanya boleh menyaksikan percikan bunga api, konsert hiburan dan perarakan kereta berhias sahaja pada Hari Kebangsaan?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“Apabila anda memilih untuk makan di Thevar, anda akan mendapat banyak masakan yang biasa korang lihat kerana ia mewakili kepelbagaian rasa masakan India di Semenanjung Malaysia.”
Apabila seseorang individu kelahiran Malaysia menempah kejayaan di luar negara, tentunya REMAJA tumpang bangga dengan kisah mereka dalam memburu impian.
Satu nama baharu yang mencuri tumpuan kami ialah Manogren Murugan Thevar yang kini bergelar chef di restoran miliknya berstatus 1 Bintang Michelin di Singapura, Thevar.
Sejak kecil, Manogren atau lebih mesra dengan panggilan Mano membesar dengan masakan India. Dia sentiasa tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai variasi makanan sewaktu kecil apabila ibu bapanya sering membawanya keluar menjamu selera di lokasi berbeza sekitar Pulau Pinang.
Dari situlah, Mano jatuh cinta dengan pelbagai jenis masakan Melayu, India dan China.
Lalu, Mano memilih kerjaya dalam bidang seni kulinari. Dia mendapat latihan secara rasmi dalam penyediaan masakan Perancis selama bertahun-tahun di restoran Guy Savoy dan Waku Ghin yang diiktiraf dengan Bintang Michelin; sebelum berjaya membuka restorannya sendiri, Thevar pada tahun 2018.
Cuma, apa yang menjadikan kisah kejayaan Thevar ini lebih menarik adalah kerana Mano tidak pernah pun menyediakan masakan India sebelum ini.
Pada usia 29, Mano menghabiskan masa sebulan menjelajah negara India untuk meningkatkan apresiasi deria rasanya terhadap masakan India.
Biarpun REMAJA secara peribadinya belum pernah ke Thevar, Singapura untuk merasai sendiri keunikan rasa masakan Mano, chef itu menerusi temubualnya dengan Michelin Guide mengungkap masakan di Thevar sebagai, “Masakan moden India yang disediakan dengan teknik Perancis serta mempunyai keunikan masakan Semenanjung Malaysia.”
Rasa masakan dan cara Mano menyediakannya dijamin asli kerana menu tersebut dicipta khas olehnya menggunakan pengalaman serta teknik yang diasahnya sendiri.
Segala usaha keras Mano dalam membangunkan Thevar akhirnya mendapat berbaloi apabila restoran itu dianugerahkan pengiktirafan Bintang Michelin pertamanya dalam senarai MICHELIN Guide Singapore 2021 pada tahun lalu.
“Saya berharap, dengan cara saya sendiri, saya boleh membanggakan budaya saya.”
Tahniah Chef Manogren!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Manis tinggi lampai orangnya. Menjengah masuk ke kamar penggambaran, si dia punya aura tersendiri biarpun tampil sedikit pendiam. Itu semua berubah apabila jawapan kepada soalan yang diajukan terpacul dari bibir si ratu cantik bergelar doktor pelatih ini. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2022, Dr. Lavanya Sivaji.
arahan seniFZ AIMMAN teksNOOR AIN NORMAN penyelarasREMAJA jurufotoREMY OTHMAN penerbit videoMAYA DEEN & SHERFIQA SHARIDANsusunan grafikAZNIZA AZIZ solekan & dandananVEE MUHAMADpersalinanNEW BALANCE
Tanggal 17 Mac 2022 pasti akan tersemat manis dalam kamus hidup Dr. Lavanya Sivaji apabila nama Malaysia berjaya diwakilinya sehingga ke peringkat Top 40 di pertandingan ratu cantik Miss World 2021. Namun itu semua tidak hadir bergolek. Pelbagai pancaroba perlu ditempuhi gadis berusia 25 tahun ini demi melangkah ke tahap itu.
Sebagai wakil negara di edisi ke-70 Miss World yang dilangsungkan di Puerto Rico pada Disember 2021, siapa sangka perjalanan Lavanya di pertandingan tersebut seakan berada di hujung tanduk apabila dia disahkan dijangkiti wabak COVID-19 kira-kira beberapa hari sahaja sebelum pentas akhir Miss World 2021. Situasi ini sedikit sebanyak memberikan tekanan kepadanya.
Begitupun, tuah dan kerja keras nyata menyebelahi Lavanya apabila organisasi Miss World memutuskan untuk menangguhkan pentas akhir ke bulan Mac dengan hanya memilih 40 orang wakil terbaik untuk bersaing semula di San Juan, Puerto Rico.
Jelas, pakej dan kredibiliti yang ditawarkan oleh Lavanya berjaya memikat hati juri apabila namanya tersenarai dalam kedudukan 40 wakil terbaik itu.
Sebaik sahaja tamat bertanding, doktor lulusan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ini meneruskan latihan kedoktoran di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang setelah panjang bercuti rehat demi memberikan tumpuan mewakili negara dalam dunia ratu cantik.
“Sepatutnya saya mula melakukan latihan pada Jun 2021 tetapi ia ditangguhkan hingga ke bulan April 2022. Rakan-rakan lain telah pun memulakan latihan kedoktoran sedangkan saya cuba mengejar bagi menghabiskan latihan. Bagaimanapun, saya tidak menyesali keputusan tersebut. Saya berbangga dapat bersaing dengan nama negara tertera pada kain selempang yang dipakai setiap hari sewaktu di Puerto Rico.”
“Pada mulanya ibu bapa saya agak khuatir bila mendapat tahu saya dinobatkan sebagai Miss World Malaysia kerana pada mereka, saya mungkin akan terus korbankan peluang housemanship atau ‘lompat’ ke bidang lain. Saya yakinkan mereka bahawa saya mampu melakukan banyak perkara dalam satu-satu masa. Selain menjalani latihan kedoktoran, tidak bermakna saya tidak boleh memberikan komitmen kepada bidang lain yang sama saya minati.
“Setelah mengakhiri fasa ratu cantik itu, kini barulah saya fokus sepenuhnya kepada tanggungjawab sebagai seorang doktor dan tetap meneruskan minat dalam bidang peragaan secara separuh masa,” titip Lavanya.
Dibesarkan di Taman Seri Gombak, Batu Caves, ayah Lavanya merupakan seorang jurutera manakala ibunya pula bergelar seorang jururawat. Mempunyai tiga adik-beradik, abangnya merupakan seorang jurutera dan adik perempuannya bergelar seorang guru. Jelas Lavanya, keluarganya masih belum melahirkan seorang doktor dan inilah yang memahatkan keterujaan dalam dirinya untuk meminati subjek Biologi lalu menyambung pengajian dalam bidang perubatan.
Bangga Wakili Maksud Sebenar Diversiti
Bercerita mengenai pengalamannya di Puerto Rico, ia sebenarnya merupakan pertama kali Dr. Lavanya ke luar negara. Perasaan teruja menyelubungi diri namun pada masa yang sama turut merelakan dirinya merendah diri dek dikelilingi wanita berpencapaian tinggi dari seluruh dunia dengan kepelbagaian rupa paras menawan.
“Sejak kecil saya memang suka berada di atas pentas. Tapi tidak pernahlah pula tergambar satu hari nanti akan mewakili negara dalam pertandingan yang antaranya menelek faktor kecantikan.
“Sebelum ini, saya pernah menjadi wakil pertandingan pengucapan awam dan pada tahun 2019, saya sertai sebuah pertandingan ratu cantik khas untuk gadis kaum India dan memenangi tempat keempat. Pada waktu itu, saya sedar keterujaan saya bila berhadapan dengan kamera dan ia menjadi titik tolak buat saya mencuba nasib dalam pertandingan Miss World Malaysia.”
Persalinan baju T, seluar & kasut. NEW BALANCE
“Pengalaman sebulan di Puerto Rico merupakan kenangan yang tidak akan dilupakan oleh saya. Ini juga merupakan trip pertama saya ke luar negara, secara solo pula tu. Kadangkala, terasa diri ini kerdil melihat wakil negara lain; ada yang cerah, hitam manis. Saya terapkan keyakinan diri setiap hari dengan mengingatkan diri untuk bangga mewakili Malaysia.
“Sewaktu di sana, saya cukup tertarik melihat keunikan wakil-wakil rantau Asia Tenggara yang mewakili maksud sebenar ‘diversiti’. Peserta lain mengenali Malaysia sebagai negara dengan pelbagai kaum di samping kaya dengan makanan serta tradisi. Itu yang membuatkan Malaysia menonjol di pentas antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Lavanya juga sempat meluahkan harapannya tentang perubahan yang diingini olehnya dalam dunia perubatan.
“Saya rasakan, interpersonal relationship di antara doktor senior dan doktor junior itu penting biarpun baru-baru ini timbul kes-kes yang kurang enak didengar (merujuk kepada kes buli). Saya bersyukur kerana mendapat senior yang baik, tetapi saya tahu ada juga kes di mana pelajar pegawai siswazah dibuli.
“Kalau ditanya apakah perubahan yang ingin saya lihat dalam dunia perubatan ini, mungkin kita boleh memulakan perubahan dalam soal interpersonal relationship antara doktor senior dan junior,” simpulnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!