
Alhamdulillah, berita baik untuk semua bakal pengantin kerana majlis akad nikah sudah dibenarkan untuk diadakan di semua masjid kariah dan Pejabat Agama.
Kami pasti ramai pasangan pengantin yang terpaksa menangguhkan pernikahan mereka ekoran arahan PKP yang dilaksanakan dan disebabkan kes positif COVID-19 yang tinggi. Namun, SOP baharu ini mungkin mampu membuatkan mereka tersenyum akhirnya.

Menerusi satu sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, Ismail Sabri ada mengumumkan, had bilangan tetamu yang menyaksi dan mengiringi waktu akad nikah sudah ditambah.
Mari kita tonton video yang dimuat naik semula di laman rasmi Twitter Ismail Sabri ini.
Harap ianya boleh melegakan bakal pengantin baru..#staysafe pic.twitter.com/WRfkKAojns
— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) February 18, 2021
Bagi kawasan PKP, akad nikah hanya dibenarkan di pejabat agama dan masjid dengan kehadiran had maksimum 20 orang tidak termasuk jurunikah dan saksi serta tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Agama Negeri masing-masing.
Bagi kawasan PKPB, akad nikah dibenarkan dengan kehadiran had maksimum 50 peratus mengikut keluasan premis dengan penjarakkan fizikal 1 meter, manakala di kawasan PKPP, upacara dibenarkan dengan kehadiran mengikut keluasan premis dengan penjarakkan fizikal 1 meter.
Walaupun tak meriah seperti perkahwinan biasa sebelum ini, sekurang-kurangnya ada juga sahabat dan saudara-mara terdekat disisi kita ketika momen nikah ni kan.
Sumber : Twiter Ismail Sabri
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Gagal PKSK Bukan Takdir: Pendedahan Jujur 5 Punca Sebenar Ramai Pelajar Tersingkir

Keputusan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang diumumkan baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan pelajar. Selain kegembiraan bagi yang berjaya, tidak kurang juga yang berdepan rasa kecewa apabila gagal PKSK dan permohonan ke sekolah khusus seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan sekolah teknikal tidak membuahkan hasil.

Namun, menurut seorang pendidik berpengalaman, kegagalan dalam PKSK bukan berpunca daripada faktor nasib semata-mata. Sebaliknya, terdapat beberapa punca utama yang sering terlepas pandang oleh ibu bapa dan pelajar ketika membuat permohonan.
Menerusi satu perkongsian di laman TikTok, Cikgu Haziq Azree tampil menjelaskan lima faktor sebenar yang sering menjadi penyebab permohonan PKSK tidak berjaya, sekali gus memberi gambaran lebih jelas tentang realiti proses pemilihan yang jarang didedahkan.
1. Markah PKSK Tidak Mencapai Aras Standard
Faktor paling utama pelajar gagal PKSK ialah markah PKSK yang tidak mencapai aras tolerasi atau standard minimum yang ditetapkan. Walaupun pelajar memohon ke sekolah atau negeri yang berbeza, permohonan tetap berisiko ditolak sekiranya markah asas tidak memenuhi syarat kemasukan.
Menurut Cikgu Haziq, isu sebenar bukan terletak pada sekolah pilihan, sebaliknya pada pencapaian markah PKSK itu sendiri. Ramai ibu bapa tersalah anggap bahawa pemilihan sekolah luar negeri atau kurang popular akan meningkatkan peluang, sedangkan asas penilaian masih bergantung pada markah.

2. Persaingan Terlalu Sengit di Sekolah Khusus
Sekolah khusus seperti MRSM dan SBP sentiasa menerima jumlah permohonan yang sangat tinggi setiap tahun. Keadaan ini menyebabkan tahap persaingan menjadi terlalu sengit, terutamanya bagi sekolah yang berstatus premier dan berprestij.
Hakikatnya, walaupun pelajar memiliki keputusan yang baik, mereka masih boleh gagal PKSK sekiranya markah berada di bawah kelompok teratas berbanding ribuan pemohon lain yang turut memohon sekolah sama.
3. Tidak Lulus Temu Duga atau Ujian Khas
Bagi program tertentu seperti sekolah vokasional dan sekolah menengah teknik, sesi temu duga atau ujian khas menjadi penentu penting. Pelajar yang gagal menunjukkan keyakinan, kemahiran komunikasi atau kesesuaian dengan program yang dipohon berisiko ditolak walaupun markah akademik melepasi syarat minimum.
Ini membuktikan bahawa PKSK bukan sekadar menilai akademik semata-mata, sebaliknya turut menilai potensi, minat, sikap dan keperibadian pelajar secara menyeluruh.

4. Pemilihan Sekolah Tidak Seiring Tahap Akademik
Antara kesilapan paling kerap dilakukan ibu bapa ialah memohon sekolah berstatus tinggi tanpa mengambil kira tahap penguasaan sebenar anak. Menurut Cikgu Haziq, ibu bapa perlu menilai prestasi anak secara realistik berdasarkan Tahap Penguasaan (TP) dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), bukan sekadar bergantung pada harapan semata-mata.
Pemilihan sekolah yang lebih seiring dengan kemampuan akademik dan minat pelajar mampu mengurangkan risiko gagal PKSK serta meningkatkan peluang kemasukan secara signifikan.
5. Aras Tolerasi Berbeza Mengikut Sekolah
Setiap sekolah mempunyai aras tolerasi tersendiri, dan sekolah yang lebih popular lazimnya lebih selektif dalam pemilihan pelajar. Justeru, bagi permohonan rayuan, ibu bapa disarankan memilih sekolah yang kurang menjadi tumpuan bagi membuka peluang yang lebih besar.
Cikgu Haziq turut menasihatkan agar ibu bapa tidak membuat keputusan secara emosional, sebaliknya menilai pilihan dengan rasional dan strategi demi masa depan pendidikan anak.
Kesimpulan: Gagal PKSK Bukan Penamat Segalanya
Kesimpulannya, gagal PKSK bukanlah penamat kepada masa depan pelajar. Dengan memahami punca sebenar kegagalan dan membuat perancangan yang lebih bijak, pelajar masih mempunyai banyak laluan pendidikan berkualiti yang mampu membentuk kejayaan pada masa hadapan.
Pendidikan bukan hanya tentang memasuki sekolah elit, tetapi tentang bagaimana potensi anak dibangunkan secara konsisten, berperingkat dan sesuai dengan keupayaan sebenar mereka.
BACA LAGI : Exit Policy MRSM Dikembalikan, Pelajar Perlu Kekal Cemerlang Mulai Kemasukan 2026
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bukan Seperti Dalam Drama, Lelaki Ini Kongsi Pengalaman Sebenar Di Sekolah Henry Gurney

Pernah ditempatkan selama tiga tahun di Sekolah Henry Gurney tidak mematahkan semangat Muhammad Izzad Daniel Abdullah untuk terus bangkit menjadi seorang individu yang lebih baik. malah, remaja berusia 22 tahun ini juga tidak malu berkongsi pengalaman dan mengakui bahawa dirinya pernah menjadi penghuni di sekolah Henry Gurney.
Remaja berkesempatan menemubual Izzad atau lebih mesra dipanggil sebagai Ejad, untuk berkongsi kisah hidupnya agar dijadikan teladan untuk semua lapisan masyarakat, khususnya bagi anak muda.

“Kehidupan saya semasa di waktu sekolah dahulu memang agak liar dan terlampau sosial. Semuanya bermula dengan diri sendiri dan bukannya atas pengaruh kawan-kawan. Saya mempunyai sifat ingin mencuba dan dari situlah kita akan tercari-cari untuk melakukan perkara yang tidak baik. sampaikan keluarga angkat saya pun dah tak larat nak melayan perangai saya,”
“Saya kemudiannya pergi merantau dan dari situlah bermula saya melakukan perkara-perkara tidak baik seperti mengambil dadah. Asalnya bermula daripada menghidu gam dan perlahan-lahan mula mendekati najis dadah. Seawal usia 12 tahun lagi, saya sudah hisap gam,” cerita Ejad.
Mula dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney
“Bila dah hisap dadah mestilah kita nak kena cari duit kan. Saya pula tidak bekerja, kerja pun hanya cukup-cukup makan jadi tukang rumah. Saya mula tertangkap pada usia 17 tahun kerana melakukan jenayah pecah rumah,”
“Sewaktu ditangkap dan diarahkan untuk ditempatkan di Sekolah Henry Gurney, saya berasa sangat sedih kerana perlu berpisah dengan dunia luar. Saya mengambil masa hampir setahun untuk membiasakan diri di sekolah tersebut. Tapi Alhamdulillah, lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri dan menjalani kehidupan seperti biasa,”

Bercakap soal akademik, Ejad telah dibuang sekolah sewaktu umurnya 16 tahun lagi. Dia sering ditukarkan sekolah kerana melakukan kesalahan. Namun, sewaktu di Henry Gurney, Ejad meneruskan pelajarannya seperti pelajar sekolah yang lain.
“Di sekolah Henry Gurney menawarkan beberapa bidang seperti pancaragam, sekolah Agama untuk pelajar yang mengambil UPKK, bidang kemahiran, sukan dan unit akademik. Saya memilih untuk meneruskan pelajaran dalam bidang akademik,”
“Kami bersekolah seperti pelajar-pelajar di luar sana juga. Pagi masuk sekolah dan tengah hari tamat persekolahan. Selepas itu, kami diberikan masa untuk melakukan aktiviti bebas. Jadi terpulanglah kepada pelajar sama ada ingin balik ke bilik atau membaca buku,” jelasnya.
Tidak sama seperti dalam drama
“Sekolah Henry Gurney bukan tempat yang seronok. Ia juga bukan tempat untuk berubah tetapi tempat untuk kita belajar berubah. Tempat sebenar untuk berubah adalah di luar sana. Di sekolah Henry Gurney, kami terikat dengan peraturan. Mereka menekankan lebih kepada disiplin dan Henry Gurney adalah salah satu sekolah juvana dibawah sistem Jabatan Penjara Malaysia. Jadi, yang menjadi penjaga kami adalah warden-warden penjara dan unit kawalan penjara,”

“Ia tidak sama seperti yang dipaparkan dalam filem atau drama seperti Juvana kerana kalau kita tengok dalam drama tersebut, ia menunjukkan penjagaan secara kekejaman tetapi di sekolah Henry Gurney yang sebenarnya, warden mendidik tidak sampai mendera dan tidak menggunakan kekerasan. Mereka hanya menggunaka kekerasan apabila kita melakukan kesalahan,” jawabnya lagi.
Keputusan 5A dalam SPM
Walaupun dibuang sekolah sewaktu umurnya 16 tahun, Ejad telah membuktikan bahawa belum terlambat untuk dia menjadi seorang pelajar yang cemerlang.
“Saya hanya sijil UPSR dan tidak menduduki PT3. Sewaktu di sekolah dahulu pun, saya sering ponteng kelas dan tidak pernah belajar. Kalau pergi sekolah hanya sekadar untuk mengambil kehadiran dan kemudiannya saya akan keluar daripada sekolah,”
“Sebelum ini saya tidak pernah mempunyai matlamat dalam hidup. Bila saya di Henry Gurney, saya letakkan satu matlamat dalam hidup dan memfokuskan untuk mencapai matlamat tersebut. So, bagaimana caranya? Saya belajar bersungguh-sungguh supaya satu hari nanti saya akan dapat mencapai matlamat saya itu,”

“Tahun pertama disana saya menyambung pelajaran pada peringkat Tingkatan 4, tapi sewaktu itu saya masih banyak bermain lagi. Bila masuk Tingkatan 5 baru saya mula menekankan pelajaran untuk mendapatkan hasil yang baik. Alhamdulillah, saya mendapat keputusan 5A dalam SPM dan kini melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dalam jurusan Pengurusan Penerbangan di salah sebuah kolej di ibu kota,” tambah Ejad lagi.
Kejayaannya ini juga membuka mata masyarakat bahawa seseorang itu boleh mengubah nasibnya selagi mereka berusaha dan ikhlas mahu benar-benar berumah. Paling penting, kenalah istiqamah. Ejad juga bertuah kerana mendapat sokongan keluarga angkatnya dan orang sekeliling yang sering memberikan kata-kata positif kepadanya.

Ejad juga menasihatkan remaja di luar sana agar tidak melakukan atau mencuba perkara-perkara yang tidak baik kerana ia hanya akan mengundang kemudaratan.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Qari Dan Qariah Malaysia Muncul Sebagai Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-64

Baru-baru ini, qari dan qariah Malaysia dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran bagi kategori masing-masing pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 pada 12 Oktober.
Pemenang dalam kategori qari, Muhammad Husaini Mahmur menjadi johan selepas meraih markah 95.71 peratus manakala Abdur Rasheed dari Pakistan di tempat kedua (93.59 peratus) dan di tempat ketiga ialah Wahyu Andi Saputra dari Indonesia (92.09).
Bagi kategori qariah pula, Nor Hidayah Abdul Rahman muncul johan selepas mencatatkan markah 91.76 peratus diikuti peserta Filipina Raihana Ambangaladi tempat kedua (90.26 peratus) manakala Syamimi Assahira dari Indonesia di tempat ketiga (89.46).

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang dalam kategori qari manakala Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bagi kategori qariah.
Selain itu, untuk kategori hafazan lelaki pula menyaksikan Oubaydullah Boubacar Ango dari Niger muncul johan dengan markah 97.63 peratus diikuti Ibrahim Sow dari Ivory Coast (97.00 peratus) dan tempat ketiga Aeimiddin Farkhudinov dari Rusia (96.88).
Manakala, peserta Niger Habsatou Hamissou Boubacar muncul johan bagi kategori hafazan wanita dengan markah 96.13 peratus diikuti Putri Aminah Mohd Hanif dari Malaysia di tempat kedua (94.89 peratus) dan ketiga ialah Fathimah Shaya Zahir dari Maldives (94.38).
Johan bagi kategori Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM40,000 daripada kerajaan berserta kepingan emas bernilai RM12,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan menerima hadiah iringan dan sijil.

MTQHA ke-64 merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, menampilkan 92 peserta dari 71 negara terdiri daripada 53 bagi tilawah dan 39 hafazan.
Seramai 15 hakim dari pelbagai negara juga terlibat dalam MTQHA kali ini dan mengekalkan beberapa hakim iaitu dari Maghribi dan Turkiye selain muka baru dari Arab Saudi dan Indonesia dengan proses penilaian meliputi aspek tajwid, fasahah, kualiti suara serta ingatan khususnya bagi peserta hafazan.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

