Aisha Retno Jalani Rawatan Di Jakarta Akibat Keletihan, Mohon Maaf Tak Dapat Balas Mesej & E-mel

Share

Penyanyi dan komposer berbakat besar, Aisha Retno tampil memohon maaf kepada para peminat dan rakan-rakan industri selepas tidak dapat memberikan sebarang maklum balas terhadap mesej, e-mel dan DM yang diterimanya sejak beberapa hari lalu.

Menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya, Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-38 itu menjelaskan situasi sebenar yang dialaminya sepanjang berada di Jakarta bagi urusan kerja.

“Salam semua, Saya Aisha. Saya ingin memohon maaf dengan sepenuh hati kepada sesiapa yang telah cuba menghubungi, menghantar mesej, e-mel atau DM saya baru-baru ini.

“Saya masih berada di Jakarta atas urusan kerja dan telah dimasukkan ke hospital, jadi saya tidak berkesempatan untuk membalas atau mengikuti perkembangan di media sosial.

“Terima kasih atas kesabaran dan pemahaman anda semua. Saya kini dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan akan cuba sedaya upaya untuk membalas mesej sebaik sahaja saya tiba di rumah. Salam sayang, Aisha Retno,” coretnya ringkas.

Difahamkan, Aisha dikejarkan ke hospital pada Isnin lalu selepas mengalami kejang otot serta keletihan melampau semasa bekerja di ibu kota Indonesia itu.

Menurut laporan media tempatan, Pegawai Perhubungan Awam Aisha Retno Entertainment iaitu Asraf Aided memaklumkan hasil pemeriksaan doktor mendapati keadaan kesihatan Aisha merosot akibat kekurangan rehat dan beban kerja yang terlalu padat.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: IG Aisha Retno

Published by
Fath