Berita

Aina Abdul Kecewa Budaya Saling Menjatuhkan -“Sepatutnya Kita Meraikan Sesama Artis”

Share

Bagi penyanyi Aina Abdul, kritikan terhadap persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) bukanlah sesuatu yang asing, apatah lagi apabila media sosial menjadi ruang terbuka untuk orang ramai memberikan pandangan.

Namun, apa yang lebih mengecewakan pelantun lagu Sadis itu apabila kecaman bukan sahaja datang daripada netizen, malah turut disuarakan oleh segelintir rakan dalam industri seni.

Menurut Aina, dia sememangnya menyedari mengenai kritikan yang dilemparkan terhadap persembahannya, namun memilih untuk tidak membiarkan perkara berkenaan mengganggu fokusnya dalam berkarya.

“Kenapa kita perlu hidup dalam masyarakat penuh kebencian?”

Aina mengakui sempat membaca beberapa komen yang diberikan terhadap persembahannya dan mempersoalkan budaya saling menjatuhkan yang masih berlaku dalam kalangan penggiat seni.

“Saya memang nampak perkara seperti itu dan sempat membaca beberapa komen. Bagi saya, kenapa kita perlu hidup dalam masyarakat penuh kebencian? Sepatutnya kita meraikan sesama artis.

“Kita sama-sama melalui kesusahan. Kita tahu perjalanan sebagai anak seni bukan setiap hari indah dan penuh warna-warni. Kita tahu sendiri betapa sukarnya berada dalam industri ini.

“Kalau kecaman datang daripada netizen, mungkin mereka tidak mengetahui kehidupan sebenar kita. Tetapi apabila perkara itu datang daripada rakan industri, kadang-kadang saya tertanya-tanya, kenapa perlu begitu negatif?” katanya kepada Kosmo! Online.

Walaupun meluahkan rasa kecewa, Aina menegaskan kenyataannya itu tidak ditujukan kepada mana-mana individu.

Sebaliknya, dia berharap setiap penggiat seni dapat meneruskan kehidupan dan kerjaya masing-masing tanpa mewujudkan permusuhan hanya disebabkan perbezaan pandangan.

 

“Seni kami, untuk kami”

Dalam masa sama, penyanyi berkenaan memilih untuk terus bekerja dan mengekalkan perspektif positif kerana percaya setiap karya yang dihasilkan mempunyai kelompok peminatnya sendiri.

“Saya tidak tujukan perkara ini kepada sesiapa. Saya cuma berharap mereka gembira dengan apa sahaja perkara yang sedang dilakukan.

“Saya akan teruskan kerja dan kekal berfikiran positif kerana saya tahu apa yang saya buat mungkin bukan untuk mereka, tetapi untuk peminat saya yang menghargai seni.

“Bak kata abang Noh Salleh, ‘seni kami, untuk kami’. Jadi, saya akan terus berjalan dengan prinsip itu,” ujarnya.

Buat Aina yang pernah bergelar juara Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37), pengalaman berdepan kritikan sebegitu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima.

Namun, dia memilih untuk melihatnya sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup dan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku.

Tak perlu tahu siapa kawan atau lawan

Menurut Aina, kehidupan mengajarnya bahawa tidak semua orang yang hadir dalam perjalanan seseorang akan kekal sebagai kawan.

Bagaimanapun, perkara lebih penting baginya adalah bagaimana seseorang itu memilih untuk bertindak apabila berdepan situasi sedemikian.

“Itulah kehidupan. Kita tidak akan pernah tahu siapa sebenarnya kawan kita. Saya harap semua orang yang membaca kisah ini dapat mengambil sedikit pengajaran.

“Tidak kira siapa kita jumpa dalam hidup, kita tidak tahu sama ada dia kawan atau lawan. Tetapi perkara paling penting bukan untuk mengetahui siapa kawan atau lawan.

“Kalaupun akhirnya kita sedar seseorang itu bukan kawan seperti disangka, jangan sambung perkara negatif itu. Simpan sahaja, ketepikan dan teruskan perjalanan,” jelasnya.

“Berbuat baiklah”

Pada masa sama, Aina mengingatkan orang ramai supaya lebih bijak dalam menggunakan media sosial, khususnya ketika memberikan komen atau menyuarakan pandangan terhadap orang lain.

Baginya, kemajuan teknologi sepatutnya menjadikan masyarakat lebih matang dalam memilih perkataan dan bukannya membuka ruang untuk menyemarakkan kebencian.

“Berbuat baiklah. Kita sudah berada pada tahun 2026. Sepatutnya kita lebih matang, tahu perkara betul untuk dilakukan dan tahu memilih kata-kata yang baik,” ungkapnya.

Sebelum ini, persembahan Aina di pentas AJL40 mencetuskan pelbagai reaksi dalam media sosial apabila gaya persembahannya menerima kritikan daripada netizen serta beberapa rakan industri.

Antara komen yang diterima termasuk dakwaan bahawa persembahan tersebut terlalu berlebihan, malah ada yang berpandangan pendekatan less is more lebih sesuai untuk sesebuah persembahan di pentas berprestij itu.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath