
Edisi ke-14 program realiti pencarian bakat paling ikonik di Malaysia, Dewi Remaja 2025, kembali membuka tirai dan seperti biasa, kemunculannya mencuri perhatian ramai. Namun lebih daripada sekadar pertunjukan glamor, kali ini ia mengetengahkan semangat dan keberanian gadis muda yang hadir dengan harapan dan impian.
Di sebalik keterujaan peminat setia, ruang media sosial turut dibanjiri pandangan pelbagai, khususnya terhadap penampilan dan personaliti para peserta yang hadir ke sesi uji bakat. Walaupun ada suara-suara sinis, dua figura berpengaruh dalam legasi Dewi Remaja tampil menyuntik inspirasi dengan mempertahankan semangat dan tekad peserta muda ini.
“Saya dari Dewi Remaja dan cuma nak jelaskan yang pergi ke uji bakat tu belum lagi bermakna dah sah jadi peserta mana-mana.
“Hanya 12 peserta teratas sahaja yang akan secara rasmi dianggap sebagai Dewi, okay?” katanya.
Adriana turut menyeru agar gadis muda yang berani melangkah ke uji bakat ini diberi ruang dan dihargai atas keberanian mereka.
“Apa pun, bila seorang gadis muda berani keluar dari zon selesa, itu sepatutnya kita raikan, bukan perlekehkan. Kita semua ada kecantikan masing-masing, jadi mungkin kita boleh belajar untuk lebih berlembut antara satu sama lain.
“Rasanya saya patut nyatakan dari awal. Saya sebenarnya Naib Juara Dewi Remaja 2019. Harap perkara ni dah jelas. Dan untuk semua calon Dewi yang akan datang, semoga berjaya!” coretnya lagi.
Dalam masa sama, komen positif daripada pengguna media sosial turut menegaskan bahawa menyertai Dewi Remaja bukan semata-mata soal rupa, tetapi komitmen terhadap tanggungjawab dan hala tuju diri.
“Menyertai Dewi Remaja sebagai finalis adalah satu langkah yang berani dan penuh cita-cita tapi ia hadir dengan pelbagai peluang besar, namun juga cabaran yang tidak kurang hebatnya. Sebaik sahaja anda menjadi finalis, anda bukan lagi individu biasa. Kehidupan, tutur kata, penampilan dan setiap tindakan anda akan menjadi perhatian umum.
“Menjadi finalis Dewi Remaja bukan sekadar tentang rupa paras atau populariti, ia tentang keperibadian, keteguhan diri, dan tujuan yang jelas. Jika anda sudah bersedia untuk menghadapi seluruh perjalanan ini, termasuk cabarannya, itu bermakna anda sudah pun separuh jalan ke hadapan,” komennya panjang lebar.
“Semua gadis yang datang ke uji bakat Dewi Remaja 2025 hadir dengan impian dan harapan.
“Mungkin ada yang tidak berjaya melepasi saringan, tapi keberanian untuk tampil dan mencuba, itu sudah cukup bermakna. Teruskan langkah, kamu sedang membina sesuatu. #DewiRemaja2025,” tulis Arabella.
Dewi Remaja 2025 merupakan sambutan ulang tahun ke-40 sejak diperkenalkan pada tahun 1985. Ia kekal sebagai platform pencungkil bakat wanita paling berprestij di Malaysia, membuka ruang buat gadis remaja menyerlahkan potensi dalam dunia hiburan, fesyen, penyiaran dan banyak lagi.
Antara alumni terkenal yang pernah bergelar finalis termasuklah Aleeza Kassim, Scha Alyahya, Izara Aishah, Noor Neelofa, Raysha Rizrose, Shaza Bae dan Tracie Sinidol. Edisi 2023 pula menyaksikan Nurel Baharin dari Sarawak dinobatkan sebagai juara.
Kini, memasuki dekad keempat, Dewi Remaja terus membuktikan bahawa seorang gadis bukan sekadar dinilai dari segi rupa, tetapi melalui karakter, keberanian dan cita-cita mereka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.