
Pelakon dan usahawan terkenal, Adam Corrie sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi pandangan peribadinya mengenai dunia pendidikan, khususnya tentang keputusan menghantar anak ke sekolah kebangsaan walaupun beliau berbangsa Cina.
Menurut Adam, pemilihan sekolah tidak seharusnya dinilai berdasarkan kaum atau latar belakang semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira minat dan keselesaan anak itu sendiri.
Jelas Adam, beliau pernah mencuba menghantar anaknya ke tadika Cina sebelum ini sebagai pendedahan awal, namun mendapati anaknya tidak menunjukkan kecenderungan terhadap pembelajaran tersebut. Dari situ, beliau memilih untuk tidak memaksa dan memberi ruang kepada anaknya berkembang mengikut minat sendiri.
Mengulas lanjut, Adam menegaskan bahawa setiap anak memiliki potensi, minat dan laluan pembelajaran yang berbeza. Justeru, peranan ibu bapa bukanlah untuk menentukan segala-galanya, tetapi menjadi penyokong yang memahami keperluan emosi dan perkembangan anak-anak.
Beliau turut menutup perkongsian tersebut dengan pesanan yang cukup menyentuh hati, mengajak ibu bapa agar sentiasa berlapang dada dan bersangka baik dalam mendidik anak-anak.
“Setiap anak ada minat dan laluan pembelajaran masing-masing.
“Tugas kita sebagai ibu bapa adalah menyokong, bukan memaksa. Senyum selalu, selalu bersangka baik. InsyaAllah hati tenang,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.