Berita

Adam Adli Pertahan Sekatan Ke Luar Negara Terhadap Peminjam PTPTN Culas

Share

Kenyataan lama Adam Adli Abd Halim yang pernah menyifatkan cadangan Perbadanan Tabung Pinjaman Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyekat peminjam culas ke luar negara sebagai tindakan “bangsat” kembali menjadi perhatian apabila beliau kini mempertahankan langkah tersebut.

Namun menurut Adam yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, pendekatan yang diambil oleh kerajaan Madani ketika ini berbeza berbanding pelaksanaan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Adam menegaskan bahawa penyenaraian hitam terhadap peminjam PTPTN tidak dilaksanakan secara menyeluruh seperti sebelum ini, sebaliknya hanya melibatkan kes-kes tertentu yang memerlukan tindakan tegas.

“Seperti mana kita jelaskan tadi, penyenaraian hitam (terhadap peminjam PTPTN) bukan menyeluruh polisi seperti mana kita (kerajaan) lakukan suatu masa dahulu.

“Sebaliknya hanya dalam kes tertentu yang melibatkan perlu tindakan tegas terhadap mereka yang memiliki keupayaan (membayar balik pinjaman) berbanding mereka yang lain.

“Hanya 0.7 peratus daripada keseluruhan peminjam yang culas, itu meliputi kurang 3,000 berbanding 417,000 (secara keseluruhan) peminjam yang disenaraikan culas (oleh PTPTN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini, sebagai menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Betong, Richard Rapu (GPS-Betong).

Dalam sesi tersebut, Richard membangkitkan persoalan mengenai garis masa untuk menilai semula penyenaraian hitam, khususnya melibatkan peminjam daripada kumpulan B40 agar ia selari dengan realiti pasaran kerja serta peningkatan kos sara hidup semasa.

Untuk rekod, Adam sebelum ini ketika bergelar aktivis pelajar pernah mengecam Pengerusi PTPTN ketika itu, Wan Saiful Wan Jan susulan cadangan untuk memperkenalkan semula sekatan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.

Ketika itu, Adam mendakwa cadangan tersebut bercanggah dengan aspirasi Pakatan Harapan (PH), sekali gus menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat mengenai keadilan dan keberkesanan dasar berkenaan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: MalaysiaKini

Published by
Fath