Tugas selaku seorang pemimpin bukanlah sesuatu yang boleh digalas secara sewenangnya.
Tidak kira sama ada negara sedang berdepan dengan pergolakan atau jika negara berdiri gah di mata dunia, seorang pemimpin harus berada di hadapan semua rakyat di waktu sukar mahupun senang tanpa mengabaikan keperluan rakyat.
Seorang pemimpin yang ikhlas menjalankan tugasnya demi negara tidak sesekali akan mementingkan agenda diri sendiri atau partinya. Beliau juga tidak akan membiarkan dirinya terpalit dengan sindrom ‘menyelamatkan diri sendiri’ di kala pihak lain terabai tanpa dibela.
Oleh sebab itulah tidak mudah untuk menjadi seorang pemimpin. Malangnya, lebih ramai pemimpin yang wujud pada era ini selayaknya digelar zalim dan bongkak. Sudahlah hak, nasib dan hala tuju rakyat tergadai; Pak Menteri pula lebih sakan mengumpul harta duniawi demi kegunaan peribadi.
Ibarat menanti bom jangka yang mampu meletup pada bila-bila masa, prinsip seorang pemimpin sebegini bukan sahaja memberi kesan kepada imejnya sendiri. Bahkan, ia mewujudkan situasi tegang yang terpaksa dilalui oleh rakyat Malaysia apabila pemerhati luar mula dihambat perspektif negatif baharu dan akhirnya meragui kestabilan pucuk kepimpinan negara yang terkini. Maka, bermulalah episod kestabilan emosi rakyat yang bakal tergugat.
Ingat, rakyat tidak bodoh untuk menganalisa sendiri kelemahan yang dipamerkan oleh sesetengah golongan pemimpin di negara kita. Setiap kali mereka diuji, maka terpamerlah keinginan survival sang manusia yang dahulunya begitu angkuh mengaut keuntungan di keliling pinggang.
Jika aduan mengenai kepincangan barisan pemimpin negara kita dipekakkan begitu sahaja oleh pihak berkuasa, jujurnya rakyat tetap mempunyai outlet untuk mengadu kepada Yang Esa.
Ads
Sebagai masyarakat beragama Islam, kita percaya senjata terkuat apabila berdepan dengan golongan zalim adalah doa.
Namun, adakah doa berbaur ‘luahan perasaan negatif’ terhadap para pemimpin ini dibenarkan di sisi agama?
Nabi Muhammad SAW bersabda dalam Hadis Bukhari dan Muslim, maksudnya;
“Takutlah kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tiada antara doa itu dengan Allah sebarang dinding.” (1)
Tindakan untuk berdoa agar golongan yang menzalami orang lain ini dijauhkan daripada kita juga telah disebut melalui firman Allah SWT dalam surah al-Nisa, ayat 148 yang bermaksud:
“Allah tidak suka berterangan menyebut kejahatan melainkan daripada orang yang dizalimi..”(2)
Ads
Jelas Ibnu Abbas menurut Ibnu Kathir, ayat tersebut membawa maksud Allah tidak suka seseorang itu mendoakan keburukan ke atas sesiapa melainkan dia dizalimi. Doa tersebut adalah satu kelonggaran yang diberikanNya.
Al-Sa’di pula pernah berkata bahawa hukum orang yang dizalimi untuk mengadu perihalnya dan menyebut secara terang-terangan kejahatan orang zalim tanpa menambah pembohongan atau berlebih-lebihan mengatasi kadar kezaliman ke atas dirinya adalah harus. (3)
Diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abdullah bin Amru RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya pemimpin yang adil di sisi Allah nanti akan berada di atas mimbar daripada cahaya, mereka duduk di sebelah kanan Tuhan Yang Maha Pengasih dan sedangkan kedua tangan Allah itu adalah kanan semua orang-orang yang berlaku adil dalam hukum penilaian mereka, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka.”(4)
Ads
Betapa mulianya pemimpin yang adil di sisi Allah apabila mereka akan ditempatkan di kedudukan yang sangat dekat dengan Allah kelak di akhirat kelak.
Akhir kata, penulis percaya rakyat tidak mengharapkan pun seorang pemimpin itu untuk sempurna dalam setiap tindak-tanduknya. Pemimpin juga adalah manusia biasa yang punya banyak kelemahan.
Namun, kewibawaan seorang pemimpin itu haruslah setanding dengan posisi yang didudukinya itu. Sedangkan kerusi pun boleh terbalik, apatah lagi kedudukan seorang pemimpin yang goyah dek kerana tipisnya integriti.
Jangan disebabkan beberapa jongkong emas dan longgokan wang kertas, pemimpin kita buta dengan nasib rakyat yang masih tidak terbela.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pengawal keselamatan wanita, Yogeswary dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 19 Disember ini.
Pengiktirafan itu diberikan susulan sifat peramah dan ringan tulang yang dipamerkan ketika bertugas di Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB apabila sering membantu pelawat untuk meletakkan kereta di ruang parkir bagi memudahkan si suami melawat isteri di wad bersalin.
Selain itu, Yogeswary turut terkenal dengan sifatnya yang suka membantu membukakan pintu kereta, mengangkat barang, menjaga lalu lintas di parkir, menenangkan pesakit yang cemas, serta mengucapkan tahniah kepada ibu yang baru melahirkan anak di hospital tersebut.
Sikapnya yang sentiasa merendah diri kemudiannya tular di laman media dan meraih pujian melambung dari warganet serta pesakit yang pernah bertemu dengannya.
Berkongsi kegembiraannya di laman Facebook, Yogeswary mengucapkan terima kasih kepada semua pelawat dan sokongan diberikan atas penganugerahan yang diterima.
“Saya nak ucapkan ribuan jutaan terima kasih kepada semua pelawat yg datang ke HRPB Ipoh, dengan sokongan dan komen-komen anda, saya akan menerima pingat ini.
“Jasa saya di kompleks wanita dan kanak-kanak, terutama untuk kesemua adik-adik perempuan yang datang untuk bersalin di KWKK dan juga dapat memudahkan para ayah untuk dapatkan parkir. Sekarang saya berkhidmat di Kompleks Rawatan Harian untuk pesakit kurang upaya (warga emas) di sini. Saya dapat perhargaan ini dari anda semua.
“Terima kasih saya ucapkan kepada anda semua dan tak lupa pada syarikat saya, ‘United’ yang kini saya sedang berkhimat sekarang, unit keselamatan kami, keluarga, kenalan di Facebook dan pegawai-pegawai atasan di HRPB Ipoh. Terima kasih sekali lagi untuk anda semua,” katanya menerusi hantaran.
Untuk rekod, Yogeswary sebelum ini tular apabila gelagatnya membantu pengunjung Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB dikongsi di media sosial hingga meraih perhatian Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Atas komitmen tinggi ditunjukkan, beliau kini ditugaskan mengawal keselamatan di Kompleks Rawatan Harian HRPB bagi membantu warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sejak enam bulan lalu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Berita baik buat individu yang masih giat mencari pekerjaan sepanjang pandemik ini, lebih 20,000 kekosongan jawatan membabitkan 126 majikan akan ditawarkan menerusi Expo Kerjaya sempena penganjuran ‘International Public Employment Forum 2021’ (IPEF 2021) secara maya.
Penganjuran IPEF 2021 ini bertujuan untuk membantu mempersiapkan orang ramai terutama golongan majikan, pekerja dan pencari kerja dengan maklumat serta berkongsikan amalan terbaik bagi membina semula kehidupan pasca pandemik COVID-19.
Gambar hiasan
Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), ekspo kerjaya ini akan disertao majikan daripada syarikat-syarikat besar seperti ExxonMobil, Honda, CIMB Bank, Top Glove, Schlumberger, Petron, UMW, KPJ dan banyak lagi.
Selain itu, turut berlangsung SOCSO’s Regional Return to Work (RTW) DIGIMOS Symposium 2021 dalam usaha Perkeso terus membantu golongan orang kurang upaya (OKU) dalam mengharungi cabaran Covid-19.
Persidangan julung kali ini dijangka menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh pelosok Asia Tenggara dengan mengetengahkan barisan panel jemputan terdiri daripada pakar dalam bidang pengurusan hilang upaya dan rehabilitasi di tempat kerja.
Gambar hiasan
Jika korang ingin menyertai IPEF 2021 yang bakal berlangsung pada 7 hingga 9 September ini, pendaftaran boleh dibuat mulai sekarang menerusi pautan www.perkeso.gov.my/ipef. Sekiranya ingin mengetahui maklumat lanjut, korang juga boleh menghubungi Careline Perkeso di 1300- 22-8000 atau emel ke ipef@perkeso.gov.my.
Ini adalah peluang terbaik untuk individu yang kehilangan kerja pada waktu pandemik. Ambil peluang yang diberikan ini, manalah tahu ada rezeki korang nanti.
Kisah pelajar cemerlang, Muhammad Aiman Afiq Mohd Basri yang sebelum ini terpaksa berhenti belajar kerana kesempitan hidup akhirnya mendapat sinar baharu apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) tampil membantu.
Menurut Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Aiman kini ditempatkan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di British Malaysia Institute (BMI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“Saya memujuknya untuk sambung pengajian di UniKL dengan pembiayaan penuh MARA kerana hanya ilmu sahaja boleh merubah kehidupannya dan keluarga.
“Alhamdulillah turut bersama saya tadi Dekan UniKL-British Malaysia Institute (BMI) Ts. Dr Zulkifli Mahmoodin yang terus membawa surat tawaran pengajian Ijazah Kejuruteraan Elektrik dengan pendaftaran segera pada hari Ahad ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Bukan setakat tempat pengajian, Aiman yang merupakan bekas pelajar MRSM Transkrian dengan pencapaian 9A dalam SPM serta penerima Anugerah Emas itu turut menerima pembiayaan penuh MARA. Malah, beliau juga diberi wang saku bulanan RM800 serta penempatan asrama percuma.
Datuk Dr Asyraf turut berharap agar kisah Aiman tidak lagi berulang dalam kalangan pelajar lain.
“Tiada lagi pelajar cemerlang seperti Muhammad Aiman yang tercicir dalam pembelajaran hanya kerana faktor kemiskinan,” ujarnya.
Sebelum ini, kisah Aiman meraih perhatian ramai apabila dia membuat keputusan untuk tidak meneruskan pengajian selepas beberapa permohonan biasiswa gagal.
Walaupun pernah memperoleh PNGK 3.87 ketika di Asasi Universiti Teknologi Petronas (UTP), Aiman terpaksa bekerja di kilang untuk menampung keluarga.
Keadaan keluarganya juga menyayat hati. Bapanya tidak bekerja kerana masalah kemurungan kritikal, manakala ibunya pula menyara keluarga dengan mengambil upah membungkus nasi lemak setiap pagi dengan bayaran hanya sekitar RM20 sehari.
Kemudian, ibunya beralih kepada kerja menyusun ubat stapler di rumah dengan upah tidak sampai RM10 sehari.
Difahamkan, Aiman merupakan anak sulung daripada dua beradik, dengan adik perempuannya kini masih bersekolah di Tingkatan 3.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Selepas mengesahkan tarikh pernikahan mereka, pasangan Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini berkongsi pula perancangan untuk beberapa majlis...