
Kejohanan eSukan peringkat universiti, ACS EDU Tour kembali menemui peminat untuk musim keempat dengan misi memperkasa pembangunan sukan elektronik dari peringkat akar umbi serta mendukung inisiatif pendidikan digital secara menyeluruh.
Musim lalu menyaksikan kejohanan ini mencipta sejarah apabila disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai Kejohanan eSukan Varsiti Terbesar di Malaysia dengan penglibatan 109 universiti dan penyertaan sebanyak 1,744 pasukan dari seluruh negara.
Menerusi kerjasama strategik bersama Tencent Games Malaysia, musim terbaharu ini menampilkan permainan popular Honor of Kings, yang turut diangkat sebagai Google Play Best Game 2024 di Asia Tenggara. Permainan berkenaan dijangka memberikan pengalaman kompetitif bertaraf dunia buat peserta.
Sebanyak 16 pasukan akan mewakili setiap negeri dan wilayah Persekutuan, masing-masing terdiri daripada maksimum tujuh pemain sekaligus menjadikan kejohanan ini antara acara terbesar peringkat kolej di rantau ini.
Selain aspek pertandingan, ACS EDU Tour meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti kempen Scream for Charity kendalian ZTE|nubia yang sebelum ini berjaya mengutip RM10,000 bagi badan amal Monsters Among Us, yang memperjuangkan kesedaran terhadap isu buli dalam kalangan belia.
Menariknya, musim ini turut memberi tumpuan kepada penglibatan lebih ramai pemain wanita serta para gamers (OKU) sebagai bukti iltizam kejohanan ini terhadap nilai keterangkuman dan kesaksamaan.
Sementara itu, menerusi kerjasama dengan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dan Esports Integrated, kejohanan ini turut menyokong agenda nasional ke arah membina Malaysia sebagai hab eSukan serantau.
Bagi memperluaskan impak kepada komuniti kampus, ACS EDU Tour dijangka menjelajah ke 110 buah institusi pengajian tinggi dalam tempoh enam bulan dari Jun hingga November ini, sebelum pemenang setiap negeri berentap dalam Grand Final yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada November nanti.
Dalam pada itu, kempen CRITFluence turut kembali dengan sasaran merekrut 1,000 pelajar sebagai influencer kampus. Pelajar terpilih bakal menerima latihan, peluang penajaan, barangan eksklusif dan ganjaran tunai sambil membina jenama peribadi dalam dunia digital.
Menambahkan lagi tarikan musim ini, kejohanan turut memperkenalkan format baharu In-Season Cup yang menyaksikan pasukan negeri Malaysia berentap dengan pasukan dari negara-negara ASEAN sebagai langkah memupuk daya saing antarabangsa di peringkat kolej.
Juara ACS EDU Tour Musim 4 bukan sahaja membawa pulang hadiah wang tunai sehingga RM200,000, malah turut ditawarkan kontrak separuh profesional bersama CRIT sebagai pasukan rasmi Honor of Kings.
Secara keseluruhannya, ACS EDU Tour Musim 4 bukan sekadar pertandingan eSukan, malah merupakan platform pembangunan bakat, keterlibatan komuniti dan pendidikan digital yang menyeluruh bagi mahasiswa di seluruh negara.
Antara penaja utama yang kembali memeriahkan kejohanan ialah MAGGI® sebagai mi segera rasmi, Vico sebagai minuman malt coklat rasmi, serta ZTE|nubia yang meneruskan penajaan buat tahun keempat berturut-turut. Jenama OneOne™ pula tampil sebagai penaja rasmi game recharge.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.