Baru-baru ini, seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya mencuri perhatian selepas dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga pada Kejohanan Dunia Adobe Certified Professional (ACP) 2026 yang berlangsung di Anaheim, California, Amerika Syarikat. Lebih membanggakan, kejayaan itu diraih selepas beliau berdepan saingan sengit daripada ratusan peserta berbakat dari seluruh dunia.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook rasmi UPSI, Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad yang merupakan penuntut Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Teknologi Maklumat), Fakulti Komputeran dan META Teknologi (META), berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila menewaskan 203 peserta dari 45 negara dalam pertandingan anjuran Certiport International yang berlangsung dari 26 hingga 29 Julai lalu.
Difahamkan, kejayaan tersebut turut melayakkan Muhammad Fawwaz membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$2,000 (kira-kira RM8,200) hasil kebolehannya menghasilkan reka bentuk poster kreatif menggunakan perisian Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign. Pertandingan itu diiktiraf sebagai antara kejohanan pensijilan profesional paling berprestij dalam bidang reka bentuk digital di peringkat antarabangsa.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md. Taff, pencapaian membanggakan itu bukan sahaja membuktikan keupayaan luar biasa Muhammad Fawwaz dalam bidang reka bentuk digital, malah menjadi bukti bahawa institusi pendidikan tempatan mampu melahirkan bakat bertaraf dunia yang berdaya saing di pentas global.
“UPSI akan terus melahirkan bakat digital bertaraf antarabangsa melalui latihan dan pensijilan profesional. Kami berharap lebih banyak institusi bersama-sama memperkukuh pembangunan bakat digital demi menjadikan Malaysia sebagai antara peneraju kreativiti dan inovasi digital di rantau ini,” katanya.
Di sebalik kejayaan itu, Muhammad Fawwaz turut menerima bimbingan daripada pensyarah Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti META UPSI, Ahmad Nurzid Rosli, yang memainkan peranan penting dalam mempersiapkan beliau menghadapi pertandingan berprestij berkenaan.
BACA: Bawa Pulang 7 Emas! Pelajar UPSI Dominasi World Chefs Championship 2026

Dalam pada itu, Pengurus Kontinjen Malaysia, Natalie Sit menyifatkan edisi 2026 sebagai pencapaian terbaik negara sepanjang penyertaan dalam Kejohanan Dunia ACP apabila kontinjen Malaysia berjaya meraih tiga pengiktirafan utama menerusi kejayaan Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad yang menduduki tempat ketiga, selain Muhammad Nafiz Asyraaf Mohd Nazrin daripada Universiti Teknologi MARA Sarawak yang meraih tempat keempat serta anugerah People’s Choice Awards.
Anda mungkin berminat dengan
Untuk rekod, UPSI memaklumkan edisi kali ini turut menandakan tahun kelima berturut-turut kontinjen Malaysia berjaya meraih kedudukan podium dalam Kejohanan Dunia ACP. Pencapaian konsisten itu sekaligus mencerminkan perkembangan positif ekosistem bakat digital negara yang semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Tahniah!
Sumber: Facebook UPSI
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Tujuh terjunan kemas oleh Nur Dhabitah Sabri pada petang tadi telah membuahkan kilauan pingat emas pertama Malaysia.
Aksi skuad terjun di Sukan SEA ke-31 di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi bermula hari ini telah menerbitkan keceriaan buat kem Malaysia setelah penerjun kebangsaan, Nur Dhabitah Sabri menghadiahkan sebutir pingat emas menerusi acara terjun satu meter papan anjal individu wanita.
Prestasi konsisten Dhabitah berjaya meninggalkan penerjun lain setelah mengutip mata keseluruhan 290.45. Pada masa yang sama, pingat perak juga menjadi milik Malaysia menerusi rakan senegara, Kimberly Bong Qian Ping dengan kutipan 230.00 mata. Atlet tuan rumah, Vietnam iaitu Ngo Phuong Mai pula meraih gangsa dengan kutipan mata 224.00 mata.
Bercakap kepada Astro Arena di sana, Dhabitah berharap agar pencapaiannya pada hari ini akan dijadikan pembakar semangat untuk barisan atlet Malaysia di Sukan SEA kali ini.
Ini kerana penerjun berusia 22 tahun itu tahu banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh kesemua atlet bagi menantikan saat ini untuk membawa nama negara setiap kali melangkah masuk ke gelanggang pertarungan.
“Saya tidak fikir pasal atlet lain, saya banyak fokus pada diri sendiri untuk memperbaiki persembahan saya kerana bagi saya cabaran terbesar adalah diri sendiri.
“Saya harap dengan sumbangan ini boleh bagi semangat lagi kepada atlet lain untuk bekerja keras dapatkan pingat emas kerana saya tahu cabarannya bukan mudah,” kata Dhabitah selepas acaranya berakhir.
ARTIKEL BERKAITAN : Dhabitah Sabri Dipilih Bawa Jalur Gemilang Di Sukan SEA Vietnam – REMAJA
Untuk pengetahuan, ini merupakan pingat emas kelima yang pernah disumbangkan oleh Dhabitah sepanjang beraksi di peringkat Sukan SEA bermula tahun 2013.
Selepas ini, Dhabitah bakal bergandingan dengan rakan seperjuangan, Datuk Pandelea Rinong menerusi acara 10m platform seirama, Rabu ini. Setelah tiga tahun tidak bertanding dalam acara platform, ini adalah peluang buat Dhabitah untuk membuktikan versaliti dirinya selaku seorang penerjun.
P.S : Sukan SEA ke-31 di Vietnam bakal membuka tirainya secara rasmi pada 12 Mei ini.
Sumber : (1)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Pujian membanjiri platform media sosial pada hari ini setelah jurulatih skuad badminton negara, Hendrawan yang kini berada di Birmingham, United Kingdom sempena Sukan Komanwel 2022 tidak ‘berkira’ untuk meminjamkan kasutnya kepada pemain Jamaica, Samuel Ricketts.
Dalam perlawanan di antara Samuel dan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong awal pagi tadi, tapak kasut yang dipakai Samuel dilaporkan rosak. Justeru, perlawanan mereka terpaksa dihentikan seketikan.

Samuel dilihat cuba menggunting dan menanggalkan bahagian kasutnya yang terkoyak sebelum meneruskan aksi. Begitupun, jelas keadaan kasutnya itu kurang menyelesakan sehinggalah jurulatih Jamaica datang memberikan kasut sukan rakan sepasukan Samuel.
Rasa tidak selesa masih dirasainya oleh kerana saiz berlainan. Justeru, Tze Yong dan Hendrawan hadir ke tepinya untuk bertanya mengenai saiz kasut Samuel. Hendrawan terus membuka kasutnya lalu ia diberikat kepada Samuel memandangkan saiz dan jenama kasut yang mereka berdua pakai adalah sama.


Tindakan Hendrawan yang mencerminkan semangat kesukanan ini pantas menerima pujian daripada peminat sukan badminton. Apatah lagi, dia tidak kisah untuk hanya memakai stokin putih di belakang gelanggang sepanjang baki perlawanan tersebut.
Pengulas bersukan yang bertugas untuk perlawanan tersebut juga tidak mempercayai tindakan Hendrawan ini.
“Masih sukar untuk saya mempercayai jurulatih Malaysia telah memberikan kasutnya kepada Samuel Ricketts untuk menentang pemainnya sendiri,” katanya.

Tze Yong berjaya menewaskan Samuel dengan kemenangan straight set 21-12, 21-16. Ia melengkapkan keputusan menang 5-0 skuad badminton Malaysia ke atas Jamaica dan berjaya mara ke suku akhir.
Samuel dalam pada itu terus menggunakan kasut Hendrawan itu untuk perlawanan acara beregu pula.
Foto : Tangkap Layar Instagram Bad Live Page
ARTIKEL BERKAITAN : Ini Barulah Namanya ‘Sportsmanship’! Warganet Berterima Kasih Pada Atlet Greece – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
“Yang mana satu betul, goreng pisang atau pisang goreng, cikgu?” tanya seorang pelajar. Hal ini diajukan kerana terdapat sebilangan besar peniaga atau penjaja makanan yang menulis “goreng pisang” dan ada juga yang menulis sebagai “pisang goreng” pada papan iklan mereka. Perkara ini sedikit sebanyak mendatangkan kekeliruan kepada pengguna bahasa, khususnya para pelajar. Bukan hanya pelajar, kecelaruan ini turut memberikan kesan yang tidak baik terhadap pengguna bahasa Melayu. Berbalik kepada persoalan pelajar tersebut, dalam situasi tersebut, frasa yang tepat ialah “pisang goreng”.
- Mak Cik Kiah menjual pisang goreng di warungnya.
“Pisang goreng” ialah pisang yang telah digoreng, iaitu sejenis makanan dan tergolong dalam kategori kata nama. Frasa “pisang goreng” dalam ayat di atas menepati Hukum DM.
Menurut buku Tatabahasa Dewan, Hukum DM ialah singkatan bagi (D) diterangkan dan (M) menerangkan.
Dalam peraturan ini, unsur yang diterangkan (D) merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan (M) unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua. Hukum DM digunakan untuk memastikan frasa nama digunakan dengan betul. Seharusnya bentuk yang betul ialah “pisang goreng” kerana merujuk kata nama pisang sedangkan kata “goreng” merujuk kata kerja.
Walau bagaimanapun, dalam situasi lain frasa “goreng pisang” menunjukkan proses atau perbuatan menggoreng pisang, iaitu memasak dengan minyak, misalnya seperti ayat di bawah.
- Ibu goreng pisang di dapur.
Penggunaan “goreng pisang” dan “pisang goreng” mestilah digunakan dalam konteks ayat dan situasi yang tepat. Walau bagaimanapun, terdapat juga frasa nama yang terkecuali daripada Hukum DM.
Hal ini demikian kerana frasa nama tersebut telah digunakan secara meluas dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Antaranya:
- perdana menteri
- timbalan menteri
- ibu pejabat
- naib presiden
Bagaimanakah pula dengan perkataan-perkataan di bawah? Yang mana satukah tepat dari segi Hukum DM?
- ayam telur atau telur ayam
- lembu susu atau susu lembu
- lembu daging atau daging lembu
Kedua-dua pilihan dalam contoh di atas tepat dan boleh digunakan. Namun begitu, penggunaan kata-kata tersebut bergantung pada unsur inti yang hendak diterangkan.
Contohnya, “ayam telur” merujuk sejenis ayam yang menghasilkan telur manakala “telur ayam” merujuk telur yang dihasilkan oleh ayam. Begitulah juga dengan contoh-contoh lain.
Yang jelas, Hukum DM dalam bahasa Melayu perlu difahami dengan sebaik-baiknya oleh pengguna bahasa. Amalkanlah penggunaan bahasa Melayu yang betul dan gramatis.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel Ini Ditulis oleh NOR FAZILAH BINTI NOOR DIN
∞