Sukan

Aaron Chia-Aaron Tai Semakin Serasi, Raih Naib Juara Di Terbuka Taiwan 2026! Tahniah!

Share

Terbaru, jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia-Aaron Tai berjaya meraih gelaran naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan 2026 selepas tewas kepada wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dalam aksi final yang berlangsung di Arena Taipei, semalam.

Gandingan pilihan kelima kejohanan berkenaan terpaksa akur dengan kekalahan ‘straight set’ 21-23, 19-21 selepas berdepan tentangan sengit daripada pasangan pilihan kelapan dari Indonesia. Walaupun gagal membawa pulang kejuaraan, Aaron dan Tai mempamerkan persembahan meyakinkan sepanjang perlawanan.

Set pembukaan berlangsung cukup seimbang apabila kedua-dua pasangan saling berbalas mata sehingga permainan berlanjutan ke deuce. Namun, Leo-Daniel lebih tenang memanfaatkan peluang pada saat genting untuk menutup set pertama dengan kemenangan 23-21.

Memasuki set kedua, beregu negara cuba mengubah rentak permainan bagi mengheret aksi ke set penentuan. Bagaimanapun, pasangan Indonesia berjaya mengekalkan konsistensi dan mengawal tekanan dengan baik sebelum memastikan kemenangan 21-19 sekaligus muncul juara kejohanan.

Walaupun tewas di pentas final, pencapaian itu tetap memberi tanda positif buat Aaron dan Tai yang baru digandingkan bulan lalu. Malah, Terbuka Taiwan 2026 merupakan penampilan sulung mereka dalam aksi final sejak membentuk gandingan baharu.

“Saya rasa kami telah memberikan yang terbaik hari ini dan tahniah kepada pemenang. Mereka bermain dengan sangat baik dan pada saat-saat genting, mereka memberikan tekanan yang sangat tinggi kepada kami,” kata Aaron.

Pada masa yang sama, Aaron turut melihat perkembangan positif dalam keserasian mereka meskipun Terbuka Taiwan hanyalah kejohanan kedua yang disertai sebagai pasangan. Prestasi dipamerkan sepanjang kejohanan itu dianggap sebagai petunjuk awal bahawa gandingan tersebut berada di landasan yang tepat untuk terus berkembang.

Untuk info, Aaron Chia-Aaron Tai dijadualkan meneruskan cabaran di Korea Masters 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 9 Ogos. Mereka pastinya bertekad menggunakan momentum positif yang diraih di Taipei untuk menguji kemampuan serta memburu kejayaan lebih besar dalam kejohanan seterusnya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE