“Tolong Jadi Manusia!” – Rita Rudaini Luah Kecewa Tiada Tangkapan Kes Zara Qairina

Share

Pelakon terkenal, Rita Rudaini meluahkan rasa kecewa dan marah dengan perkembangan siasatan kes kematian tragis pelajar SMKA Tun Datu Mustafa, Allahyarham Zara Qairina, yang dipercayai menjadi mangsa buli.

Menurut Rita, walaupun insiden menyayat hati itu telah berlaku beberapa hari lalu, namun masih tiada tangkapan dilakukan setakat ini. Menerusi satu hantaran tegas di media sosial, beliau menggesa saksi kejadian supaya tampil memberikan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Sudah hari ke berapa dah ni, seorang (suspek) pun tiada ditahan reman lagi ke? Susah sangat nak cari?

“Cekup dulu warden, pengetua dan guru-guru, siasat! Waktu macam ini tak nak pula mengaku Zara di bawah jagaan korang,”tegasnya.

Tambah Rita lagi, keadilan perlu ditegakkan dan mereka yang terlibat secara langsung atau cuai dalam kes ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Dia turut menyeru agar semua saksi, sama ada pelajar mahupun guru, supaya tidak takut untuk menyatakan perkara sebenar.

“Mungkin hari ini nasib ibu Zara, suatu hari akan kena dekat anak korang pula. Tolong jadi manusia!

“Wahai pelajar dan guru-guru, Allah sedang menguji kamu untuk bercakap benar atau tidak,”katanya lagi.

Sebelum ini, Datuk Nurulhidayah iaitu anak kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, turut menyuarakan kebimbangan terhadap kes tersebut.

Beliau mendesak agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan bahawa suspek sedang ‘dilindungi’ oleh pihak tertentu.

Walau bagaimanapun, pihak polis Sabah menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, memandangkan kes ini masih dalam siasatan yang giat dijalankan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath