
7HD Champion Cup 2025 menjadi pentas paling bermakna buat pasukan bola sepak Sekolah Monthong Wittaya apabila mereka terus mencuri perhatian pengguna di media sosial selepas berjaya melangkah ke perlawanan akhir di Stadium Suphachalasai, Bangkok minggu lalu. Penyertaan mereka dalam kejohanan bola sepak remaja paling berprestij itu mencetuskan gelombang sokongan luar biasa daripada seluruh negara.
Difahamkan, kejayaan skuad ‘underdog’ ini bukan sekadar mengejutkan pasukan lawan, malah menarik ribuan penyokong untuk memenuhi stadium demi memberi sorakan kepada para pemain dan jurulatih. Fenomena ini semakin mendapat perhatian selepas kisah perjuangan pasukan ini tular dalam masa yang singkat.
Perjalanan luar biasa Mon Thong Wittaya bermula dengan sebuah lori lama berwarna biru yang digelar ‘dream carrier’, digunakan untuk membawa para pemain dari Mon Thong, Chachoengsao ke Bangkok. Lori terbuka milik jurulatih, Sakon Kliangprasert itu telah diubah suai dan menjadi pengangkutan tetap pasukan sekolah selama bertahun-tahun.
“Kereta ini mempunyai sejarah panjang, sesiapa yang menaikinya lebih cenderung untuk memenangi kejohanan,” kata Sakon.
Untuk pengetahuan, Sekolah Monthong Wittaya merupakan sekolah komuniti Muslim di tambon Mon Thong, daerah Bang Nam Priao, yang menempatkan kira-kira 500 pelajar dalam 15 bilik darjah. Di bawah bimbingan Sakon sejak 2021, kapten pasukan Worakorn ‘Te’ Changkhiandee mengetuai rakan sepasukan menewaskan sekolah-sekolah ternama seperti Assumption College Thonburi, Depsirin School dan Assumption College Sri Racha sehingga mereka digelar pembunuh gergasi.
Di samping itu, Sakon yang sebelum ini pernah membimbing Sekolah Surasakmontri, juara tiga kali 7HD Champion Cup 2025, dan pengalaman itu dibawa bersama untuk memperkasa pasukan Mon Thong Wittaya. Menurut Presiden kelab bola sepak sekolah, Sumet Ridmat, komuniti mereka sejak dahulu terkenal dengan semangat kesukanan dan pembentukan pasukan ini menjadi langkah semula jadi dalam memupuk bakat pelajar.
Selain aspek taktikal, pemain muda pasukan ini turut diberi penekanan terhadap disiplin, penggunaan ruang, serta corak permainan menyerang yang lebih agresif. Elemen ini menjadi antara faktor utama yang mendorong peningkatan mendadak prestasi mereka sepanjang kejohanan.
Pada aksi final pada 8 November lalu, Mon Thong Wittaya berdepan Chai Nat Provincial Administrative Organisation School. Terdahulu, mereka menewaskan Assumption College Sri Racha 6–3 pada separuh akhir sebelum tiba di Bangkok disambut ribuan penyokong. Stadium berkapasiti 20,000 itu penuh sesak sehingga ada yang menonton dari trek larian.
Aksi dramatik itu berakhir dengan kekalahan tipis 1-2, menjadikan Mon Thong Wittaya sebagai naib juara 7HD Champion Cup 2025. Walaupun tewas, pasukan itu tetap menerima sokongan padu rakyat Thailand yang kagum dengan perjalanan penuh semangat mereka.
Selepas kejohanan, pelbagai bentuk sokongan diterima termasuk bagi pembangunan pasukan dan pengubahsuaian sekolah. Timbalan Perdana Menteri, Kapten Thamanat Prompow menyerahkan biasiswa bernilai 150,000 baht (RM juta) dan 10 bola sepak, manakala Thai Smile Bus (TSB) menghadiahkan sebuah bas elektrik baharu bagi menggantikan ‘dream carrier’ lama.
Ketua Pegawai Eksekutif TSB, Kulpornpath Wongmajarapinya berkata, kisah pasukan ini cukup memberi inspirasi, terutamanya hubungan rapat antara para pemain dan jurulatih.
Walaupun berstatus underdog, kejayaan menembusi pentas akhir 7HD Champion Cup 2025 membuktikan bahawa semangat, disiplin dan kesungguhan mampu mengatasi kekangan prasarana. Dengan sokongan yang semakin meluas, Mon Thong Wittaya kini dilihat berpotensi menjadi salah satu akademi bola sepak sekolah paling disegani di Thailand.
Para pemain muda pasukan ini menyatakan mereka mahu kembali lebih kuat pada edisi seterusnya dan berjanji untuk membawa pulang trofi ke Mon Thong. Seiring pembangunan baharu yang diterima, pasukan ini berada pada landasan tepat untuk terus mencipta kisah kejayaan dalam dunia bola sepak remaja Thailand.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.