Berita

72 Sekolah Ditutup Sementara Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

Share

Seramai ribuan pelajar di Kuala Lumpur dan Selangor bakal menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua hari, iaitu pada 27 dan 28 Oktober ini, sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bakal berlangsung di ibu negara.

Menurut laporan  Harian Metro, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan langkah ini bagi memastikan kelancaran persidangan antarabangsa berprestij itu, yang dijangka menghimpunkan pemimpin dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, China, India, Australia, Jepun, Korea Selatan dan negara-negara ASEAN lain.

Langkah Sementara Demi Keselamatan & Kelancaran Acara

Menteri Pendidikan, Datuk Fadhlina Sidek, menjelaskan bahawa 72 buah sekolah yang terlibat berada di laluan utama konvoi pemimpin dan delegasi luar negara, justeru langkah PdPR ini diambil untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas serta menjaga keselamatan semua pihak.

“Pembelajaran tetap diteruskan seperti biasa melalui PdPR yang melibatkan guru dan murid di sekolah-sekolah berkenaan,” katanya kepada media selepas menghadiri program Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli.

Anak Muda Perlu Kekal Disiplin Walaupun Belajar Dari Rumah

Bagi pelajar yang terlibat, inilah masa untuk mengamalkan disiplin kendiri. PdPR memerlukan pelajar mengurus masa dengan baik dan tidak leka walaupun berada di rumah. Dua hari mungkin nampak singkat, tetapi jika digunakan sebaiknya, pelajar masih boleh menyiapkan tugasan dan mengikuti kelas tanpa tertinggal.

Selain itu, PdPR juga membuka ruang kepada pelajar untuk berlatih menjadi lebih berdikari, menyesuaikan diri dengan pembelajaran digital dan teknologi, sesuatu yang amat penting dalam dunia pendidikan masa kini.

Ambil Peluang Faham Peranan Malaysia Di Peringkat ASEAN

Menariknya, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 ini bukan sekadar acara diplomatik semata-mata. Ia juga peluang untuk golongan muda mengetahui peranan Malaysia di pentas antarabangsa dan bagaimana negara kita bekerjasama dengan jiran serantau dalam isu ekonomi, keselamatan dan masa depan belia.

Sebagai pelajar, anda boleh mengambil inisiatif untuk membaca tentang apa itu ASEAN, peranan negara anggota, dan mengapa persidangan seperti ini penting untuk masa depan rantau kita.

KPM Akan Pantau Rapi Pelaksanaan PdPR

KPM akan terus memantau perjalanan PdPR dan memastikan semua sekolah menerima panduan yang lengkap. Sekolah akan kembali beroperasi seperti biasa selepas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 tamat.

Walaupun hanya dua hari, penutupan sementara ini membuktikan komitmen kerajaan terhadap keselamatan pelajar dan kelancaran acara antarabangsa.

Dalam era global kini, generasi muda bukan sahaja perlu cemerlang di bilik darjah, tetapi juga peka terhadap apa yang berlaku di dunia luar. Sidang Kemuncak ASEAN ini mengingatkan kita bahawa setiap pelajar hari ini adalah bakal pemimpin masa depan — bukan sekadar untuk Malaysia, tetapi untuk ASEAN.

BACA LAGI : “Saya Tak Tidur, Last Contact 1.40 Pagi” – Yusuf Bahrin Dedah Detik Cemas Zizi Kirana Ditahan!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana