
Sinar pentas kian menerang, berdirinya tujuh figura muda di bawah satu payung yang dinamakan sebagai ALPHA. Sebagai gelombang baharu seni suara dan tarian di Malaysia, ALPHA yang lahir daripada pentas realiti Big Stage Alpha ini memulakan perjalanan mereka dengan dorongan gerakan peminat, Alphanites.
REMAJA menerusi isu digital istimewa kali ini mengumpulkan Ariel Fesol, Ray-D, Rizal Rasid, Daniel Sher, Araff, Izat Ibrahim dan Afiq Sky sebagai satu entiti, satu irama, satu suara. Di sebalik spotlight yang terpancar ke arah mereka, jelas terlihat kecekalan dan semangat setiakawan yang membawa mereka ke tahap ini.
ketua pengurusan NEW GEN FIEZREEN AHMAD penata gaya & editor FZ AIMMAN arahan seni & perletakan grafik AZNIZA AZIZ teks ZULAIKHA ZAHERMAN @ ZOE pembantu penyelaras FATH ABU BAKAR fotografi JAZLAN NANGAR dibantu oleh NIZA SUHAIMI suntingan foto HEZRY ROKMAN penerbit & suntingan video SURIA NUR AMIRA videografi AFIQ NAQIUDDIN & SUFYAN MARHABAN solekan & dandanan CHE WAN, FAIZAL AZHAR, HELMY SHARIP & VEE MUHAMAD persalinan TOMMY HILFIGER & DENIM PROJECT daripada ZALORA MALAYSIA
Gelaran juara Big Stage Alpha digalas oleh penyanyi berbakat, Ariel Fesol dengan wawasan menjauh agar nama Alpha dan namanya sendiri mampu dibawa ke peringkat seterusnya.
Tintanya, sama ada diberikan tugas sebagai main rapper atau menyanyi dalam lagu-lagu keluaran Alpha selepas ini tidak menjadi masalah. Sebaliknya, dia akan menyesuaikan diri mengikut genre sesebuah lagu.
Tentunya, pengalaman terbang ke Korea Selatan kelak tidak akan disia-siakan oleh Ariel dan dia sudah bersedia dengan misi ringkas tapi bermakna – bagi memastikan Alpha bergerak secara berdisiplin dan melaksanakan tugas di sana dengan sebaik mungkin.
“Apa yang kami belajar, biar kami bawa pulang dan terapkan di sini. Kami tidak sabar lagi untuk menguatkan identiti muzikal Alpha dengan lagu-lagu yang bakal dihasilkan. Tetapi kami tetap akan menapis lagu satu-persatu untuk memastikan ia kena dengan identiti Alpha,” katanya.
Sebagai seorang bekas anak kapal di syarikat penerbangan komersil, Ariel juga memahat misi membawa pengalaman kerjaya terdahulunya itu untuk memperkayakan perspektifnya terhadap kerja berpasukan dan menghadapi pelbagai ragam manusia.
Masakan tidak, aura matang, tenang dan sentiasa peka yang dibawa Ariel selama berada di pentas pertandingan berjaya menjadi resepi kemenangannya di hujung garisan Big Stage Alpha tempoh hari.
Selaku main dancer bagi kumpulan Alpha, tugas Ray-D melebihi sekadar mempunyai langkah yang lincah lagi tersusun.
“Tanggungjawab saya adalah untuk memastikan synchronization kami cun! Biarpun Alpha mempunyai choreographer yang membantu kami mencipta formasi menarik dalam setiap persembahan, saya ambil inisiatif untuk go a step further & brush up pergerakan kami,” jelasnya.
Impiannya jelas – latihan intensif di Korea tidak lama lagi akan digunakan olehnya sebagai peluang menjadikan gerakan Alpha sebagai sebuah kumpulan agar lebih sharp, lebih mantap dan lebih menyatu.
Ray-D juga ingin membawa semangat sebagai seorang peminat K-Pop sejati sejak kecil untuk diadunkan ke dalam kerjayanya kini sebagai seorang penghibur untuk jangka masa berpanjangan. A dream came true indeed.
Perjalanan seni Rizal Rasid dalam bidang nyanyian benar-benar melangkaui sekadar faktor geografi semata, ia merangkumi detik getir yang pernah dilaluinya untuk membina nama di bumi asing.
Penyanyi kelahiran Brunei ini berkata, biarpun pernah bergelar seorang pramugara sebelum ini hatinya tetap memilih dunia muzik untuk menghiburkan orang ramai.
“Menerusi Alpha, saya merupakan lead vocal dan akan menghormanikan paduan suara bersama Izat. Apabila diangkat sebagai pemenang tempat ketiga Big Stage Alpha, tentunya saya tidak akan mensia-siakan peluang ini untuk mengembangkan lagi potensi saya di Malaysia. I am looking forward to our mini album, showcase dan harapnya sebuah full album khas buat Alphanite yang terus setia menyokong kami. Doakan,” ujarnya.
Walaupun perlu berjauhan dengan keluarga demi memasang impian, Rizal sentiasa memastikan dirinya mempunyai masa untuk pulang ke Brunei bagi mengubati kerinduan.
Menyentuh mengenai harapannya sepanjang sesi latihan di Korea Selatan, Rizal ingin memberi fokus terhadap ilmu-ilmu latihan vokal dan tarian bertaraf antarabangsa yang akan disampaikan oleh pihak di sana.
Bukan mudah untuk menjadi tunjang nilai sesebuah kumpulan yang baru ditubuhkan. Bersandarkan kepada pengalaman terkumpul selama ini sebagai seorang penyanyi, terpantul kasih seorang abang kepada ahli Alpha lain untuk sama-sama bergerak sebagai sebuah entiti yang boleh mencuri hati segenap peminat.
“Saya garang tetapi ada masanya saya main juga. Bagi saya untuk bertahan lama, kami perlu selalu menjaga adab dan disiplin terutamanya dalam bab menghormati masa orang di sekeliling.
“Secara peribadi, saya melihat Alpha merupakan cerminan masyarakat kita. Ia majmuk, ia dibintangi ahli-ahli yang datang daripada latar belakang berbeza dan itu semua sudah menjarakkan kami daripada persepsi kononnya Alpha cuba menjadi sebuah lagi K-pop inspired-group.
“Saya percaya dengan peluang yang diberikan kepada kami ini, Alpha mampu menjadi penggerak kepada transformasi dunia seni dengan identiti tersendiri. Kita bawakan budaya yang lebih bersesuaian dengan dengan corak pemikiran pendengar di sini” ulasnya.
Tentunya apabila diangkat sebagai ‘the visual’ atau daya penarik untuk kumpulan Alpha, gelaran tersebut mungkin dianggap sebagai sesuatu yang superficial. Namun demikian, Araff memilih untuk menerima gelaran yang diberi itu dengan penuh positif dan rasa syukur
Visual bagi Araff bukan sekadar dinilai daripada raut wajah, ia juga merupakan satu katalis untuk dirinya dan ahli Alpha yang lain terus menjaga penampilan, fesyen dan imej keseluruhan kumpulan di mata masyarakat.
“Saya tidaklah merasakan ‘visual’ itu perlu diperbaiki sehingga ke tahap perlu melalui pembedahan! Kita ikut resmi masyarakat di sini, cukuplah sekadar berubah dari segi look dan grooming.
“Bagi saya, Alpha menandakan bermulanya perjalanan saya bersama ahli-ahli yang lain mengenali kelebihan dan identiti masing-masing. Kejayaan Alpha tidak akan hadir dengan aksi solo tetapi melalui sinergi yang kami hasilkan bersama.”
Tambah Araff lagi, jika dibandingkan dengan dirinya di awal kemunculan Big Stage Alpha, kini dia lebih berani, yakin dani mula mengintai ruang sebagai seorang sub-rapper.
“Main vocal bukan sekadar menyanyi dengan sedap tetapi juga mampu membimbing gerakan dan penghayatan sesebuah lagu.”
Begitulah pandangan Izat Ibrahim, ahli Alpha yang berasal dari Singapura dan kian mengorak langkah untuk membina nama di Malaysia. Menyelak tirai sejarahnya sebagai seorang anak seni, ia nyata memakan masa dan memerlukan pengorbanan.
“Saya pernah perform di kelab, saya pernah perform di festival, sehinggakan saya mempunyai single sendiri… music represents my whole life.
“Oleh itu, peluang untuk mengembangkan lagi pengalaman bersama Alpha di Korea Selatan tidak lama lagi amatlah saya tunggu-tunggukan kerana ia akan membuka lembaran baru dengan pengisian daripada lebih ramai gurul vokal dan guru tari,” katanya.
Afiq Sky, si bongsu yang bukan sekadar penghias kumpulan tetapi sebagai nadi yang menggerakkan semangat dan keterujaan dalam kalangan ahli-ahli Alpha.
“Awal-awal memang saya keliru, apa role saya? Bila saya fikir semula, mungkin saya kena menjadi seorang all-rounder.
“Selalunya ahli termuda sesebuah kumpulan akan mengekori gerak-geri ahli senior yang lain. Bagi saya, itu adalah satu pandangan lapuk kerana tidak kiralah peringkat umur seseorang, kesemua ahli mempunyai kelebihan yang kami boleh contribute. Saya tidak mahu menjadi sekadar pelengkap, beradanya saya dalam grup Alpha to keep the balance in check dengan energy dan bakat yang saya ada,” ulasnya.
Sebagai bekas penyanyi busker, Afiq tidak asing dengan perjuangan dan konsistensi. Keceriaan dan daya spontan yang dibawanya menjadi antara pengikat penting terhadap sinergi Alpha.
Dalam setiap bait bicara Alpha bertujuh; terpancar semangat, cinta dan cita-cita.
Mereka mungkin belum mencapai kesempurnaan tetapi keberanian untuk belajar, mencuba dan melangkah ke dunia seni sebenar adalah naratif yang cukup menyegarkan.
Alpha bukan sekadar kumpulan idola tempatan baharu – mereka merupakan refleksi mimpi generasi muda yang dahagakan ruang, bimbingan dan peluang.
Sejarah yang pernah mereka pahat sebagai anak busker, pramugara, penyanyi kelab, pelajar dan perantau dijadikan sebagai anchor yang menguatkan lagi keserasian sebagai Alpha yang berdiri di bawah satu nama, satu arah dan satu harapan demi meneruskan kegemilangan industri seni tanah air.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.