
Tiga pelajar Diploma Seni Kulinari dari Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Kedah iaitu Insyirah Mohd Nizam, Nur Zalikha Nadiah Zainon dan Abdullah Yuusuf Amir Azman berkongsi pengalaman mereka sepanjang menyertai pertandingan Jalen Star Chef 2 yang memberi cabaran serta pendedahan baharu dalam dunia kulinari profesional.
Dari rasa gementar, pengalaman pertama di dapur pertandingan sehinggalah cabaran berdepan kamera dan juri profesional, setiap detik dilalui menjadi kenangan bermakna buat mereka sebagai bakal chef muda.
Bagi Insyirah Mohd Nizam, walaupun sudah pernah menyertai beberapa pertandingan sebelum ini, dia mengakui pengalaman kali ini tetap memberi cabaran tersendiri terutama apabila perlu melalui sesi temu bual bersama juri profesional.
“Bagi saya pula yang juga pernah menyertai beberapa pertandingan seperti ini tidak dinafikan ada juga sedikit gementar cuma ini pengalaman baru buat saya kerana kali ini ada sesi ‘interview’ bersama para juri profesional.
“Bila di hadapan kamera, rasa seronok itu ada tetapi agak sedikit janggal juga sebab saya tidak begitu pandai untuk posing tapi ini adalah pengalaman menarik buat saya.
“Kalau kami terpilih sebagai satu team untuk mara ke Grand Finale, pastinya kami akan buat yang terbaik. Kami akan bantu salah seorang yang dapat mara untuk menjulang juara Jalen Star Chef 2,” kata Insyirah Mohd Nizam.
Berbeza pula dengan Abdullah Yuusuf Amir Azman yang pertama kali menyertai pertandingan memasak, dia tidak menafikan perasaan gementar menjadi cabaran utama.
“Saya yang pertama kali masuk ini semestinya perasaan gementar itu ada kerana sebelum ini saya tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan masakan seperti ini. Masa yang diberikan untuk saya terhad tapi cukup untuk ‘plating’,” kata Abdullah Yuusuf.
Walaupun baru pertama kali, Abdullah tetap menunjukkan keyakinan dalam menguruskan masa yang diberikan untuk menyiapkan hidangan dengan kemasan akhir atau plating.
Sementara itu, Nur Zalikha Nadiah Zainon yang lebih berpengalaman dalam dunia pertandingan memasak mengakui sudah biasa dari segi teknikal pertandingan. Namun, cabaran kali ini datang dari aspek berhadapan kamera.
“Untuk saya yang sudah ada pengalaman menyertai pertandingan memasak bagi saya biasa sahaja.
“Tetapi apa yang lainnya untuk kali ini adalah kerana saya tidak biasa di hadapan kamera, jadi saya rasa sedikit janggal. Untuk info, saya sudah 6 kali menyertai pertandingan seperti ini,”
“Untuk timing pula okay sebab sesi latihan juga kami dah set kepada 45 minit iaitu sama dengan waktu pertandingan.
“Kami ada masa untuk R&D bersama tenaga pengajar iatu lecturrer kami untuk menggunakan produk Jalen itu sendiri. Ada kombinasi yang tidak kena dan kami tukar sehinggan menjaadi ‘good taste’,” kata Nur Zalikha Nadiah Zainon.
Menurut mereka, persiapan rapi termasuk sesi research and development (R&D) bersama pensyarah memainkan peranan penting dalam memastikan setiap hidangan menggunakan produk dengan kombinasi rasa yang tepat.
Latihan yang disusun mengikut masa sebenar pertandingan iaitu 45 minit turut membantu mereka lebih bersedia menghadapi tekanan sebenar di dapur pertandingan.
Walaupun bersaing, ketiga-tiga pelajar ini tetap mengekalkan semangat kerjasama sebagai satu pasukan. Mereka juga berazam untuk memberi sokongan antara satu sama lain sekiranya terpilih ke peringkat Grand Finale nanti.
Dengan bakat, latihan dan semangat yang ditunjukkan, mereka membuktikan bahawa generasi muda dalam bidang kulinari semakin bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam industri makanan negara.
Untuk info, saringan kedua JALEN Star Chef 2 telah melabuhkan tirai pada 15 Mei lalu dengan penyertaan tiga institusi pengajian tinggi iaitu
Universiti Teknologi MARA Permatang Pauh, UniSHAMS dan KV Sungai Petani 2.Pertandingan JALEN Star Chef kembali untuk musim kedua tahun ini dengan kerjasama antara Remaja dan produk Jalen bagi mencari lebih ramai bakat baharu dalam dunia kulinari dalam kalangan pelajar universiti.
Saringan pertandingan akan diadakan di tiga lokasi iaitu UiTM Dungun, UiTM Permatang Pauh dan UiTM Puncak Alam.
Persoalannya, adakah anda bintang yang dicari? Nantikan kemeriahan JALEN Star Chef 2 yang berlangsung sepanjang Mei ini!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.