Berita

Anak Orang Asli Cipta Sejarah! Dr Saiful Anuar Cemerlang Dalam Penyelidikan Di Amerika Syarikat

Share

Anak-anak Orang Asli semakin hari semakin membanggakan negara melalui pencapaian akademik dan profesional mereka. Kejayaan demi kejayaan yang diraih membuktikan bahawa latar belakang bukan penghalang untuk mencapai impian besar.

Sebelum ini, kejayaan Dr Shima Rabi’atul’ Adawiyah Zainal dari suku kaum Mahmeri, Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Sepang, Selangor yang berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Kimia dari University of Manchester, United Kingdom turut menjadi inspirasi ramai.

Terbaharu, seorang lagi pemuda daripada komuniti Orang Asli turut mencipta kejayaan tersendiri dalam arena akademik dan penyelidikan di Amerika Syarikat.

Anak Kampung Lubuk Bandung Cipta Kejayaan Di Amerika Syarikat

Dr Saiful Anuar Singar, anak Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, Melaka yang merupakan graduan Old Dominion University, Norfolk, Virginia, berjaya membuktikan bahawa anak muda Orang Asli juga mampu mengharumkan nama negara di pentas global.

Menurut perkongsian di Facebook Majlis Amanah Rakyat (MARA) USA, Dr Saiful Anuar merupakan graduan tajaan Mara yang melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat.

Kini beliau aktif memacu inovasi, membina industri serta mengharumkan nama negara melalui penyelidikan saintifik dalam bidang kesihatan.

Bermula Dengan Minat Terhadap Pemakanan & Pencegahan Penyakit

Menurut perkongsian tersebut, perjalanan akademik dan penyelidikan Dr Saiful Anuar bermula daripada minat mendalam terhadap pemakanan dan pencegahan penyakit kronik.

“Perjalanan akademik dan penyelidikan Dr Saiful Anuar bermula dengan minat mendalam terhadap pemakanan dan pencegahan penyakit kronik. Dari situ, beliau membina asas kerjaya dalam penyelidikan dan penilaian klinikal dengan sokongan

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Mara, yang membawanya ke Amerika Syarikat.

“Daripada pembantu projek, beliau kini mengetuai kajian klinikal dan menyelaras pasukan penyelidik dalam bidang kesihatan kardiometabolik. Di Old Dominion University, beliau terlibat dalam reka bentuk dan pelaksanaan ujian klinikal yang menilai strategi pemakanan praktikal dan kesannya terhadap kesihatan vaskular dan metabolik.

“Kini, Dr Saiful Anuar sedang menjalani latihan penyelidikan lanjutan (Postdoctoral Fellow) di Pusat Sains Kesihatan Macon & Joan Brock Virginia Health Sciences, Old Dominion University,” maklum hantaran itu.

Kejayaan Bukan Datang Dengan Mudah

Pencapaian anak muda ini jelas bukan datang dengan mudah. Pastinya beliau melalui pelbagai cabaran dan ujian getir sebelum berjaya menjejakkan kaki ke tahap ini.

Menurut Dr Saiful Anuar, rahsia kejayaannya adalah strategi, disiplin serta semangat untuk terus belajar.

“Mula awal, susun strategi dan pilih program yang benar-benar selari dengan matlamat anda. Bina hubungan bermakna dengan mentor, alumni dan rakan penyelidik. Layan setiap peluang dengan profesionalisme, konsistensi dan rasa ingin tahu.

“Paling penting, ingat kenapa anda bermula. Gunakan ilmu untuk memberi impak kepada komuniti. Success isn’t about being born exceptional. It’s about showing up, learning, and not giving up. Remember your roots, and bring others with you,” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: FB Mara USA

Published by
Fath