
Satu momen menyentuh hati melibatkan Biduanita Negara, Siti Nurhaliza baru-baru ini mencuri perhatian warganet apabila beliau bertemu semula dengan seorang pemandu teksi yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan awal kerjayanya.
Momen tersebut menjadi lebih bermakna apabila penyanyi tersohor itu turut menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Yayasan Nurjiwa bersama masyarakat setempat, selain menyampaikan sumbangan secara langsung kepada golongan yang memerlukan.
Menerusi satu perkongsian di media sosial oleh Yayasan Nurjiwa, ia memaparkan pertemuan semula Siti Nurhaliza dengan pemandu teksi veteran tersebut yang berlaku baru-baru ini di Kuala Lipis.
“Momen yang cukup mengharukan, pak cik inilah yang pernah memandu teksi membawa Datuk Siti Nurhaliza ketika beliau menyertai pertandingan Bintang HMI suatu ketika dahulu,” kata Yayasan Nurjiwa.
Menurut perkongsian itu lagi, pada hari Siti dinobatkan sebagai juara pertandingan berkenaan, beliau pulang ke kampung halaman bersama kedua ibu bapanya dengan menaiki teksi pak cik tersebut sambil membawa pulang sebuah televisyen besar yang dimenanginya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa sebak apabila mengetahui pemandu teksi itu bukan sahaja menjadi saksi kepada perjalanan awal kerjaya Siti, malah individu yang membawanya pulang ke Kuala Lipis bersama kejayaan pertamanya.
Dalam masa sama, seorang lagi pengguna turut memuji sikap Siti Nurhaliza yang dilihat tidak pernah melupakan individu yang pernah berjasa dalam perjalanan hidupnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.