Berita

Tiada Pengalaman Mendaki, Remaja 15 Tahun Ini Berjaya Jejak Annapurna Base Camp

Share

Usia muda dan tanpa sebarang pengalaman mendaki gunung bukan penghalang buat seorang remaja lelaki untuk merealisasikan impian luar biasa.

Itulah yang dibuktikan oleh Mohammad Shamil Azim Mohd Suhaimi, 15, apabila berjaya menjejakkan kaki ke Kem Pangkalan Annapurna (Annapurna Base Camp, ABC) di Nepal.

Menerusi laporan media tempatan, Mohammad Shamil berkata, perjalanan ke Nepal itu dilakukan bersama seorang rakan yang dianggap seperti abang angkatnya, Khairi Safri, yang juga individu mencetuskan idea pendakian berkenaan.

“Idea untuk mendaki gunung itu datang daripada Khairi yang mahu sampai sehingga ke Annapurna Base Camp memandangkan cubaan dia untuk mendaki sehingga ke base camp pada 2014 gagal.

“Apabila diajak, saya terus setuju meskipun tiada pengalaman mendaki gunung sebelum ini,” katanya.

Menurut Mohammad Shamil, persiapan yang dibuat juga agak terhad kerana hanya sempat menjalani latihan selama beberapa minggu sebelum berlepas ke Nepal pada 31 Disember lalu.

“Sejujurnya, ada rasa bimbang sepanjang perjalanan mendaki itu kerana persediaan latihan saya tidak lengkap.

“Saya hanya membuat latihan larian dan kayuh basikal sepanjang tempoh berkenaan.

“Alhamdulillah, perjalanan saya menuju ke base camp berjalan lancar dan kami selamat sampai di sana (Annapurna) pada 7 Januari lalu,” katanya.

Detik tiba di Kem Pangkalan Annapurna yang terletak pada ketinggian

4,130 meter dari aras lautmenjadi momen paling bermakna buat remaja ini, apatah lagi apabila dia berjaya membawa nama sekolahnya ke puncak tersebut.


“Apa yang lebih membanggakan adalah saya berpeluang mengibar bendera sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (L) Methodist Sentul di base camp berkenaan.

Selepas ini, saya dan Khairi merancang untuk menawan gunung berkenaan sekali gus mencapai antara wish list (senarai hajat) kami,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Mohammad Shamil, Mohd Suhaimi Janah, mengakui pada awalnya menyangka hasrat anaknya itu hanyalah gurauan.

“Ketika anak beritahu Khairi mahu ajaknya mendaki, saya ingat mereka bergurau.

“Namun apabila Khairi datang ke rumah untuk minta kebenaran, baru saya tahu bahawa mereka serius,” katanya.

Pesara polis itu berkata, beliau tidak keberatan memberikan keizinan kerana yakin dengan kemampuan serta minat anak bongsunya terhadap aktiviti lasak.

Selain itu, beliau turut menzahirkan sokongan penuh terhadap minat anaknya itu dan merakamkan penghargaan kepada Khairi yang menaja sepenuhnya perjalanan pendakian berkenaan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Metro Online

Published by
Fath