Berita

HER Series: Naratif Wanita Versi Nelissa Nizam, Setiap Wanita Punya Episod Sendiri

Share

Diasaskan oleh aktres jelita dan usahawan kreatif, Nelissa Nizam, HER Series bukan sekadar jenama fesyen.

Ia lahir sebagai sebuah platform penceritaan yang meraikan identiti, perjalanan dan kekuatan wanita daripada pelbagai latar belakang kehidupan.

Koleksi terbaharu HER Series yang dipratonton secara eksklusif menerusi acara High Tea bersama Nelissa Nizam di Royal Chulan menjadi penanda aras penting dalam perjalanan jenama ini. Ia bukan sekadar pelancaran koleksi baharu, sebaliknya simbol kepada kematangan, keberanian dan makna yang semakin mendalam dalam setiap rekaan.

Rezeki Yang Hadir Tanpa Dirancang

Penglibatan HER Series di pentas fesyen antarabangsa bukanlah sesuatu yang dirancang secara teliti. Ia bermula secara spontan apabila Nelissa menerima jemputan untuk kembali ke pentas Kuala Lumpur Fashion Week melalui pereka fesyen, Sodiqin Shaz, yang pernah terlibat dalam acara tersebut sebelum ini.

Daripada satu jemputan ringkas, ia berkembang menjadi peluang kolaborasi yang akhirnya membawa HER Series ke pentas antarabangsa, termasuk di Bali. Pengalaman ini bukan sahaja membuka mata terhadap kepelbagaian rekaan serantau, malah mengukuhkan keyakinan Nelissa terhadap visi jenama yang dibina dengan penuh kejujuran.

“Semua ini berlaku tanpa perancangan rapi. Tapi mungkin di situlah rezekinya. Sokongan yang diterima sangat luar biasa,” ujar Nelissa.

Dua Visi, Satu Kepercayaan

Dalam membangunkan HER Series, Nelissa memilih untuk bekerjasama rapat dengan Sodiqin Shaz sebagai peneraju kreatif dan pereka utama. Berbekalkan pengalaman luas di pentas Kuala Lumpur Fashion Week serta projek fesyen antarabangsa, Sodiqin membawa kepakaran teknikal, disiplin rekaan dan perspektif moden ke dalam jenama ini.

Nelissa pula berperanan sebagai pengasas dan pencetus naratif, manakala Sodiqin menterjemahkan idea, emosi dan cerita setiap episod ke dalam rekaan yang praktikal dan boleh dipakai. Proses kreatif mereka dibina atas asas komunikasi terbuka, saling menghormati kepakaran serta kepercayaan terhadap peranan masing-masing.

Setiap rekaan melalui perbincangan mendalam, daripada pemilihan konsep, fabrik dan potongan sehinggalah kepada visual kempen demi memastikan HER Series mengekalkan identiti yang konsisten tanpa mengorbankan kualiti dan integriti fesyen.

Setiap Wanita Punya Episodnya Sendiri

Keunikan utama HER Series terletak pada konsep koleksi berasaskan episod. Setiap episod membawa naratif berbeza, dengan muse dan definisi ‘HER’ yang tersendiri.

Episod pertama merupakan refleksi peribadi Nelissa sendiri iaitu seorang wanita dalam industri hiburan yang sering dilihat berani dan yakin, namun tetap berdepan dengan insekuriti yang bersifat manusiawi. Episod kedua pula bakal mengetengahkan kisah wanita lain, selari dengan kepercayaan Nelissa bahawa setiap wanita memiliki definisi ‘HER’ yang berbeza.

Secara keseluruhan, HER Series dirancang untuk menghasilkan empat episod setahun menerusi pendekatan

slow fashion, yang menekankan ketelitian, kualiti dan penceritaan berbanding pengeluaran secara besar-besaran.

Merah: Simbol Keberanian & Transformasi Diri

Bagi koleksi terbaharu ini, warna merah dipilih sebagai warna utama, bukan sekadar sebagai elemen visual, tetapi simbol kepada keberanian, kekuatan dan proses transformasi diri.

“Merah melambangkan keberanian yang saya mahu keluarkan dari dalam diri. Tahun 2026, saya mahu jadi lebih kuat, lebih berani dan lebih berkuasa,” jelas Nelissa.

Pemilihan warna ini membawa mesej bahawa wanita boleh tampil yakin dan berkuasa tanpa menafikan sisi rapuh dan realistik dalam diri mereka.

Praktikal, Versatil & Berjiwa Wanita Moden

Dari segi rekaan, HER Series menampilkan siluet ready-to-wear yang versatil, sesuai untuk kehidupan seharian wanita moden, ke tempat kerja, acara sosial mahupun aktiviti santai. Keseluruhan koleksi diperkaya dengan penggunaan fabrik premium dan potongan yang lebih kemas.

Fokus utama terletak pada pemilihan fabrik yang dibuat secara teliti, digabungkan dengan potongan bersih, tidak berlebihan serta rekaan yang mudah digayakan tanpa kelihatan rumit.

“Kami mahu orang rasa mereka nak pakai rekaan ini. Ia tidak terlalu eksperimental, tetapi tetap elevated,” kata Nelissa.

Dari segi harga, koleksi ini ditawarkan mengikut jenis rekaan dan material, dengan item seperti blazer berada dalam julat premium sejajar dengan penggunaan fabrik eksklusif serta penghasilan terhad.

Impian Inklusiviti Untuk Semua Wanita

Walaupun buat masa ini HER Series masih menawarkan saiz standard, Nelissa berkongsi impian jangka panjang untuk menjadikan jenama ini lebih inklusif yang merangkumi pelbagai bentuk badan, warna kulit dan latar belakang wanita.

“Saya mahu HER Series benar-benar untuk semua wanita. Itu impian saya,” katanya.

Fesyen Sebagai Medium Inspirasi

Bagi Nelissa, HER Series bukan sekadar jenama atau projek kreatif sementara. Ia adalah satu misi untuk berkongsi cerita, membina keyakinan dan memberi inspirasi kepada wanita yang berada di fasa kehidupan berbeza.

“Setiap orang berada di episod hidup yang berlainan. Hari ini mungkin episod satu, esok mungkin episod empat. Dan semua itu tidak mengapa.”

Dengan sokongan pasukan kreatif dalaman yang kukuh serta kolaborasi strategik bersama Sodiqin Shaz, HER Series kini melangkah ke hadapan sebagai jenama fesyen tempatan yang bukan sahaja menampilkan gaya, tetapi juga jiwa, makna dan keberanian wanita.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath