Dulu ‘Content Creator’, Kini Pelakon! Farihin Arnia Akui Perjalanan Bergelar Anak Seni Tak Mudah

Share

Pelakon baharu, Farihin Arnia mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk melepaskan gelaran sebagai pencipta kandungan yang sudah lama melekat pada dirinya.

Anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah yang dikenali menerusi watak rekaan ‘Zubaidah’ dalam kandungan TikTok itu berkata, meskipun kini semakin aktif dalam dunia lakonan dan bakal tampil menerusi filem pertamanya berjudul Sumpahan Nilam Utama, dirinya masih lagi sering dilabel sebagai pencipta kandungan.

Menurut pemuda berusia 25 tahun itu, proses peralihan identiti daripada pencipta kandungan kepada pelakon memerlukan masa dan bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam sekelip mata.

“Bukan senang orang nak terima saya sebagai pelakon, sebab mereka dah kenal saya sebagai pencipta kandungan. Itu satu cabaran besar dan tak mudah nak mengikis panggilan itu sekalipun dah diiktiraf sebagai pelakon.

“Saya yakin proses itu akan makan masa dan apa yang boleh saya buat hanyalah ikut arus dan terokai banyak lagi perkara baru dalam lakonan. Insya-Allah perlahan-lahan saya akan diterima sebagai pelakon,” katanya kepada Remaja.

Dalam masa sama, Farihin turut meluahkan rasa terkejut dan teruja apabila diberi peluang membintangi filem arahan pengarah terkenal, Hyrul Anuar, yang sebelum ini dikenali menerusi karya Tiga Janda Melawan Dunia.

“Saya rasa terkejut dan tak percaya sebab bukan semua orang dapat peluang ini. Jadi saya tak boleh sia-siakan kepercayaan diberikan Infinitus Productions. Banyak yang perlu saya belajar kerana apa yang saya lakukan sebelum ini (TikTok) berbeza dengan layar lebar.

“Jurang antara ciptaan kandungan dengan dunia filem sangat besar, maka saya kena kaji watak yang dibawakan kerana setiap sudut akan dinilai penonton,” katanya.

Farihin memulakan langkah awal dalam dunia lakonan menerusi drama bersiri untuk platform Viu, berjudul Putri & Phrince, arahan Liyana Jasmay. Graduan Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sabah itu mengakui dirinya semakin jatuh cinta dengan dunia seni lakonan.

“Sejujurnya saya masih cuba menyesuaikan diri dengan sepak terajang dunia seni, termasuk berdepan gosip cinta. Insya-Allah saya percaya pada proses, lama-kelamaan saya akan lebih mahir tangani cabaran dunia seni,” katanya.

Mengulas lanjut, Farihin berkata minatnya terhadap bidang lakonan sudah wujud sejak kecil, manakala penglibatannya dalam dunia pencipta kandungan hanyalah sebagai medium awal untuk mengekspresikan bakat.

“Memang daripada kecil lagi saya minat berlakon, tapi ketika itu belum dapat peluang. Jadi saya gunakan media sosial untuk salurkan bakat. Saya pacak kamera sendiri, buat jalan cerita, sunting, dan kongsikan.

“Itu hasil titik peluh sendiri yang tak sangka diterima. Tapi sekarang, semakin sibuk dengan lakonan, saya perlu perlahan aktiviti mencipta kandungan. Bukan berhenti, cuma kekerapan dah kurang seperti dulu,” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath