Berita

Dewi Remaja 2025 Tamat Dengan Gemilang, Nylea Dinobat Sebagai Juara, Nelysa Kay Naib Juara & Senarai Penuh Pemenang

Share

Dewi Remaja 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang, menyaksikan enam finalis terbaik negara bersaing di pentas akhir dalam persembahan yang bukan sahaja mempamerkan bakat, tetapi juga keberanian, ketelitian, emosi dan karakter generasi muda masa kini.

Malam finale yang dinanti-nantikan ini bukan sahaja detik penentuan juara, malah menjadi kemuncak edisi istimewa yang meraikan 40 tahun legasi Dewi Remaja, jenama yang konsisten mencungkil bintang terulung negara sejak 1985.

Tahun ini, Dewi Remaja sekali lagi membuktikan kekuatan jenamanya sebagai platform bukan sahaja membentuk personaliti, tetapi juga membina pemikiran, idealisme dan jati diri wanita muda Malaysia.

Dari episod pertama hingga ke finale, setiap cabaran menguji keberanian, kreativiti dan kemampuan finalis untuk menyampaikan suara mereka secara matang, relevan dan penuh keaslian. Finalis tampil bukan sekadar peserta, tetapi sebagai generasi pemimpin muda yang berani mencabar norma dan menzahirkan pendapat mereka sendiri.

Finale menyaksikan keenam-enam finalis mempersembahkan aksi yang seimbang dari segi mutu, disiplin dan penghayatan. Dengan bimbingan hos Dewi Sister, Shaza Bae, tenaga Nabila Huda serta karisma Kamal Adli, mereka tampil dengan keyakinan baharu hasil tunjuk ajar sejak hari pertama.

Kemunculan Keanu Azman sebagai pengacara bersama menyerikan lagi acara dengan gaya moden yang dekat dengan audiens muda. Scha Al Yahya pula melengkapkan panel juri, memberikan sentuhan istimewa kerana beliau sendiri pernah berdiri di pentas yang sama sebagai pemenang Dewi Remaja 2005/2006.

Selepas persembahan Top 6, dua finalis terpaksa disingkirkan, meninggalkan Top 4 untuk pusingan Question & Answer (Q&A). Dewi Suhaila dan Dewi Ariana tersingkir saat hampir ke pusingan penentuan juara. Sesi Q&A menjadi penentu terakhir dan mempamerkan dimensi pemikiran para finalis yang sama pentingnya dengan bakat pentas, membuktikan Dewi Remaja masih relevan dalam mengangkat ikon remaja Malaysia.

Saat kemuncak malam, Nylea diumumkan sebagai juara Dewi Remaja 2025 disambut dengan sorakan dewan. Keanggunan personaliti, prinsip teguh dan kemampuan membawa suara generasinya secara lantang namun beradab menjadikan beliau pilihan tepat. Nylea menerima mahkota Dewi Remaja, selempang, trofi dan wang tunai RM15,000 sebagai simbol pengiktirafan atas dedikasinya.

Sementara itu, Nelysa Kay dinobat sebagai Naib Juara, Dheper di tempat ketiga, dan Marisa menduduki tempat keempat. Anugerah khas turut diumumkan dengan Dewi Persahabatan jatuh kepada Elisha Chew dan Dewi Favorite milik Sharmaine, pengiktirafan yang menonjolkan hubungan, sokongan dan daya tarikan penonton sepanjang musim.

Ketua Bahagian New Gen & Men’s serta Editor Pengurusan Remaja, Fiezreen Ahmad berkongsi refleksi bermakna tentang musim ini, melihat Dewi Remaja 2025 sebagai lambang evolusi yang bukan sekadar memupuk bakat, tetapi membina persona yang tinggi intelektual dan empati.

Malam finale turut diraikan dengan Watch Party eksklusif sempena ulang tahun ke-40 Dewi Remaja di MDMT Ballroom, Datum Jelatek Kuala Lumpur. Acara ini dihadiri oleh kesemua 12 finalis, selain wajah-wajah besar yang pernah mencipta sejarah bersama Dewi Remaja dan Hero Remaja sejak edisi pertama.

Nama-nama seperti Aleeza Kassim, Kuza, Syatilla Melvin, Arena Wan, Pushpa Narayan, Harris Annuar, Myra Natasya dan ramai lagi hadir, menambahkan nostalgia dan memperkuatkan mesej kesinambungan legasi.

Turut menyokong acara, redONE Mobile sebagai Telco Rasmi Dewi Remaja 2025 menambah kemeriahan Watch Party dengan pengalaman kamera 360° dan pelbagai hadiah menarik, menjadikan acara ini bukan sahaja penyatuan semula bintang-bintang ikonik tetapi juga disulam dengan gaya hidup belia yang relevan dan berinspirasi.

Keputusan Akhir Dewi Remaja 2025

Juara: Nylea – Mahkota, Selempang, Trofi & RM15,000

Naib Juara: Nelysa Kay – Selempang, Trofi & RM10,000

Tempat Ketiga: Dheper – Selempang, Trofi & RM5,000

Tempat Keempat: Marisa – Selempang, Trofi & RM2,000

Dewi Persahabatan: Elisha Chew – Selempang, Trofi & RM2,000

Dewi Favorit: Sharmaine – Selempang, Trofi & RM2,000

Dengan sokongan berterusan daripada redONE Mobile, perjalanan finalis Dewi Remaja 2025 terus diserikan, selaras dengan objektif memperkasa dan meraikan bakat baharu tanah air.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath