Berita

7 Kali Anugerah Dekan, Leftenan Muda UTeM Ini Dinobat Penerima Anugerah Diraja! Tahniah!

Share

Setiap kejayaan besar bermula dengan langkah kecil yang penuh tekad dan disiplin. Begitulah kisah dua graduan hebat dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berjaya membuktikan bahawa semangat juang dan kerja keras pasti berbaloi.

Dalam Majlis Konvokesyen UTeM ke-21, nama Leftenan Muda KOR SISPA, Muhammad Yusoff Ali dan Gan Hong Jun diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja, anugerah tertinggi yang menjadi impian ramai graduan universiti awam di Malaysia.

Dari Shah Alam ke Pentas Anugerah Diraja

Berusia 26 tahun, Muhammad Yusoff Ali, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Automotif) dengan Kepujian, menamatkan pengajiannya dengan

CGPA 3.77 serta meraih tujuh kali Anugerah Dekan, ia bukan satu pencapaian mudah!

Anak jati Shah Alam ini juga bukan sekadar cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam kepimpinan dan pasukan beruniform sebagai mantan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan anggota KOR SISPA (Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam).

“Sebagai seorang mahasiswa, cabaran terbesar saya sepanjang pengajian adalah mengurus masa dan mencari keseimbangan antara belajar serta aktiviti kepimpinan,” kata Yusoff.

“Namun pengalaman ini banyak mengajar saya tentang disiplin diri dan kepentingan perancangan yang baik serta nilai bahawa saya tidak bekerja seorang diri.

“Kita perlu menanam keazaman yang teguh dalam diri di samping sokongan doa daripada ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan,” katanya lagi.

Anak sulung daripada dua beradik kepada pasangan Ali Abdullah dan Rozita Aalib Berumur ini menjadikan keluarganya sebagai sumber kekuatan utama dalam mencapai kejayaan luar biasa itu.

Dari Muar ke Dunia Kejuruteraan Antarabangsa

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Gan Hong Jun (26 tahun) dari Muar, Johor, turut membanggakan UTeM apabila menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri dan Robotik) dengan kepujian dan PNGK 3.97!

Hong Jun mengakui, kejayaan ini bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarganya.

“Antara faktor yang menyokong ke arah kejayaan saya adalah keinginan untuk mengubah nasib keluarga ke arah ekonomi yang lebih baik,” katanya.

“Selain itu, motivasi peribadi untuk terus belajar bersungguh-sungguh di samping pengurusan masa yang efektif serta tidak suka bertangguh dalam menyempurnakan sesuatu urusan, sama ada akademik mahupun aktiviti ko-kurikulum,” tuturnya.

Kini, beliau bakal memulakan kerjaya sebagai jurutera di Singapura dengan gaji pokok sebanyak $3,600, satu permulaan yang membanggakan bagi graduan muda.

Kejayaan Bersama 3,278 Graduan UTeM

Kedua-dua mereka merupakan sebahagian daripada 3,278 graduan UTeM yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan

Doktor Falsafah (PhD) dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama tiga hari.

Majlis gilang-gemilang itu disempurnakan oleh Canselor UTeM, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, serta Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: UTeM News

Published by
Fath