
Tidak ramai komposer yang mampu menggabungkan disiplin kerja tinggi dengan sifat mesra dan mudah didekati, namun bagi pemenang tempat ketiga Raise The Star Malaysia 2025 (RTSMY), Rayme, Audi Mok ialah contoh terbaik.
Berkongsi pengalaman bekerjasama dengan komposer prolifik itu, penyanyi muda ini mengakui terkejut dengan cara kerja Audi Mok yang luar biasa fleksibel, pantas, dan sentiasa terbuka menerima idea baharu.
“Dia sangatlah gila, tapi gilanya yang bukan berlagak. Dia sangat friendly, bila kita nak berkomunikasi dengan dia kita rasa tak gementar atau takut kerana dia buat kita sangat dekat dengan diri kita.
“Selain itu, dia buat kita tak rasa gementar untuk bercakap dengan dia. Paling menarik, dia okey sahaja jika WhatsApp dia pada tengah pagi di mana waktu orang lain sedang nyenyak tidur,” katanya kepada Remaja.
Menurutnya, Audi Mok tidak terikat dengan waktu kerja yang rigid, sebaliknya mengutamakan kelancaran komunikasi demi menghasilkan karya terbaik.
“Kalau ada idea baharu, dia minta komunikasi di WhatsApp sahaja terus. Bila telefon atau mesej, Audi Mok memang pantas untuk reply. Dia sememangya sifu yang sangat baik hati,” tambahnya lagi.
Bagi penyanyi tersebut, gaya kerja Audi Mok membuktikan bahawa kreativiti tidak mengenal waktu dan hubungan kerja yang baik adalah kunci kepada hasil yang berkualiti.
“Dia bukan sekadar memberi arahan, tapi turut mendengar pandangan kami sebagai artis baru. Itu yang buat saya rasa selesa dan lebih berani mencuba,” ujarnya lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.