
Awal pagi Khamis, dunia dikejutkan dengan laporan bahawa 12 aktivis kemanusiaan Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Israel selepas beberapa kapal yang mereka naiki dipintas ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.
Antara individu yang berada dalam senarai tahanan ialah penyanyi Zizi Kirana, pendakwah selebriti Heliza Helmi bersama adiknya Hazwani Helmi, pelakon Ardel, selain personaliti media sosial serta aktivis kemanusiaan,
Farah Lee.
Menurut kenyataan daripada Sekretariat Nusantara Care for Community (SNCC), kapal yang membawa delegasi Malaysia iaitu Alma, Sirius, Huga, Grande Blu dan Hio yang telah dipintas oleh pihak Israel.
Dengan penahanan terbaharu ini, jumlah keseluruhan aktivis kemanusiaan Malaysia yang terbabit meningkat kepada 12 orang, melibatkan beberapa nama artis serta aktivis tanah air.
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) itu disertai aktivis dari seluruh dunia sebagai simbol solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin. Selain itu, kapal-kapal terbabit juga membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta barangan asas ke Gaza.
Dalam kenyataan rasmi, Perdana Menteri Malaysia menegaskan pendirian kerajaan terhadap insiden tersebut.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas kapal-kapal Global Sumud Flotilla. Kapal-kapal ini membawa orang awam yang tidak bersenjata serta bekalan kemanusiaan penting untuk Gaza, namun mereka telah disambut dengan intimidasi dan paksaan.
“Malaysia akan menggunakan segala saluran yang sah dan sahih bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya dalam perkara yang melibatkan keselamatan warganegara Malaysia.
“Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah keutamaan, dan kita tidak akan membiarkan ia digadai tanpa sebarang tindakan,” kata dalam kenyataan.
Kerajaan Malaysia kini memantau rapat situasi berkenaan bagi memastikan keselamatan semua aktivis negara terjamin, dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.