
11 das tembakan yang dilepaskan di Istana Alam Shah, Klang pada pagi tadi merupakan simbolik sempurnanya Istiadat Pernikahan Diraja Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah bersama pasangan pilihan, Cik Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.
Tembakan kehormatan itu dijalankan pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) berpangkalan di Kem Sungai Buloh.
Seawal jam 7 pagi lagi, lebih 2000 orang ramai mula membanjiri pekarangan bandaraya Klang bagi menyaksikan perarakan sempena istiadat pernikahan Diraja.
Kelihatan dalam lintas langsung oleh Media Selangor, suasana meriah dengan orang ramai memegang bendera negeri Selangor untuk dilambaikan kepada Raja Muda Selangor sewaktu menaiki kereta Rolls Royce dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Klang sehingga ke Masjid Istana Diraja Istana Alam Shah sejauh 1.2 kilometer.
Detik bersejarah bagi rakyat negeri Selangor ini kemudian diteruskan dengan Istiadat Pernikahan Diraja yang dipimpin oleh Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Sesi akad nika turut dihadiri oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan berangkat menyaksikan momen bahagia anakanda baginda berdua.
Difahamkan juga, Cik Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz telahpun memilih busana sentuhan pereka fesyen tempatan, Adila Long. Begitupun, foto rasmi yang memperlihatkan pasangan Diraja tersebut sehingga kini masih belum dimuat naik buat tontonan orang ramai.
FOTO: Bernama & Instagram Selangor Royal Office
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.