
Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal kembali menjadi perhatian apabila Anwar Ibrahim menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan perkara itu perlu disegerakan dan diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang.
Menurut beliau, tempoh maksimum 10 tahun atau dua penggal sudah memadai untuk seseorang Perdana Menteri melaksanakan agenda pembaharuan serta dasar utama negara sebelum memberi ruang kepada kepimpinan baharu meneruskan khidmat.

“Saya ingat sesiapa yang mahu berkhidmat dengan ikhlas kepada negara, 10 tahun tu cukuplah, memadai untuk dia lakukan sebaiknya dan selepas itu sepatutnya dia sedia untuk melepaskan untuk rakan-rakan lain meneruskan khidmat…dan kalau ada konsensus majoriti Ahli Parlimen, kita boleh luluskan dalam sidang akan datang,” katanya.
Apa yang lebih mencuri perhatian, Anwar turut menegaskan bahawa cadangan tersebut akan bermula dengan dirinya sendiri.
“Ya, dia bermula daripada sayalah. Maknanya, jangan saya buat undang-undang untuk orang lain. Undang-undang itu mesti terpakai untuk saya dulu,” ujarnya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, Banting.

Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri ini dilihat ramai sebagai antara agenda reformasi institusi yang mampu memperkukuh amalan demokrasi dan tadbir urus negara.
Sementara itu, Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dilaporkan berkata RUU berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menjawab persoalan mengenai dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan dua dasar utama kerajaan ketika Rafizi Ramli menerajui Kementerian Ekonomi.
Tegas beliau, prinsip kerajaan kekal konsisten dalam menangani sebarang isu tatakelola tanpa memilih bulu.
“Apa pun salah laku, ada dakwaan, kita harus konsisten. Jangan kita pilih, sama ada sesiapa pun, kalau ada dakwaan, siasat dengan telus dan terbuka, kalau ada bukti bersalah, dakwa. Tetapi jangan kita hebahkan atau menghukum sebelumnya.
“Sebab itu saya terima baik apa-apa dakwaan ya, sama ada kepada kerajaan, kepada saya, kalau ada dakwaan, ada bukti, kita siasat dengan telus. Barulah negara ini agak teratur,” katanya.
Jika RUU ini berjaya diluluskan, ia bakal menjadi satu langkah signifikan dalam landskap politik negara, sekali gus mencerminkan komitmen terhadap pembaharuan institusi dan amalan demokrasi yang lebih matang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!














