
Boleh dikatakan rakyat Malaysia ni memang gila sangat dengan barang atau pun makanan dari Korea. Buka saja kedai makan Korea kat mana-mana pun, pasti penuh diserbu orang.
Selain daripada restoran, dah jadi trend di Malaysia sekarang bila mana speedmart dari Korea pula dapat sambutan hangat disini.
Mesti pelik kan kenapa Family Mart tu sentiasa penuh dengan orang.
Kalau korang yang sejenis tak tahu sangat tentang makanan apa yang best di Korea dan agak-agak blur nak pilih mana yang best di Family Mart tu, ini 10 snek yang korang wajib cuba!
1. Ais krim

First time masuk Family Mart ni, korang boleh cuba dulu ais krim mereka ni. Didatangkan dengan dua perisa, buat masa ni adalah Matcha dan Hokaido Melon.
2. Oden

Kalau di Malaysia Oden ni lebih kurang macam Lokching laa.
3. Susu pisang

Ada yang sanggup beli susu ni berbotol-botol kalau ke Korea semata-mata nak bawa balik Malaysia. Sekarang ni korang boleh je cari terus di Family Mart. Senang kan?
4. Japanese ice cream

Ada banyak pilih ais krim Jepun yang korang boleh try! Sedap wey..
5. Rice crackers

Mochirato rice crackers, jaga stick umashios dan sweet potato sticks antara rice crackers yang menarik untuk korang dapatkan disini.
6. Strawberry sando

Soft cake yang dipenuhi krim bersama strawberi boleh dinikmati mengikut musim bunga di Jepun.
7. Bento

Bukan saja snek, makanan berat pun korang boleh dapatkan disini. Menyediakan variasi bento dengan jenis yang berbeza-beza. Pilih saja mana satu yang korang suka.
8. Onigiri

Makanan tradisional yang biasanya diambil oleh masyarakat mereka pada waktu lunch. Nampak kecil tapi kalau dah makan seketul ni kenyang tau.
9. Strawberry shortcake

Didatangkan dalam hidangan cawan untuk memudahkan korang menikmatinya. Serious tak menyesal wey kalau beli yang ni. Satu tak cukup!
10. Choco chip cookies

Last but not least, korang kena rasa choco chip cookies ni. Kalau tak suka manis sangat, pilih Bitter Choc.
Sumber: Discover KL
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Episod Baharu Hospital Playlist 2 Tidak Akan Ditayangkan Minggu Depan

Setelah tayangan episod keenam Hospital Playlist 2 pada 22 Julai lalu, drama berkonsep perubatan popular Korea ini memaklumkan bahawa ia tidak akan menayangkan episod susullan pada minggu hadapan.

Saluran tvN sendiri mengumumkan bahawa mereka akan menayangkan sebuah episod istimewa pada 29 Julai 2021 dan episod 7 pada minggu berikutnya.
Ini berikutan keputusan pihak produksi yang terpaksa menangguhkan penggambaran selama seminggu akibat situasi COVID-19 di Korea Selatan yang kembali meningkat. Seluruh tenaga kerja drama ini merasakan mereka perlu mempertahankan kualiti tayangan dan naskah terbaik drama tersebut.
Lalu, mereka sanggup ‘korbankan’ tayangan episod 7 demi menunggu situasi pandemik reda sebelum menyambung penggambaran.
Episod istimewa yang akan menggantikan episod baharu pada 29 Julai ini akan menyaksikan kisah belakang tabir drama Hospital Playlist 2, komen dari para pelakonnya dan pelbagai lagi. Dengar macam menarik!

Bagi korang yang belum pernah menonton drama Hospital Playlist, ia mengisahkan tentang lima sahabat lakonan Jo Jung Suk, Jung Kyung Ho, Yoo Yun Suk, Kim Dae Myung dan Jeon Mi Do yang berkawan baik sejak di bangku sekolah menengah hinggalah sama-sama menuntut dalam bidang perubatan serta menjadi rakan sekerja di hospital yang sama.
Bagi peminat drama Korea ini, korang kenalah bersabar untuk menantikan episod terbaharu Hospital Playlist 2 okay?
Sumber: (1)
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Asia Comic Con 2018 Malaysia, Peluang Untuk Kaki Komik & Anime Lepaskan Geram!

Sebut sahaja tentang Comic Con pasti ramai yang terus terbayang dengan pelbagai konvensyen penggemar komik, aksi figura, anime dan bermacam lagi pop culture terkini yang tengah IN!
Dan tidak lengkap juga bila membicarakan tentang Comic Con tanpa kemunculan cosplayer yang tampil menjadi watak-watak kegemaran masing-masing.
Jika di Amerika Syarikat dan di Eropah ia sudah menjadi event yang dinantikan, kini tiba masa negara kita Malaysia menyaksikan Asia Comic Con 2018 diadakan buat pertama kalinya di sini.

Buat para peminat filem dan komik, jangan lepaskan peluang untuk bertemu watak-watak kegemaran anda di Asia Comic Con (ACC) 2018! ACC 2018 yang julung kali diadakan di Malaysia ini akan diadakan selama tiga hari betturut-turut iaitu bermula 13 hingga 15 Julai 2018.
Di manakah acara bersejarah ini bakal diadakan?
ACC 2018 telah memilih Sunway Pyramid Convention Centre di mana ia terbahagi kepada 6 zon unik yang terdiri daripada komik, filem, rancangan bersiri, manga, anime, permainan, permainan digital dan cosplay. Pelbagai jenis aktiviti juga dapat korang sertai dan saksikan sepanjang acara tiga hari ini berlangsung seperti pameran, koleksi barangan terkumpul.
Antara acara utama yang bakal berlangsung:
1. Khas untuk peminat bola sepak, Pertandingan Moh Skor E-Sports menampilkan FIFA Online 3 dan FIFA 18 yang memberikan pengalaman seperti di padang bola sepak sebenar! Penonton akan dapat menyaksikan perlawanan menarik di antara pasukan-pasukan hebat yang terdiri daripada pemain-pemain bola profesional seperti Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan ramai lagi.
2. Koleksi unik daripada XM Studios. Pameran patung-patung berharga yang dihasilkan dengan penuh teliti. Peminat boleh menyaksikan sendiri koleksi yang diinspirasikan daripada filem Marvel seperti Avengers, X-Men dan Antman; Star Wars; filem DC seperti Batman dan banyak lagi.
3. Sesi bergambar bersama prop bersaiz besar dan model daripada filem The Dark Knight! Jika sebelum ini peminat hanya boleh melihat Tumbler dan Batpod di Gotham, kali ini mereka boleh berjumpa dan beramah mesra dengan watak-watak kegemaran mereka di ACC 2018! Karakter lain yang akan turut membuat kemunculan termasuklah Predator, Batman Ninja dan turut tidak ketinggalan kerusi legenda daripada X-Men, Magneto Chair!
4. Diorama Eksklusif Dragon Quest! Setelah 30 tahun, permainan “role-playing” ini masih diminati ramai. Tahun ini menyaksikan penganjurannya yang ke-11 yang lengkap dengan lanskap mini, pertarungan sengit, watak-watak ikonik dan set-set berskala besar yang mengagumkan.
5. Penampilan istimewa oleh artis animasi legenda, Nobuo Yamada atau NoB (Super Sentai dan Saint Seya) dan Chie Nakamaru atau mao (Doraemon).
6. Korang juga berpeluang untuk sertai pertandingan Asia Comic Con Cosplay Championship Malaysia 2018 yang menawarkan hadiah wang tunai tempat pertama RM5,000!
Bermula dari sekarang hingga 3 Julai, dapatkan tiket awal dengan harga istimewa – pas 3 hari bernilai RM39 di sini dan untuk berita terkini ACC 2018, layari www.facebook.com/asiacomicconmalaysia/.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Siapa Patut Keluar Belanja Kenduri Belah Pengantin Perempuan? Mufti Wilayah Beri Penjelasan

Selalu kita dapat jemputan kahwin melibatkan tarikh berbeza bagi rumah pengantin lelaki dan perempuan. Sudah menjadi adat, majlis selalunya dimulakan di rumah pengantin perempuan diikuti lelaki pada minggu berikutnya.
Kebiasaan mengikut adat yang sudah lama diamalkan, keluarga sebelah perempuan membiayai sendiri majlis perkahwinan melibatkan anak perempuan mereka. Biasanya sejumlah duit diambil dari duit hantaran diberi oleh pihak lelaki yang kemudiannya digunakan oleh ibu bapa perempuan untuk majlis tersebut.
Namun satu pertanyaan dari individu yang bertanya adakah majlis walimah atau kenduri kahwin itu merupakan tanggungjawab suami ataupun keluarga pengantin perempuan boleh membuatkan kita memahami siapa sebenarnya yang perlu keluarkan belanja di majlis sebelah perempuan.

Baca pandangan dari Mufti Wilayah Persekutuan, Sohibus Sahamah Seri Dr Haji Zulkifli bin Haji Mohamad Al Bakri mengenai pertanyaan tersebut.
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:
Maksudnya: Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing. Riwayat Muslim (1427)
Secara zahir dari hadis di atas, mengadakan walimah atau majlis perkahwinan adalah dituntut selepas perkahwinan dilangsungkan. Meskipun begitu, para ulama berbeza pendapat kepada implikasi tuntutan tersebut, sama ada ia membawa kepada hukum wajibnya majlis walimah ataupun hukumnya adalah sunat sahaja.
Pendapat pertama menyatakan bahawa hukum walimah adalah wajib. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan hujahnya berdasarkan zahir arahan “Lakukanlah walimah’’. Kaedah menyebut: ‘’Kata perintah membawa hukum wajib’’.
Tambahan pula, hukum menghadiri jemputan walimah adalah wajib sekiranya tiada keuzuran. Justeru, menjalankan majlis walimah itu sudah tentu turut diwajibkan.
Manakala pendapat yang kedua merupakan pandangan para fuqaha’ iaitu hukum mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Oleh kerana itu, Imam Abu Dawud dalam menukilkan hadis-hadis walimah ini beliau letakkan di bawah tajuk:
Iaitu ‘’Bab Pada Menyatakan Sunatnya Walimah ketika Perkahwinan’’.
Demikian juga dalam kitab Al-Feqh al-Manhaji menyebut: ‘’Hukum walimah adalah sunat muakkad’’.
Mereka juga berpendapat bahawa majlis perkahwinan ini adalah sama sahaja dengan majlis-majlis jamuan yang lain dari sudut hukum asal mengadakan majlis jamuan makan adalah sunat sahaja.
Demikian juga pada pandangan mereka, tidak tepat untuk dikatakan bahawa hukum mengadakan walimah adalah wajib disebabkan hukum menghadiri walimah adalah wajib. Ini kerana, dalam isu memberi salam ia juga dituntut dalam agama. Namun, memberi salam hukumnya sunat dan ini berbeza dengan hukum menjawab salam iaitu wajib.

Majlis Perkahwinan Tanggungjawab Siapa ?
Berkenaan isu siapakah yang bertanggungjawab melaksanakan majlis perkahwinan, terdapat dua pandangan utama dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Sebahagian berpendapat bahawa majlis perkahwinan merupakan tanggungjawab suami iaitu pengantin lelaki. Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa urusan majlis perkahwinan adalah merupakan tanggungjawab keluarga mertua.
Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syathiri menimbulkan persoalan sama ada walimah disunatkan kepada suami atau isteri. Lalu beliau menyatakan: ‘’Para ulama berpendapat bahawa walimah disunatkan kepada suami (pengantin lelaki). Melainkan sebahagian ulama berpendapat bahawa ia disunatkan dengan seruan yang umum (iaitu tanpa dikhususkan kepada sesiapa), bagi tujuan menzahirkan kegembiraan dan keseronokan.
Beliau turut menukilkan pendapat dari Syeikh Daud al-Zahiri yang menyatakan bahawa walimah itu wajib ke atas suami. Berdasarkan perintah Nabi S.A.W kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.
Manakala para ulama Syafi’eyyah meletakkan arahan tersebut kepada hukum sunat (iaitu sunat bagi suami melakukan walimah). Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis, Muhammad bin Ahmad al-Syathiri (Hlm. 597).
Pandangan yang menyatakan tanggungjawab mendirikan majlis walimah terletak pada bahu pengantin lelaki berhujahkan kepada hadis arahan Nabi S.A.W kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas. Ini kerana, baginda S.A.W menyatakan kepada beliau أولم (lakukanlah walimah). Namun dalam masa yang sama, baginda tidak menyatakan kepada pihak mertua Abd al-Rahman bin ‘Auf أولموا (lakukanlah kamu semua majlis perkahwinan). Justeru, majlis walimah itu disyariatkan kepada hak pengantin lelaki.
Selain itu, kenikmatan (perkahwinan) pada hak seorang suami adalah lebih besar berbanding kenikmatannya pada hak seorang isteri. Demikian juga menjadi kebiasaan bahawa orang lelaki yang melamar dan meminta seorang perempuan untuk menjadi isterinya, serta sangat jarang berlaku orang perempuan yang meminta orang lelaki mengahwininya.
Tambahan pula, pernikahan adalah suatu kenikmatan bagi pengantin lelaki dan antara cara menzahirkan syukur adalah dengan melakukan amal soleh. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T
Maksudnya: Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur. Surah Saba’ (13)
Justeru, antara amalan yang dilakukan untuk menzahirkan kesyukuran dari perkahwinan adalah dengan melangsungkan majlis walimah itu sendiri.
Manakala berkaitan isu majlis walimah yang dilakukan oleh pihak mertua iaitu bapa pengantin perempuan sebagai contohnya, maka kata al-Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Syathiri: ‘’Sekiranya majlis walimah dilakukan oleh selain suami dan wali, seperti bapa kepada isteri (pengantin perempuan), atau walimah dilakukan oleh pengantin perempuan sendiri, maka telah ditunaikan sunnah bagi pihak dirinya (pengantin lelaki). Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis (Hlm. 598).
Penutup
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum asal bagi mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya. Meskipun begitu, sekiranya pihak pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri menjalankan majlis walimah, maka telah terlaksanalah hukum sunat bagi pihak pengantin lelaki.
Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki. Maka kami menyatakan bahawa secara asalnya hukumnya adalah harus selama tidak berlaku israf dan pembaziran. Hal ini kembali kepada apa yang disebutkan oleh sebuah kaedah yang masyhur:
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Kami turut menyatakan, hendaklah majlis perkahwinan itu dilakukan secara sederhana mengikut kemampuan dirinya sendiri (pengantin lelaki) tanpa perlu israf dan juga membazir. Inilah hikmah dari arahan Nabi S.A.W kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas bahawa biarlah diadakan walimah, sekalipun dengan seekor kambing.
Begitu juga kami nasihatkan kepada ibubapa kepada bakal-bakal pengantin supaya sentiasalah mempermudahkan urusan anak-anak dalam mengadakan majlis perkahwinan supaya mereka dapat melayari bahtera perkahwinan dengan sebaiknya.
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

