Zhiddin Aziz Seru Guru-Guru Hentikan Budaya Muat Naik Jawapan Salah Pelajar Hanya Untuk Tular

Share

Pada era digital sekarang di mana frasa ‘content is king’ semakin popular dalam kalangan masyarakat, sesetengah daripada kita yakin untuk memuat naik sebarang kandungan tanpa memikirkan risiko di sebaliknya.

Jika ada antara korang perasan sejak kebelakangan ini, semakin ramai tenaga pengajar di sekolah yang memuat naik foto mahupun video memaparkan kertas soalan peperiksaan pelajar mereka sendiri yang dibiarkan kosong atau terisi dengan jawapan lucu dan salah.

Mungkin niat cikgu-cikgu tersebut adalah untuk berkongsi sesuatu yang berpotensi untuk tular di media sosial. Begitupun, budaya memuat naik jawapan pelajar ke dunia maya ini sebenarnya mengundang rasa bimbang terhadap kredibiliti seseorang guru itu sendiri dalam mendidik anak bangsa.

Perkara itu telah menarik perhatian pempengaruh muda tempatan, Zhiddin Aziz yang baru-baru ini menyeru agar guru-guru di Malaysia untuk menghentikan budaya tersebut.

Zhiddin Aziz merupakan alumni Fakulti Penulisan Kreatif & Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Sepanjang bergelar penuntut di sana, Zhiddin turut berkhidmat secara separuh masa sebagai wartawan RTM dan menjadi pengacara bagi majlis-majlis rasmi.

“Saudara perasan tak sekarang bila ada kuiz, kemudian pelajar itu sekadar mengisi baris. Haa, guru itu pun ambil gambar kemudian muat naik dan menyatakan bahawa generasi Z dan alfa sekarang makin lemah padahal itu lumrah.

“Mana-mana generasi pun, mana-mana pelajar pun kalau tak boleh jawab soalan memang kita akan jawab saja apa yang kita tahu. Kadang-kadang, salin semula soalan. Bezanya, zaman kita itu tiada cikgu yang viralkan.

“Bukan apa, bila trend ini (jika) dibiar berulang, budak-budak rasa itu kelakar, rasa itu gemilang. Lalu mereka berani mengulang.

“Perkara itu lebih elok selesai di dalam bilik darjah. Adakah kita mengharapkan masyarakat internet akan mendidik? Tidak, mereka hanya mengherdik,” ulasnya.

BACA: Anak Aziz Desa Raih Anugerah Wartawan TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2022 – Remaja

Zhiddin, 22 yang juga merupakan anak kepada pengacara terkenal, Allahyarham Aziz Desa juga membuat perbandingan mengenai cabaran yang dihadapi oleh generasi sekarang berbanding generasi pelajar dahulu dan berpendapat setiap zaman mempunyai cabaran tersendiri.

“Zaman kita, mahu tidak mahu ada jadual kelas tambahan dan ada ujian memaksa untuk kita bertahan.

“Kalau nak dibuat perbandingan, saya rasakan zaman mereka lebih kuat kerana perlu hidup dengan menghadap bermacam-macam godaan. Kita pula lupa memotivasikan mereka sehingga generasi mereka jadi benar-benar lembik dan hilang kepercayaan diri,” tambahnya lagi.

Bagi penulis, tenaga pengajar seharusnya bertindak matang dalam mendidik para pelajar untuk memperbaiki kelemahan diri dan tidak menjadikan kelemahan tersebut sebagai sumber tularkan profil sendiri di alam maya atau kerana taksub mengejar ‘clout’.

Berfikirlah secara rasional agar nilai pendidikan kita menerusi peperiksaan yang dilangsungkan terus dipandang serius.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
FZ