
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dilaporkan sedang gering susulan kesakitan musculoskeletal iaitu melibatkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul yang dihadapi baginda.
Perkhabaran mengenai keadaan kesihatan Seri Paduka Baginda dimaklumkan menerusi satu kenyataan rasmi oleh Istana Negara hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, Seri Paduka Baginda telah dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis bagi memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan.
“Disebabkan Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani rawatan susulan, Seri Paduka Baginda tidak dapat berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Perwakilan Asing dan Pegawai Kanan Kerajaan di Istana Negara yang berlangsung kelmarin,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Istana Negara turut memaklumkan bahawa majlis perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sultan Ibrahim yang dijadualkan berlangsung semalam juga telah ditangguhkan ke suatu tarikh lain.
Walau bagaimanapun, Istana Negara memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda akan kembali menjalankan tugas rasmi seperti biasa selepas keadaan kesihatan baginda bertambah baik.
“Yang di-Pertuan Agong bertitah akan kembali berangkat ke majlis-majlis rasmi sebaik kesihatan Baginda beransur pulih,” menurut Istana Negara.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan doa agar Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kesihatan yang baik.
Beliau mendoakan Sultan Ibrahim dikurniakan keafiatan berpanjangan dan terus berada dalam lindungan, rahmat serta inayah Allah SWT.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.