
Siapa sangka minat seorang kanak-kanak terhadap buku boleh menjadi antara sebab sebuah van perpustakaan terus singgah dan membawa manfaat kepada komuniti di kawasan kediamannya.
Perkongsian seorang ibu menerusi platform Threads baru-baru ini mencuri perhatian warga maya selepas dia menceritakan tentang anaknya, Yusuf yang cukup teruja setiap kali menantikan kehadiran van perpustakaan bergerak di kawasan flat tempat mereka tinggal.
Menurut wanita yang menggunakan nama pengguna sezi_a, dia sendiri baru mengetahui bahawa minat Yusuf terhadap perkhidmatan berkenaan cukup dihargai oleh pegawai perpustakaan yang bertugas.
“Pegawai perpustakaan tadi cakap, anak saya ni lah yang buat van perpustakaan masih datang kat kawasan flat saya ni.
“Terharu saya banyak yang doakan Yusuf. Keberadaan van ni selalu diwar-warkan di group kejiranan tapi mungkin banyak budak sekolah.
“Anak saya seronok kerana banyak buku baru, sekali sebulan dia boleh tukar buku baru nak baca,” kongsinya.
Walaupun kedatangan van perpustakaan tersebut hanya sekali dalam sebulan, ia cukup bermakna buat Yusuf kerana memberinya peluang memilih dan membawa pulang bahan bacaan baharu.
Lebih manis, keterujaan Yusuf menanti van berkenaan secara tidak langsung membantu memastikan perkhidmatan perpustakaan bergerak itu terus hadir ke kawasan kejiranannya.
Perkongsian tersebut kemudiannya menerima pelbagai reaksi positif daripada warga Threads. Ramai yang gembira melihat masih ada kanak-kanak yang mempunyai minat mendalam terhadap buku, khususnya dalam era digital apabila hiburan menerusi gajet begitu mudah dicapai.
Tidak kurang juga yang mendoakan agar minat Yusuf terhadap membaca terus subur sehingga dewasa.
Dalam ruangan komen, kisah Yusuf turut membuatkan segelintir pengguna terkenang pengalaman mereka menggunakan perkhidmatan perpustakaan bergerak ketika masih kecil.
Seorang pengguna berkongsi bahawa van perpustakaan pernah menjadi sebahagian daripada memori zaman kanak-kanaknya ketika berusia sekitar sembilan hingga 10 tahun.
Antara bahan bacaan kegemarannya ketika itu termasuklah ensiklopedia, buku sains serta buku berkaitan dinosaur dan angkasa lepas. Malah, minat membaca bahan-bahan tersebut pernah membuatkannya memasang cita-cita untuk menjadi seorang saintis.
Pengalaman seperti ini memperlihatkan bagaimana sebuah buku yang ditemui ketika usia masih kecil boleh mencetuskan rasa ingin tahu terhadap sesuatu perkara. Daripada membaca kerana suka-suka, seseorang kanak-kanak mungkin mula mengenali bidang yang tidak pernah diketahuinya sebelum itu.
Bagi mereka yang pernah membesar dengan perkhidmatan sebegini, kedatangan perpustakaan bergerak juga boleh menjadi satu memori yang sukar dilupakan. Bukan sekadar kerana buku yang dipinjam, tetapi perasaan teruja menunggu kenderaan tersebut tiba dan mencari buku yang mahu dibawa pulang.
Dalam masa yang sama, sambutan seorang pembaca kecil terhadap van perpustakaan turut memperlihatkan betapa kemudahan seperti ini masih mempunyai tempat dalam komuniti, meskipun pelbagai bentuk hiburan digital kini mudah berada di hujung jari.
Minat membaca juga tidak semestinya bermula dengan sesuatu yang besar. Ada kalanya ia bermula apabila seorang kanak-kanak menemui sebuah buku yang benar-benar menarik minatnya, sebelum rasa ingin tahu itu membawa kepada buku seterusnya dan seterusnya.
Sumber : Threads sezi_a
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.