Berita

USM Lonjak 149 Anak Tangga, Kini Universiti Nombor Satu Malaysia Dalam ARWU 2026

Share

Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta pencapaian membanggakan apabila muncul sebagai universiti nombor satu di Malaysia dalam Academic Ranking of World Universities (ARWU) 2026.

Lebih membanggakan, USM berjaya melonjak 149 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-581 dunia, berbanding tempat ke-730 yang direkodkan pada tahun lalu.

Pencapaian itu turut menyaksikan USM memperbaiki kedudukan di peringkat nasional apabila naik daripada tempat ketiga pada 2025 kepada tempat pertama tahun ini.

Bukan Sekadar Populariti Universiti

Menurut USM, pencapaian tersebut cukup signifikan kerana ARWU atau lebih dikenali sebagai ShanghaiRanking menilai universiti berdasarkan pencapaian akademik dan penyelidikan.

Ini bermakna kedudukan yang diraih bukan semata-mata bergantung kepada reputasi atau persepsi terhadap sesebuah institusi pengajian tinggi.

Antara indikator yang digunakan termasuk pencapaian alumni dan staf yang memenangi Hadiah Nobel serta Fields Medal, jumlah Highly Cited Researchers (HiCi) yang diiktiraf Clarivate, penerbitan dalam jurnal Nature dan Science serta penerbitan yang diindeks dalam Science Citation Index-Expanded (SCIE) dan Social Sciences Citation Index (SSCI).

Prestasi akademik per kapita sesebuah institusi turut diambil kira dalam penilaian berkenaan.

Separuh Penilaian Berkait Pencapaian Bertaraf Dunia

USM menjelaskan, sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan penilaian ARWU berkaitan pemenang Hadiah Nobel dan Fields Medal, manakala 20 peratus lagi diberikan kepada HiCi.

“Ini bermakna separuh daripada penilaian ARWU berkait secara langsung dengan pencapaian akademik bertaraf dunia dan penyelidik yang mempunyai pengaruh sitasi sangat tinggi,” menurut kenyataan itu.

Kejayaan berkenaan sekali gus meletakkan USM setanding dengan universiti yang mempunyai tradisi penyelidikan kukuh, selain disokong saintis dan sarjana berpengaruh serta ekosistem penyelidikan yang dibangunkan sejak beberapa dekad lalu.

Lonjakan 149 Kedudukan Dalam Setahun

Bukan mudah untuk sesebuah universiti melonjak begitu tinggi dalam ranking global, apatah lagi apabila lebih 2,500 universiti di seluruh dunia dinilai oleh ARWU setiap tahun.

Bagaimanapun, hanya 1,000 universiti terbaik diterbitkan dalam ranking tersebut.

“Dalam ARWU 2026, USM turut mencatat prestasi memberangsangkan dalam indikator Publication (PUB) apabila berada pada kedudukan ke-424 dunia dan lebih signifikan ialah peningkatan dalam indikator HiCi apabila USM berada pada kedudukan ke-503 dunia,” menurut kenyataan itu.

Penyelidikan USM Semakin Berpengaruh

Peningkatan dalam indikator HiCi turut dilihat sebagai pencapaian penting kerana ia bukan sekadar menunjukkan pertambahan jumlah penerbitan akademik.

Sebaliknya, ia memberi gambaran bahawa hasil penyelidikan yang dihasilkan warga USM semakin mendapat perhatian, dirujuk dan digunakan oleh komuniti akademik, sekali gus memberi pengaruh terhadap perkembangan ilmu di peringkat antarabangsa.

Menurut USM, ARWU bukan hanya melihat kepada jumlah penerbitan yang dihasilkan sesebuah universiti, tetapi turut menilai pengaruh penyelidik serta hasil penyelidikan institusi berkenaan di pentas dunia.

Pencapaian terbaru ini sekali gus menjadi satu lagi bukti keupayaan USM dalam memperkukuh kedudukannya sebagai universiti penyelidikan yang berdaya saing di peringkat global.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath