Berita

Usia Baru 8 Tahun, Aisya Azzahra Dinobat Juara Dunia Pertandingan Bahasa Inggeris Di Istanbul!

Share

Berani keluar daripada zon selesa, murid Tahun Dua cipta kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa

Baru berusia lapan tahun, namun keberanian Aisya Azzahra Muhammad Amirul Izzat untuk mencuba sesuatu di luar zon selesa akhirnya membuahkan hasil membanggakan apabila dia dinobatkan sebagai juara dunia dalam pertandingan akademik antarabangsa.

Menerusi laporan media tempatan, Aisya yang merupakan murid Tahun Dua itu buat pertama kalinya menyertai pertandingan akademik di luar negara dan perlu bersaing dengan peserta dari 34 negara.

Lebih membanggakan, dia berjaya meraih tempat pertama serta Gold Medalist bagi kategori ‘Grade 2’pada International Joey of English Competition Global Finals 2026 yang berlangsung di Istanbul, Turkiye.

Bukan Sekadar Pingat Emas

Bagi bapanya, Muhammad Amirul Izzat Roszaki, keberanian Aisya menyahut cabaran pada usia muda jauh lebih bermakna berbanding kejayaan membawa pulang pingat emas.

Menurutnya, pengalaman tersebut memberi ruang kepada Aisya untuk belajar mengurus cabaran, membina keyakinan diri serta memahami bahawa kegagalan bukan sesuatu yang perlu ditakuti.

“Kami sentiasa mengingatkan Aisya bahawa kita perlu berusaha sebaik mungkin, kemudian serahkan urusan rezeki dan hasilnya kepada ALLAH SWT.

“Kami mahu dia melihat pertandingan bukan sebagai satu tekanan, tetapi sebagai peluang untuk belajar, mencabar diri dan menimba pengalaman,” katanya kepada pemberita.

Dari Papan Catur Ke Pentas Akademik

Menariknya, Aisya sebelum ini lebih banyak memberikan tumpuan kepada bidang sukan catur dan sudah pun bergelar pemain catur kebangsaan.

Malah, pada usia yang masih muda, dia pernah mewakili Malaysia dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang berlangsung di Indonesia, Mongolia, China dan Singapura.

Namun, apabila peluang untuk menyertai pertandingan akademik di Istanbul hadir, keluarganya memilih untuk memberikan ruang kepada Aisya mencuba sesuatu yang berbeza daripada bidang yang sudah biasa diceburinya.

“Kami sangat gembira dan bersyukur, malah terkejut apabila Aisya diumumkan sebagai juara dunia kerana ini merupakan kali pertama beliau menyertai pertandingan akademik di luar negara.

“Yang paling membanggakan apabila seorang anak kecil dari Malaysia mampu bersaing dengan peserta dari negara lain di pentas antarabangsa,” katanya.

Sokongan Keluarga Jadi Kekuatan

Dalam usaha merealisasikan impian Aisya untuk beraksi di pentas antarabangsa, keluarganya turut berdepan cabaran dari segi kewangan.

Situasi itu lebih mencabar selepas Aisya baru sahaja pulang daripada menyertai Asian Youth Chess Championship 2026 di Shenzhen, China dan ASEAN+ Age Group Championship di Singapura.

Namun begitu, sokongan daripada keluarga serta rakan-rakan akhirnya membantu merealisasikan peluang Aisya untuk beraksi di Istanbul.

“Bagaimanapun, sokongan dan sumbangan keluarga dan rakan-rakan bagi menampung perjalanan ke Istanbul menjadi antara kekuatan yang membantu Aisya merealisasikan peluang berkenaan,” katanya.

Harap Terus Cintakan Ilmu

Dalam pada itu, Muhammad Amirul Izzat berharap kejayaan yang diraih Aisya tidak membuatkan anaknya terlalu mengejar kemenangan dalam setiap pertandingan yang disertai.

Sebaliknya, beliau mahu Aisya terus mencintai ilmu, berani mencuba perkara baharu, merendah diri dan menjadikan setiap pengalaman sebagai ruang untuk terus berkembang.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada anak-anak muda agar tidak terlalu takut berdepan kegagalan kerana setiap cabaran yang dilalui boleh menjadi peluang untuk belajar, memperbaiki diri dan menjadi individu yang lebih baik.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Sinar Harian

Published by
Fath