
Terbaru, Malaysia sekali lagi mencatat sejarah apabila kedua-dua qari dan qariah negara berjaya merangkul gelaran juara dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 yang berlangsung pada malam Ahad, semalam.
Bagi kategori qari, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan (27) membuktikan kehebatan bacaan dan penghayatan beliau apabila dinobatkan sebagai johan dengan markah 97.01 peratus selepas mengatasi pencabar dari Indonesia, Ahmad Azroi Hasibuan (95.13 peratus) dan wakil Turkiye, Muhammed Yahya Yildizhan (93.88 peratus) yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Pada masa yang sama, qariah negara, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi (31) turut mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih 95.88 peratus markah, mengetepikan peserta Maghribi, Fatima Zahra Assafar (89.38 peratus) di tempat kedua dan peserta Indonesia, Nur Rahmiyatin Adhya (87.59 peratus) di tempat ketiga.
Dalam pada itu, kejuaraan kedua-dua wakil negara ini diraikan dalam majlis penutup yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Sementara itu, untuk kategori hafazan lelaki, peserta Jerman, Usamah Barghouth muncul juara dengan markah 98.25 peratus, manakala Mohammad Abdullah Masasati dari Syria (98.01 peratus) dan Mohammad Jamil Farhat dari India (97.25 peratus) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori hafazan wanita pula menyaksikan peserta Syria, Tasneem Arian Omar dinobatkan sebagai juara dengan 97.5 peratus, diikuti wakil Malaysia, Putri Auni Khadijah di tempat kedua (96.75 peratus) dan Najway Ali Zaydan Alkourbu dari Libya (95.51 peratus) di tempat ketiga.
Sekadar info, setiap johan bagi kategori Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM40,000, barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), hadiah iringan serta sijil penghargaan.
Melalui tema ‘Membangun Ummah MADANI’ MTHQA ke-65 kali ini telah menghimpunkan seramai 71 peserta dari 49 negara sekaligus menjadi platform persaudaraan dan perkongsian ilmu yang terus mengangkat martabat Al-Quran di mata dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.