Automotif

UMW Toyota Lancar Yaris Cross Baharu, SUV Hybrid Compact Bermula RM99,900

Share

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) terus memperkukuh kedudukannya dalam segmen SUV kompak menerusi pelancaran rasmi Toyota Yaris Cross serba baharu di Malaysia.

Model baharu ini hadir sebagai jawapan kepada permintaan yang semakin meningkat terhadap kenderaan crossover dan SUV, khususnya dalam segmen B-SUV yang kini menjadi antara kategori paling kompetitif di pasaran tempatan.

Ditawarkan dalam dua pilihan ‘powertrain’ iaitu enjin pembakaran dalaman (ICE) dan Hybrid Electric Vehicle (HEV), Toyota Yaris Cross bukan sahaja melengkapkan barisan SUV Toyota di Malaysia, malah turut memperluaskan akses pengguna kepada teknologi elektrifikasi yang lebih praktikal dan mudah dimiliki.

Bagi pasaran Malaysia, Toyota Yaris Cross ditawarkan pada harga bermula RM99,900 untuk varian ICE, manakala varian HEV pula bermula RM109,900.

Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., trend permintaan terhadap SUV kompak terus berkembang kerana pengguna kini mencari kenderaan yang lebih fleksibel untuk kegunaan harian.

“Dengan Yaris Cross, kami memperluaskan penawaran hybrid Toyota menerusi solusi yang praktikal dan boleh dipercayai. Hybrid kini menjadi laluan elektrifikasi yang mudah diakses dan sesuai dengan gaya pemanduan rakyat Malaysia,” jelas beliau.

Rekaan SUV Moden Dengan Dimensi Mesra Bandar

Dari sudut rekaan, Yaris Cross tampil dengan imej SUV moden yang lebih agresif menerusi gabungan badan yang tegap, overhang pendek serta rim aloi bersaiz 18 inci. Lampu belakang yang memanjang ke sisi badan pula memberikan ilusi lebih lebar dan sporty.

Walaupun bersaiz kompak untuk kegunaan bandar, ruang dalaman Yaris Cross direka dengan cukup praktikal. Ia menawarkan kapasiti ruang kargo sehingga 471 liter bersama sistem lantai dua aras dan ruang simpanan bawah lantai bagi memudahkan susunan barang.

Bahagian kabin pula menampilkan suasana premium dengan penggunaan material lembut, kemasan satin serta stereng balutan kulit. Paparan meter digital TFT bersaiz 7 inci turut membolehkan pemandu menyesuaikan paparan maklumat mengikut citarasa masing-masing.

Dari aspek teknologi, SUV ini dilengkapi sistem infotainmen 10.1 inci bersama sambungan telefon pintar tanpa wayar, pengecas wireless, USB-C belakang serta Power Back Door dengan fungsi kick sensor.

Toyota turut memberikan perhatian besar terhadap aspek keselamatan menerusi sistem Toyota Safety Sense (TSS). Antara ciri bantuan pemanduan yang ditawarkan termasuk sistem amaran pelanggaran, bantuan kekal lorong, Blind Spot Monitor serta Rear Cross Traffic Alert.

Pilihan Enjin Petrol Dan Hybrid

Untuk pilihan enjin, varian ICE menggunakan enjin 2NR-VE bersama transmisi CVT yang memberi fokus kepada kecekapan dan kos pemilikan rendah.

Sementara itu, varian HEV menggunakan gabungan enjin 2NR-VEX dan motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 111 PS. Sistem hybrid ini membolehkan pemanduan menggunakan kuasa elektrik pada kelajuan rendah sekali gus membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi.

Menariknya, bateri lithium-ion diletakkan di bawah tempat duduk belakang bagi memastikan ruang kargo kekal praktikal tanpa menjejaskan keseimbangan berat kenderaan.

Toyota Yaris Cross serba baharu ini juga dipasang secara tempatan (CKD) di fasiliti Toyota di Bukit Raja, Selangor.

Kedua-dua varian kini sudah dibuka untuk tempahan di semua pusat jualan Toyota seluruh negara. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman rasmi Toyota Malaysia atau bilik pameran berdekatan.

Baca juga: “Umur 13 Dah Berniaga” – Anak Norish Karman Pertahan Diri Dari Tuduhan Netizen

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy