Hiburan

Hasrat Bertemu Peminat Malaysia Tidak Kesampaian, Tyo Nugros Dedah Tidak Tahu Punca Ditahan Imigresen

Share

Baru-baru ini, pemain dram Dewa 19, Tyo Nugros meluahkan rasa kecewa apabila tidak dapat menyertai Konsert DEWA 19 ‘CintaKu TerTinggal Di Malaysia’ yang berlangsung di Stadium Unifi Arena, Bukit Jalil selepas berdepan masalah imigresen di Indonesia.

Menerusi sebuah video pesanan yang dipaparkan ketika konsert berlangsung, Tyo memaklumkan bahawa beliau tidak dibenarkan berlepas ke Kuala Lumpur meskipun sudah berada di lapangan terbang untuk perjalanan tersebut.

“Tanggal 6 Januari 2026 saya telah mahu berangkat dan berada di lapangan terbang. Bagaimanapun saya tidak dibenarkan berangkat oleh pihak imigresen atas permasalahan yang tidak saya ketahui,” katanya.

Al Ghazali yang tampil menggantikan posisi Tyo sebagai Drummer pada malam Konsert DEWA 19 ‘CintaKu TerTinggal Di Malaysia’

Menurutnya, sehingga kini beliau masih berusaha mendapatkan penjelasan berhubung isu yang menyebabkan perjalanannya ke Malaysia tergendala. Situasi itu sekaligus memaksanya melupakan hasrat untuk beraksi bersama rakan-rakan seperjuangan di hadapan ribuan peminat.

Ketiadaan Tyo nyata mengecewakan sebahagian peminat yang sudah lama menantikan kemunculannya di Kuala Lumpur. Malah, pemuzik berusia 56 tahun itu juga pernah mencuri perhatian ramai peminat wanita ketika kunjungan kumpulan berkenaan ke Malaysia pada tahun 2022 dan 2023.

BACA: Drummer Kumpulan Dewa19 Jadi Perhatian, Kacak Walaupun Umur Dah 52 Tahun!

“Dengan ini saya meminta maaf sebesarnya kepada semua pihak. Sampai kita bertemu di pertemuan lain. Enjoy the show,” ujarnya.

Walaupun kehilangan salah seorang anggota penting, konsert berkenaan tetap diteruskan mengikut jadual dengan posisi dram digalas oleh Al Ghazali, anak kepada pengasas Dewa 19, Ahmad Dhani. Persembahan turut dimeriahkan oleh tiga vokalis terkenal iaitu Ari Lasso, Ello dan Virzha yang berjaya menghiburkan hampir 10,000 penonton.

Sepanjang hampir dua jam persembahan, Dewa 19 membawakan 25 lagu popular termasuk ‘Dewi’, ‘Separuh Nafas’, ‘Kangen’, ‘Pupus’ dan ‘Pangeran Cinta’. Lebih istimewa, konsert tersebut turut menyaksikan kemunculan Padi Reborn sebagai artis jemputan, sekaligus menjadikan gabungan dua kumpulan legenda Indonesia itu sebagai hadiah istimewa buat peminat muzik Nusantara di Malaysia.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE