
Hampir sebulan selepas kehilangan isteri tercinta, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan kesempatan untuk menjalani kehidupan bersama insan tersayang itu selama hampir tujuh dekad.
Meskipun masih bersedih dengan pemergian teman hidupnya, negarawan berusia 101 tahun itu tetap menghargai segala doa, ucapan takziah dan sokongan yang diterima daripada masyarakat sejak Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir.
Menerusi satu kenyataan bertarikh 19 Oktober 2026, Tun Mahathir turut berkongsi keadaan dirinya yang masih belum cukup kuat untuk kembali menjalani rutin harian seperti biasa, walaupun sudah mula mencuba untuk ke pejabat sejak beberapa hari lalu.

“Sehari Dua Ini Saya Cuba Ke Pejabat Tetapi Upaya Masih Belum Begitu Kuat.
“Bagi Pihak Kesemua Ahli Keluarga, Saya Nak Ambil Kesempatan Untuk Ucap Berbanyak Terima Kasih Kepada Semua Yang Membantu Menyempurnakan Urusan Pengebumian Hasmah Tempoh Hari,” Katanya.
Terharu Dengan Doa Orang Ramai Buat Allahyarhamah
Dalam pada itu, Tun Mahathir turut menzahirkan rasa terharu atas ingatan masyarakat yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan Allahyarhamah, termasuk mereka yang berkunjung ke pusara mahupun menitipkan doa dari jauh.
Baginya, keprihatinan orang ramai itu memberikan makna tersendiri ketika dirinya masih melalui fasa kehilangan insan yang telah menjadi pendamping hidup selama kira-kira 70 tahun.

“Saya Amat Terharu Kerana Doa Yang Tidak Putus-Putus Dipanjangkan Kepada Isteri Saya Hasmah Sehingga Sekarang, Sama Ada Di Pusara Mahupun Dari Mana-Mana Sahaja.
“Ia Mengingatkan Saya, Di Dalam Kesedihan Yang Begitu Memedihkan, Supaya Saya Terus Bersyukur Kepada Allah SWT Kerana Telah Meminjamkan Hasmah Sebegitu Lama Sehingga Ke Usia Saya Yang Cuma Masih Tersisa Sedikit Sebanyak Ini,” Luahnya.
Anggap Kehidupan Bersama Isteri Sebagai Nikmat
Di sebalik kesedihan yang masih dirasai, perkongsian Tun Mahathir itu memperlihatkan rasa syukur seorang suami terhadap perjalanan hidup yang telah dilalui bersama insan tersayang.
Tempoh hampir tujuh dekad yang dikongsi bersama Allahyarhamah menjadi satu anugerah yang amat bermakna buat dirinya, meskipun kini terpaksa meneruskan kehidupan tanpa kehadiran isteri di sisi.
Dalam kenyataan sama, beliau turut memohon maaf sekiranya terdapat salam, lambaian atau ucapan takziah yang tidak sempat dibalas sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau juga menghargai setiap individu yang hadir memberikan penghormatan terakhir serta mereka yang meluangkan masa untuk menyampaikan ucapan takziah dan mendoakan Allahyarhamah.

Allahyarhamah Siti Hasmah Selamat Disemadikan Di Pusara Negara
Untuk rekod, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 28 September lalu.
Jenazah Allahyarhamah kemudiannya disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya pada hari yang sama menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!





