Lebih tujuh dekad melayari kehidupan bersama, Tun M & Tun Siti Hasmah sekali lagi mencipta sejarah kali ini bukan hanya sebagai pasangan yang menjadi saksi kepada perjalanan Malaysia moden, tetapi sebagai dua insan yang sama-sama melangkaui usia seabad.
Pasangan ikonik negara itu dianugerahkan tiga rekod rasmi oleh ASEAN Records dan ASIA Records, sekali gus mengiktiraf usia panjang serta pencapaian luar biasa yang belum pernah direkodkan secara terbuka dalam kalangan bekas ketua kerajaan dan pasangan mereka di rantau ini.
Dr Mahathir, yang kini berusia 101 tahun, menerima pengiktirafan ASEAN Records sebagai Bekas Perdana Menteri Yang Masih Hidup Paling Tua, manakala Dr Siti Hasmah, 100, dinobatkan sebagai Pasangan Kepada Bekas Perdana Menteri Yang Masih Hidup Paling Tua.
Namun, rekod ketiga menjadikan pencapaian mereka lebih istimewa.
Secara bersama, pasangan itu menerima pengiktirafan ASIA Records sebagai Bekas Ketua Kerajaan Pertama dan Pasangan Yang Kedua-duanya Mencapai Usia Centenarian (Abad) Serta Masih Hidup.
Ia bukan sekadar catatan mengenai angka usia, tetapi sebuah pencapaian yang merangkumi perjalanan hidup dua insan yang telah bersama selama 70 tahun.
Tun M & Tun Siti Hasmah Dalam Sebulan Penuh Angka Bersejarah
Pengiktirafan itu hadir dalam tempoh yang cukup simbolik buat pasangan berkenaan.
Pada 10 Julai lalu, Dr Mahathir menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-101. Hanya dua hari kemudian, pada 12 Julai, Dr Siti Hasmah pula genap berusia 100 tahun.
Ads
Kemuncak kepada bulan penuh makna itu tiba pada 5 Ogos, apabila mereka meraikan ulang tahun perkahwinan ke-70.
Tiga tarikh, tiga angka besar 101 tahun, 100 tahun dan 70 tahun perkahwinan yang kini dilengkapkan pula dengan tiga pengiktirafan rasmi.
Majlis penyampaian sijil berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, dengan anugerah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat, Tan Sri Datuk Danny Ooi, diiringi Ketua Juri, Gillian Ooi dan Eldrick Koh.
Menurut pasukan pengadil, proses verifikasi mendapati tiada pencapaian setara direkodkan secara terbuka di rantau ASEAN serta pasaran utama Asia, sekali gus meletakkan pasangan itu dalam kategori tersendiri.
70 Tahun Berdiri Di Sisi Satu Sama Lain
Di sebalik segala rekod tersebut, barangkali angka paling menarik bukanlah 101 atau 100 tetapi 70.
Ads
Tujuh dekad sebagai suami isteri bermakna Tun M & Tun Siti Hasmah telah bersama merentasi sebahagian besar sejarah Malaysia moden.
Mereka berkahwin pada 1956, setahun sebelum negara mencapai kemerdekaan. Sejak itu, kehidupan pasangan berkenaan bergerak seiring dengan perubahan besar negara daripada dunia perubatan kepada politik, daripada pentadbiran kerajaan kepada persaraan, malah menyaksikan Dr Mahathir dua kali menerajui negara sebagai Perdana Menteri.
Sepanjang perjalanan tersebut, Dr Siti Hasmah bukan sekadar dikenali sebagai isteri kepada seorang tokoh politik.
Beliau sendiri merupakan seorang doktor perubatan dan tokoh yang cukup dihormati, khususnya menerusi sumbangannya dalam bidang kesihatan awam, kesihatan wanita serta pembangunan masyarakat.
Dr Mahathir pula kekal sebagai antara figura paling panjang usia dan paling lama mewarnai landskap politik Malaysia.
Kini, pada usia masing-masing 101 dan 100 tahun, kisah mereka memasuki satu lagi bab yang sukar ditandingi.
Tun M & Tun Siti Hasmah Raih Rekod Bersejarah Asia
Tiga pengiktirafan berkenaan mungkin tercatat dalam bentuk sijil dan gelaran rasmi, tetapi kisah di belakangnya jauh lebih besar daripada sebuah rekod. Ia mengenai dua kehidupan yang telah merentasi hampir satu abad perubahan dunia.
Tentang pasangan yang bermula sebagai dua doktor muda, membina keluarga, melalui pasang surut kehidupan awam dan politik, menyaksikan Malaysia berubah daripada sebuah negara yang baru merdeka kepada negara moden dan masih berada di sisi satu sama lain tujuh dekad kemudian.
Dalam dunia yang sentiasa mengejar perkara baharu, kisah Tun M & Tun Siti Hasmah membawa sesuatu yang jarang dapat diukur dengan statistik semata-mata: ketahanan sebuah perjalanan bersama.
Selepas 70 tahun perkahwinan, dua usia yang sudah melangkaui satu abad serta tiga rekod baharu tercipta, pasangan ini membuktikan satu perkara ada sejarah yang dicatat dalam buku, dan ada sejarah yang terus hidup di depan mata.
Sumber : Facebook Dr. Mahathir Bin Mohamad
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kontinjen Malaysia ke Sukan Remaja Asia 2025 (Asian Youth Games) di Manama, Bahrain tersenyum girang setelah pingat pertama negara diraih menerusi pesilat remaja kebangsaan, Muhammad Raqib Darwisy.
Menerusi perkongsian akaun media sosial Majlis Sukan Negara (MSN), ia melaporkan Raqib berjaya memenangi pingat gangsa menerusi aksi mantapnya dalam sukan Pencak Silant kelas F Putra.
Raqib yang merupakan atlet harapan di peringkat negeri Melaka sememangnya dikenali sebagai pelapis baharu yang mempunyai potensi mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Kemenangan tersebut sekaligus memberi motivasi dan inspirasi kepada atlet-atlet untuk memberikan yang terbaik dalam acara sukan masing-masing sepanjang kejohanan yang melibatkan atlet muda dari seluruh benua Asia itu.
Raqib Darwisy ketika dinobatkan sebagai Pesilat Putra Terbaik pada Kejohanan Silat Peringkat Kebangsaan 2025 yang dilangsungkan di Kemaman, Terengganu pada September lalu. FOTO: Persatuan Seni Silat Kunci Melayu Melaka.
Sebagai konteks, Malaysia menghantar kontinjen terbesarnya dalam sejarah penganjuran Asian Youth Games ke Bahrain pada tahun dengan seramai 172 atlet remaja berlumba-lumba untuk menjulang Jalur Gemilang di atas podium.
Tambah menarik lagi, kontinjen kali ini dipimpin oleh bekas ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi yang dilantik sebagai Chef De Mission (CDM) negara atas dasar pengalaman luas wanita berusia 31 tahun itu dalam kejohanan peringkat antarabangsa. Ini termasuklah menjadi wakil Malaysia di Sukan SEA 2011, 2015, 2017 dan 2019; Sukan Komanwel 2010, 2014 dan 2018; Sukan Asia 2014 dan 2018 serta di Sukan Komanwel 2020.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Suasana pilu menyelubungi kawasan Sungai Korok di Jalan Datuk Kumbar pagi Isnin apabila satu tragedi menyayat hati meragut enam nyawa sekeluarga selepas kenderaan dinaiki mereka ditemui tenggelam di dasar sungai itu.
Kenderaan jenis Perodua Alza yang dipercayai dinaiki sepasang suami isteri bersama empat anak mereka, termasuk seorang bayi berusia enam bulan, dikesan berada kira-kira 30 meter dari tebing sungai oleh pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Shukri Ibrahim, operasi mengeluarkan mangsa dijalankan dengan penuh cermat bagi memastikan keselamatan pasukan penyelamat serta menjaga maruah mangsa.
“Setakat ini, beberapa mangsa berjaya dibawa naik dan disahkan meninggal dunia. Usaha mengeluarkan baki mangsa dan kenderaan sedang giat diteruskan,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.
Kehilangan Enam Sekeluarga Disedari Sejak Sabtu
Kisah kehilangan enam beranak ini mula mendapat perhatian selepas Sinar Harian melaporkan pasangan suami isteri, Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, dan isterinya, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, bersama empat anak mereka berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun, dilaporkan hilang sejak Sabtu.
Menurut adik kepada Mohd Azim, Nur Adliah Shuhada, abangnya sekeluarga datang bermalam di rumahnya di Taman Aman, seperti kebiasaan, pada Jumaat lalu. Namun, keganjilan timbul apabila mereka tidak pulang ke rumah di Jerlun dan gagal dihubungi keesokan harinya.
“Kami cuba hubungi mereka berkali-kali tetapi telefon tidak dapat dihubungi. Mulanya kami ingat mereka singgah ke mana-mana, tapi apabila sampai malam masih tiada khabar berita, kami mula risau,” katanya dalam nada sebak.
Tular di Media Sosial
Penemuan tragis ini turut mendapat perhatian meluas di media sosial. Ramai netizen meluahkan rasa simpati serta mendoakan kekuatan buat ahli keluarga mangsa.
Majlis pengebumian dan proses pengesahan identiti mangsa dijangka dilakukan sebaik semua mayat berjaya dikeluarkan dan disahkan oleh pihak hospital.
Kami di Majalah Remaja mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa. Semoga mereka diberi ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian berat ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, seorang pelajar lelaki yang didakwa terlibat dalam kes pembunuhan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah tahun lalu disahkan layak untuk dibicarakan, menurut keputusan laporan psikiatri yang dikemukakan di Mahkamah Majistret, pada Jumaat.
Memetik laporan Kosmo, perkara itu dimaklumkan oleh peguam tertuduh, Kitson Fong pada prosiding sebutan kes yang dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.
Menurutnya, hasil penilaian pakar psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mendapati tertuduh yang kini berusia 15 tahun berada dalam keadaan mental yang membolehkannya memahami perjalanan prosiding mahkamah.
“Tertuduh berupaya untuk dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu membela diri. Laporan psikiatri itu turut mengarahkan tertuduh ditempatkan di sebuah pusat yang digambarkan sebagai penjara untuk kanak-kanak, iaitu Pusat Koreksional Puncak Alam di Selangor,” katanya.
Susulan perkembangan itu, mahkamah menetapkan 6 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula bagi meneruskan prosiding kes berkenaan.
Kejadian ketika Yap Shing Xuen ditemui tidak bernyawa di bilik tandas perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar UtamaKeluarga kepada mendiang Yap Shing Xuen
Dalam pada itu, prosiding hari ini turut disertai peguam Nur Izni Syazwani Ahmad yang hadir sebagai peguam pemerhati mewakili ibu kepada mangsa.
Di samping itu, mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 14 tahun ketika kejadian didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya antara pukul 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Untuk info, kes tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, sekiranya sabit kesalahan.
Sumber: Kosmo Online
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Alif Rakib menerima sumbangan RM20,000 daripada Kerajaan Negeri Kelantan selepas mencipta sejarah sebagai Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship.