
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dilaporkan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur sekitar jam 9.30 pagi tadi selepas terjatuh di kediamannya pada awal pagi.
Difahamkan, perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff ketika dihubungi Astro AWANI hari ini. Menurut Sufi, Tun Dr Mahathir kini berada dalam keadaan stabil dan masih menjalani proses pemantauan rapi oleh pasukan perubatan IJN.
“Ya, beliau dimasukkan ke IJN akibat terjatuh dan kini masih dalam proses pemantauan secara keseluruhan,” katanya ringkas.
Sejurus kejadian berlaku, Tun Dr Mahathir segera dibawa ke IJN dengan menaiki ambulans dari kediamannya bagi mendapatkan rawatan lanjut. Langkah tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan faktor usia beliau yang kini mencecah 100 tahun.
Sementara itu, seorang pegawai media Pejabat Tun Dr Mahathir memaklumkan bahawa satu kenyataan rasmi berkaitan keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Tun Dr Mahathir menerima rawatan di IJN. Pada 13 Julai 2025, beliau pernah dikejarkan ke institut yang sama akibat keletihan sebelum dibenarkan pulang sekitar jam 4.45 petang pada hari yang sama, selepas dimasukkan sekitar jam 10 pagi.
Perkembangan lanjut mengenai keadaan kesihatan Tun Dr Mahathir akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.