Hiburan

T.O.P Kembali Temui Peminat, Bakal Hangatkan Kuala Lumpur September Ini

Share

Penyanyi rap dan pelakon terkenal, T.O.P baru-baru ini kembali mencuri perhatian peminat apabila mengumumkan bakal mengadakan jelajah fan meeting solo ‘T.O.P PRE-STUDIO 2026’ di beberapa negara Asia.

Menerusi sebuah perkongsian di Instagram, T.O.P atau pemilik nama sebenar Choi Seung-hyun (39), mendedahkan poster utama jelajah tersebut yang sekaligus memperkenalkan rangka siri pertemuan peminat yang dijadualkan berlangsung di beberapa lokasi utama Asia termasuk Hong Kong, Taipei, Jakarta, Kuala Lumpur, Tokyo dan Kaohsiung.

Difahamkan, konsep “PRE-STUDIO” membawa pendekatan berbeza berbanding persembahan biasa kerana ia memberi ruang kepada peminat untuk lebih terlibat dalam pengalaman interaktif, seakan-akan menjadi sebahagian daripada proses kreatif yang ingin ditampilkan dalam acara tersebut.

Selain itu, pihak pengurusan turut memberi bayangan bahawa senarai lokasi jelajah ini tidak terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya lebih banyak bandar akan diumumkan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan semasa jelajah berkenaan.

Apa yang lebih menarik, Kuala Lumpur turut tersenarai sebagai salah satu destinasi penting apabila T.O.P dijadualkan membuat penampilan di Unifi Arena pada 27 September ini, sekaligus menjadi antara momen yang paling dinantikan peminat tempatan.

Untuk rekod, BIGBANG yang dianggotai T.O.P sejak 2006 merupakan antara kumpulan yang banyak mencorakkan perkembangan global muzik K-Pop menerusi pelbagai lagu hit seperti

Fantastic Baby, Bang Bang Bang, Haru Haru, Bae Bae, BLUE dan Lies yang masih menjadi kegemaran ramai sehingga kini.

BACA: ‘Follow’ T.O.P Di Akaun Instagram Baru, BIGBANG Cetus Spekulasi ‘Reunion’ Sempena Ulang Tahun Ke-20

Selain aktif dalam bidang muzik, T.O.P juga dikenali sebagai pelakon berbakat apabila pernah membintangi beberapa filem popular seperti Iris, 71: Into the Fire, Commitment dan Tazza: The Hidden Card, yang mengukuhkan lagi namanya dalam industri hiburan Korea Selatan.

Terdahulu, beliau turut mencuri perhatian penonton antarabangsa apabila muncul dalam siri Netflix popular Squid Game Musim 2 sebagai watak Thanos. Manakala maklumat lanjut berkaitan tiket bagi jelajah ‘T.O.P PRE-STUDIO 2026’ di Kuala Lumpur masih belum diumumkan dan dijangka akan dikongsikan dalam masa terdekat.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE