Berita

Tingkatan Enam Kekal Di Bawah KPM, Kerajaan Mahu Perkukuh Identiti Sebagai Prauniversiti

Share

Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pengurusan Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas mengambil kira pelbagai aspek berkaitan pentadbiran dan pelaksanaan.

Menurut laporan Buletin TV3, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan pengurusan sistem, peranan guru serta pelaksanaan pendidikan Tingkatan Enam dapat diteruskan dengan lebih lancar sebelum sebarang perubahan struktur dipertimbangkan pada masa akan datang.

Keputusan dibuat selepas penelitian

Jelas Anwar, cadangan untuk meletakkan Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini bukanlah tanpa asas, namun pelaksanaannya memerlukan penelitian menyeluruh kerana membabitkan sistem pentadbiran dan skim perkhidmatan guru.

Beliau berpandangan, sebarang perubahan besar perlu dilakukan secara teliti bagi memastikan kelancaran sistem pendidikan serta kebajikan tenaga pengajar tidak terjejas.

Mahu identiti prauniversiti lebih menyerlah

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mencadangkan agar pelajar Tingkatan Enam diberikan identiti yang lebih jelas sebagai pelajar prauniversiti.

Menurut beliau, langkah itu boleh dilaksanakan menerusi penyediaan blok khas serta sistem pengurusan yang berasingan, meskipun masih berada dalam kawasan sekolah yang sama.

Katanya, Tingkatan Enam perlu diurus sebagai satu bahagian khas dan tidak disamakan sepenuhnya dengan pelajar sekolah menengah biasa, termasuk dari segi pengiktirafan serta kedudukan mereka sebagai pelajar yang sedang menuju ke peringkat pengajian tinggi.

Jadi jambatan ke alam universiti

Tambah beliau, pendekatan tersebut penting supaya pelajar Tingkatan Enam melihat fasa itu sebagai satu peringkat peralihan selepas alam persekolahan.

Beliau berkata langkah itu juga mampu mengukuhkan peranan Tingkatan Enam sebagai jambatan sebelum pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath