Tinggalkan 3 Kali Solat Jumaat Kerana Wabak, Ramai Keliru Dosa Atau Tidak

Share

 

Situasi pandemik yang melanda seluruh dunia disebabkan wabak Covid-19 kini bukan lagi cerita baharu.

 

Dalam situasi semasa ini, rakyat Malaysia sendiri diperintah agar tinggal di rumah bagi mengelakkan penularan bertukar lebih teruk. Ini termasuklah perintah yang dikeluarkan oleh Mufti agar solat Jumaat secara berjemaah di masjid seluruh negara dibatalkan.

Timbul persoalan apakah hukum bagi seorang lelaki yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, memasuki hari ini?

Menurut Timbalan Mufti Terengganu iaitu Sahibul Fadilah Ahadi Othman kepada rakan media di BHarian, lelaki Islam Mukallaf (yakni dipertanggungjawabkan dengan kewajipan agama Islam) yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dalam tempoh perintah kawalan pergerakan tidak menanggung dosa.

Ini memandangkan hokum harus bagi umat Islam mengelakkan diri daripada penularan wabak atau penyakit yang merbahaya.

“Bagaimanapun, dia wajib untuk menggantikannya dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.

“Ketetapan hukum ini bersandarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid), maka tidak sempurna solatnya melainkan disebabkan keuzuran.

“Mereka (sahabat) bertanya kepada Rasulullah, apakah keuzuran itu? Baginda menjawab, ketakutan dan kebimbangan atau penyakit, berdasarkan Hadis Riwayat Abu Daud,” jelas beliau.

Oleh itu, seharusnya kita tidak keliru dengan hukum tidak mengerjakan solat Jumaat sekerap 3 kali berturut-turut dalam kes ini.

Sementara itu, Masjidil Haram di kota Mekah juga sedang melakukan langkah berjaga-jaga, menurut arahan kerajaan Arab Saudi.

 

 

 

IKLAN