Berita

“Tiba-Tiba Nampak Nama Dalam Senarai” —Tiara Jacquelina Tak Sangka Mila Mohsin Hadir Uji Bakat PGL The Musical

Share

Pemilihan barisan pelakon bagi pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical terus menjadi perhatian ramai, lebih-lebih lagi selepas nama Mila Mohsin diumumkan sebagai antara teraju utama naskhah ikonik tersebut.

Penerbit eksekutif merangkap pengarah pementasan itu, Tiara Jacquelina mengakui dia sendiri terkejut apabila mengetahui anaknya menyertai sesi uji bakat.

Menurut Tiara, Mila sengaja merahsiakan penyertaannya kerana memahami situasi itu boleh meletakkannya dalam keadaan sukar untuk membuat penilaian secara profesional.

“Mila nak pergi uji bakat dia tak berani nak cakap dengan saya sebab dia tahu saya akan susah dan berbelah bahagi. Anak sendiri susah kita nak menghakimi.

“Tapi nasib baik ada panel ramai yang membuat keputusan.

“Mila berlatih vokal berbulan-bulan tak cakap dengan kami. Tiba-tiba saya tengok nama dia dalam senarai. Saya pun terkejut bila dia daftar untuk uji bakat,” katanya.

Uji Bakat Dibuat Secara Terbuka & Adil

Mengulas dakwaan kononnya calon pelakon telah ditetapkan lebih awal, Tiara menegaskan proses pemilihan dilakukan secara terbuka dan adil bagi memberi peluang kepada semua bakat baharu yang hadir.

Jelasnya, sesi uji bakat itu memang diadakan atas inisiatifnya sendiri bagi memastikan setiap peserta diberi ruang yang sama rata untuk menonjolkan bakat masing-masing.

“Saya pun tak akan membuang masa berhari-hari duduk menghadap beratus orang yang datang uji bakat.

“Saya sendiri arahkan supaya uji bakat dibuat sebab nak beri peluang kepada semua yang hadir,” ujarnya.

Bukan Mudah Menggalas Watak Puteri Gunung Ledang

Dalam masa sama, Tiara turut mengakui watak utama dalam Puteri Gunung Ledang The Musical

bukan sesuatu yang mudah untuk digalas.

Menurutnya, watak itu menuntut komitmen tinggi serta pengorbanan dari segi fizikal dan mental daripada seseorang pelakon.

Tiara yang pernah membawakan watak berkenaan sebelum ini berkata pengalaman tersebut sendiri cukup mencabar buat dirinya.

“Jadi nak cari puteri bukan mudah. Saya nak jadi puteri pun betapa azabnya saya kena berlatih, nak kena biasakan diri dengan budaya Jawa.

“Jadi alang-alang nak buat saya nak latih dua orang sekaligus,” katanya.

Pemilihan Mila & Aisha Retno Jadi Perhatian Netizen

Sebelum ini, pengumuman Mila Mohsin dan penyanyi Aisha Retno sebagai teraju utama pementasan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen di media sosial.

Malah, terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan pemilihan Mila dan mendakwa ia dipengaruhi faktor ‘kabel’ memandangkan Tiara sendiri menerajui naskhah berkenaan.

Bagaimanapun, penjelasan Tiara dilihat menjawab persoalan ramai apabila beliau menegaskan proses pemilihan dibuat secara kolektif bersama panel dan bukan berdasarkan keputusan dirinya semata-mata.

Pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical sememangnya sentiasa dinantikan peminat seni teater tempatan, apatah lagi selepas karya ikonik itu kembali dipentaskan dengan barisan pelakon generasi baharu.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath