Berita

Tiada Penyingkiran Di Minggu Suku Akhir Big Stage X Rocketfuel, Ranisha Rampas Semula Kedudukan Teratas

Share

Persaingan di pentas Big Stage X Rocketfuel (BSR) semakin sengit apabila tiada penyingkiran diumumkan pada minggu suku akhir, sekali gus memberi peluang kepada semua peserta untuk meneruskan saingan ke minggu berikutnya.

Keputusan itu pastinya melegakan buat Danny, Yad-Z dan Danial Kifli yang berada dalam kelompok terbawah pada minggu ini.

Namun, sekiranya penyingkiran tetap dilaksanakan, Danial Kifli merupakan peserta yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pertandingan.

Ranisha Kembali Di Tangga Pertama

Pada masa sama, Ranisha berjaya merampas semula kedudukan teratas selepas mencatat markah keseluruhan sebanyak 86.50 peratus.

Persembahan mantapnya menerusi lagu Die On This Hill nyanyian Sienna Spiro berjaya memikat hati juri sekali gus meletakkannya kembali di puncak carta.

Sementara itu, Adam Nazmie dan Hussain turut berada dalam kelompok tiga peserta terbaik minggu ini.

Cabaran Baharu Di Peringkat Separuh Akhir

Minggu separuh akhir bakal menyaksikan para peserta tampil dengan cabaran berbeza menerusi tema Analog To Ultra, yang memerlukan mereka menyampaikan lagu-lagu tradisional dengan interpretasi tersendiri.

Saingan dijangka menjadi lebih sengit apabila setiap peserta bakal mempertaruhkan kreativiti dan kemampuan vokal bagi merebut tempat ke pentas akhir.

Kontrak Bernilai RM200,000 Menanti Juara

Sepanjang lapan minggu pertandingan, para peserta bersaing untuk merebut Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.

Ganjaran tersebut merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.

Musim ini menampilkan 11 peserta iaitu Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-Z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina, Hussain serta duo Adam & Nazmie.

Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva, Big Stage X Rocketfuel bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria. Penonton juga boleh menstrim episod penuh menerusi Astro GO dan Sooka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath