Berita

Tiada Lebam, Tiada Luka… Zara Qairina Cedera Parah & Pendarahan Dalaman

Share

Kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, terus mendapat perhatian ramai selepas pendedahan mengejutkan pada hari keempat prosiding inkues di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Saksi ketiga, Dr. Janefer Voo, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth (HQE), menceritakan detik menerima Zara pada 4.38 pagi, 16 Julai lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas ditemui di tingkat bawah asrama sekolah.

Detik Zara Ditemui Tak Sedarkan Diri

Menurut Dr. Janefer, Zara ditemui dalam keadaan sangat kritikal dengan bahagian belakang kepala cedera, bengkak dan berdarah.

Pemeriksaan lanjut mendapati Zara mengalami pelbagai kecederaan serius, antaranya:

  • Patah tulang tertutup pada pergelangan tangan kiri.

  • Patah tulang terbuka pada buku lali kiri.

  • Patah tulang tertutup pada buku lali kanan.

  • Kecederaan teruk pada bahagian belakang kepala.

  • Disyaki mengalami pendarahan dalaman akibat impak kuat (“high impact”).

“Tiada tanda lebam atau penderaan pada tubuh Zara. Namun, kecederaan yang dialami sangat parah dan menjejaskan banyak organ penting,” jelas Dr. Janefer.

‘Trauma Alert’ Diaktifkan – Pasukan Pakar Berkejar Selamatkan Zara

Melihat keadaan Zara yang semakin kritikal, pihak HQE segera mengaktifkan ‘Trauma Alert’ pada 4.42 pagi. Prosedur ini membolehkan Zara dirawat segera oleh pasukan pakar:

  • Neurosurgeri

  • Ortopedik

  • Pembedahan

  • Anestesiologi

Waktu tu, Zara terus jalani resusitasi kecemasan dan imbasan CT untuk kesan tahap kecederaan. Tapi hasil pemeriksaan menunjukkan kecederaan yang dialami terlalu teruk dan menyeluruh.

Pendarahan Otak, Patah Tulang & Darah Beku

Hasil imbasan mendapati Zara mengalami beberapa kecederaan dalaman yang amat serius:

  • Pendarahan pada otak akibat hentakan kuat.

  • Patah tulang terbuka pada buku lali dan tumit kiri.

  • Patah tulang tertutup pada tangan kiri dan kaki kanan.

  • Patah tulang belakang lumbar bahagian dua, tiga dan empat.

  • Darah beku pada bahagian pinggul dan otot psoas kiri.

Walaupun kecederaannya sangat parah, tiada bukti Zara didera. Ini menimbulkan persoalan besar — apa sebenarnya berlaku pada malam kejadian?

Siasatan Masih Berjalan, Saksi Baharu Akan Dipanggil

Peguam keluarga, Datuk Ram Singh, memaklumkan bahawa dua lagi doktor HQE akan dipanggil memberi keterangan. Selain itu, individu yang menghantar Zara menaiki ambulans dari Kinarut ke HQE juga dijangka dipanggil minggu ini.

Prosiding inkues masih cuba merungkai punca sebenar kecederaan Zara, sama ada berpunca daripada jatuh, kemalangan, atau faktor lain.

Keselamatan Diri: Remaja Perlu Lebih Peka

Kes Zara Qairina membuka mata ramai tentang bahaya kecederaan dalaman yang kadang-kadang tak nampak dari luar. Untuk remaja yang aktif, terutamanya yang tinggal di asrama atau hostel, penting untuk lebih peka dengan keadaan sekeliling dan jaga keselamatan diri.

Kalau korang atau kawan jatuh, terhentak, atau terlibat dalam kemalangan kecil, jangan ambil mudah walaupun tak ada lebam atau luka. Antara tanda bahaya yang korang kena alert:

  • Sakit kepala kuat atau muntah berulang.

  • Rasa pening, penglihatan kabur, atau keliru.

  • Mengantuk luar biasa atau susah nak sedar.

  • Perubahan mood atau tingkah laku tiba-tiba.

Kalau ada tanda-tanda ni, cepat jumpa doktor untuk pemeriksaan. Ingat, pendarahan dalaman boleh jadi ‘silent killer’.

Remaja Akan Terus Ikuti Perkembangan Inkues Zara Qairina

Kes Zara masih belum ada jawapan. Apa yang berlaku pada malam kejadian masih jadi tanda tanya. Prosiding inkues dijangka terus berlangsung minggu ini, dan Remaja akan sentiasa bawakan update terkini buat korang.

Sumber 

Published by
Nana