
Nama Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, anak kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, sekali lagi menjadi tumpuan apabila beliau tampil dengan satu perkongsian yang cukup menyentuh hati. Dalam hantaran terbarunya di Facebook, Nurulhidayah memperkenalkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sebagai ‘anak barunya’, Putri Qisya Nur Izzat.
Apa yang lebih menyayat hati, Qisya merupakan anak sulung kepada pasangan suami isteri yang terkorban bersama empat anak lain dalam tragedi menyayat hati di Sungai Korok, Jerlun, baru-baru ini.
Kisah tragis itu bermula apabila enam sekeluarga dilaporkan hilang pada awal pagi Sabtu lalu ketika dalam perjalanan pulang ke Jerlun dari rumah saudara di Jitra. Harapan untuk mereka pulang dengan selamat bertukar menjadi episod duka apabila kenderaan yang dinaiki kesemua mangsa ditemui terapung di Sungai Korok, dengan kesemua mereka disahkan meninggal dunia.
Namun dalam tragedi ini, takdir menentukan Putri Qisya terselamat kerana tidak ikut serta kerana beliau berada di rumah neneknya ketika kejadian.
Perkongsian Nurulhidayah di Facebook memperlihatkan gambar beliau bersama Qisya dalam suasana tenang tetapi sarat dengan emosi.
“Kenalkan anak baru saya, Putri Qisya. Alhamdulillah ALLAH permudahkan.
Thethe sayang Qisya, arwah mama Qisya nama Nurul Hidayah. Thethe baru Qisya,
Ungkapan itu jelas menunjukkan keikhlasan dan kasih seorang wanita yang ingin melindungi dan membimbing anak kecil yang baru kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam sekelip mata.
Tindakan Nurulhidayah mengambil Qisya sebagai anak angkat bukan sekadar perbuatan terpuji, tetapi juga contoh nyata tentang kemanusiaan dan empati. Dalam dunia yang serba pantas ini, masih ada insan yang sanggup membuka pintu hatinya untuk menyayangi tanpa syarat.
Lebih menyentuh jiwa, arwah ibu Qisya juga bernama Nurul Hidayah — seolah-olah takdir mempertemukan dua insan ini dalam keadaan yang sangat unik dan penuh makna.
Dalam hantaran yang sama, Nurulhidayah turut menitipkan doa agar Qisya membesar menjadi wanita solehah yang berjaya dan disegani.
“Semoga Qisya membesar menjadi wanita solehah yang cemerlang, berjaya dan disegani.”
Semangat dan kasih yang ditunjukkan ini menjadi inspirasi buat ramai remaja Malaysia bahawa dalam apa jua kesusahan, pasti akan ada cahaya harapan yang baru.